Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-48: ERTI SABAR


 

SOALAN

Apakah erti sabar?

 

JAWAPAN

Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi di antara sifat sabar itu, terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama dari sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.

            Sabar adalah merupakan salah satu daripada tangga-tangga ibadat menurut Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung. Allah SWT menyebut perkataan sabar lebih 90 kali pada pelbagai tempat di dalam al-Quran. Adakalanya dengan memuji kesabaran itu sendiri, adakalanya juga dengan memuji orang-orang yang sabar di sisi Allah SWT dan darjat apa sahaja yang telah disediakan oleh Allah untuk mereka. Di dalam Islam, sabar ada tiga darjat:

  • Sabar terhadap ketaatan
  • Sabar terhadap kemaksiatan
  • Sabar terhadap ketentuan dan musibah

 

Darjat sabar yang paling agung adalah sabar terhadap ketaatan. Kerana itulah sabar yang paling agung yang diharapkan, tatkala kamu melaksanakan ketaatan, lalu kamu bersabar terhadapnya dan menyabarkan dirimu, supaya kamu sentiasa tetap melaksanakan sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, dengan segala kekhusyukan dan ketundukannya.

Sabar terhadap kemaksiatan, iaitu tatkala jiwamu sentiasa menyuruh untuk berbuat kejahatan dan dia binasakanmu, lalu kamu bersabar dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah SWT sabar mernerima takdir Allah SWT, dilakukan apabila Allah menetapkan takdirnya atasmu dan untuk meringankan dosa-dosamu atau meninggikan darjatmu.

Apabila hal ini sudah diketahui, maka salah satu ciri yang dimiliki para kekasih Allah adalah bersabar dan disertakan keyakinan yang kuat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah bertanya: Dengan cara apakah sebuah kepimpinan di dalam agama di peroleh? Dia menjawab: Dengan kesabaran dan keyakinan tidaklah kamu pernah mendengar firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar (sabar dalam menegakkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

           

Para hamba Allah SWT yang soleh diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai musibah. Ada juga yang diuji dengan harta benda dan ada juga yang diuji dengan akalnya sehingga akalnya hilang dan dia menjadi bodoh. Ada juga yang diuji pada tubuhnya, sehingga sebahagian daripada anggota tubuh dan pancainderanya tidak berfungsi.

            Ada juga yang diuji dengan anaknya, yang diculik oleh orang atau meninggal atau pergi menghilang dan tidak kembali. Ada juga yang diuji dengan harga dirinya, lalu dia dituduh dengan satu tuduhan yang dia sebenarnya bebas darinya, sebenarnya tuduhan itu tidak layak untuknya dan dia tidak layak untuk itu, tetapi dia bersabar dan berharap pahala hanya daripada Allah SWT. Apabila hal ini sudah diketahui, sesungguhnya Allah SWT telah menceritakan kisah orang-orang yang sabar dan hanya mengharapkan pahala daripada Allah SWT juga telah memuji mereka. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

(Surah al-Baqarah: 153)

 

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 Syawal 1436H