Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-4: CINTA DIHALANG DENGAN SIHIR

 

Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Saya adalah gadis berusia 24 tahun dan telah bekerja. Saya sekarang ini menjalinkan hubungan cinta dengan teman lelaki saya namun ditentang hebat oleh keluarga, terutama di pihak lelaki. 

Untuk pengetahuan, saya dan teman lelaki saya adalah sepupu yang mana bapa saya dan bapa teman lelaki saya adalah adik beradik. Kami merancang untuk berkahwin. Mulanya keluarga saya merestui hubungan kami dan keluarga teman lelaki saya juga sama. Tapi keadaan berubah apabila keluarga teman lelaki saya telah berjumpa dengan bapa saya. Saya tidak tahu apa yang telah diberitahu oleh keluarga teman lelaki saya kepada bapa saya. Apa yang saya tahu daripada bapa saya mereka menyalahkan saya. 

Baru-baru ini saya dapat tahu bahawa keluarga teman lelaki saya telah membuat sesuatu terhadap teman lelaki saya supaya teman lelaki saya ini akan tawar hati pada saya dan kembali semula pada bekas isterinya. Mereka telah berjumpa dengan 'bomoh' untuk buat teman lelaki saya ini lupakan saya. Apa yang buat saya terkilan sangat adalah mereka sanggup buat begitu sedangkan ibu dan bapa saya tak pernah melakukan perkara seperti itu walaupun mereka tidak benarkan saya berkahwin. Niat kami suci untuk mendirikan rumahtangga.

Dulu teman lelaki saya ni kuat semangat untuk mempertahankan hubungan kami hingga kami dapat kahwin. Tapi kini dia seolah-olah dah tawar hati dengan saya. Perubahannya terlalu mendadak sedangkan dia bukan jenis lelaki yang sebegitu. 

Tolong la saya, saya bingung sekarang, tambahan pula saya merana sangat dengan perubahan yang berlaku pada teman lelaki saya itu. Pernah dia berkata kepada saya bahawa dia rasa tidak senang bila bersama saya. Sedangkan dulu dia suka bersama saya, katanya dia rasa senang dan tenang bila bersama saya. Dulu banyak masa dia habiskan untuk saya, tapi sekarang ini tidak lagi. Sekarang ini saya terpaksa minta izin dulu sekiranya nak berjumpa dengan dia. Kadang kala dia memarahi saya kerana mengganggu hidupnya.

 

Jawapan:

Saya bahagikan jawapan ini kepada beberapa poin:

  • Saudari amat perlu memahami etika perhubungan antara dua insan berlainan jantina mengikut syariat Islam.Hal ini kerana Islam telah menggariskan batasan perhubungan antara yang berlainan jantina. Antaranya tidak dibenarkan duduk berdua-duaan yang boleh mendatangkan godaan syaitan. Begitu juga hendaklah saudari memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan serta mengikut etika dan adab Islam. 
  • Yakin dan percaya perjalanan hidup kita berdasarkan takdir qada’ Allah SWT. Justeru sifat syukur jika mendapat kebaikan dan sabar bila terkena musibah merupakan pakaian kepada orang mukmin sejati. Yakin di sini bukan semata-mata dilafazkan dengan lidah, tetapi dengan hati yang bersandarkan kepada takdir Ilahi. Justeru, keredhaan pasti bertapak dalam hati kita.
  •  Segala andaian hendaklah dijauhkan tetapi perasaan lapang dada hendaklah diutamakan sebagai prinsip hidup orang Islam. Hal ini amat penting kerana dengan sifat berlapang dada membawa kepada puncak ketenangan.
  • Mempercayai bahawa makhluk boleh memberi kesan dan mengubah sesuatu adalah tidak dibolehkan bahkan disebut di dalam Risalah Tauhid bahawa termasuk perkara syirik. Ini kerana merasakan makhluk mempunyai qudrat dan ta’thir (kesan) adalah bersalahan dengan konsep tauhid yang sebenar. Begitu juga dengan iqrar dan zikir kita dengan hauqalah  (لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْم)
  • Sifat dan sikap muslim sejati hendaklah sentiasa berpaut dan bertawakkal kepada yakin di samping munajat di sepertiga malam merupakan sifat orang yang Allah SWT cintai. Memperbanyakkan solat malam boleh membawa kepada ketanangan dan pertolongan Ilahi. Begitu juga segala kesusahan dan penderitaan akan menemui jalan penyelesaiannya.
  • Mentaati kedua ibu bapa adalah kewajipan yang patut dijunjung kerana keberkatan akan lahir dengan sebab ketaatan. Begitu juga boleh membawa kepada keredhaan Allah seperti sabda Rasulullah SAW:

رِضَا اللهِ فِي رِضَا الوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah adalah bergantung dengan sebab redhanya ibu bapa.”

Riwayat al-Tirmizi (no: 1899). Dinilai sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim (no: 7249)

  • Menjaga dan menghormati keluarga yang tua seperti bapa saudara adalah amat perlu bahkan termasuk dalam menjaga silaturrahim. Firman Allah SWT: 

وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا 

Maksudnya: Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu Menjaga dan Mengawasi kamu.

(Surah al-Nisa’: 1)

 

Akhir sekali saya berdoa semoga kemelut saudari dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Akhukum Fillah

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan