Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA #276: HUKUM MENDERMA DARAH

DERMA DARAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan, apakah hukum menderma darah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan pengenalan secara ringkas kepada Pusat Darah Negara atau juga dikenali sebagai PDN sebagai nama singkatan. Ia merupakan pusat darah terkemuka di Malaysia. Ditubuhkan pada 1955 sebagai Tabung Darah Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya bertukar nama kepada Pusat Darah Negara pada 1998. Ia terletak di Jalan Tun Razak.

 

Sejarah Awal

Perkhidmatan Tabung Darah Di Malaysia telah dirintis oleh sekumpulan sukarelawan wanita Palang Merah British pada tahun 1955. Pada peringkat awalnya perkhidmatan ini hanya dibuka pada hari Rabu jam 5.00 petang hingga 5.30 petang bertempat di bangunan Hospital Umum Kuala Lumpur. Atas inisiatif ini, seramai 25 hingga 44 penderma berjaya dikutip setiap bulan. Penderma-penderma pada masa itu terdiri daripada anggota polis, tentera dan kakitangan kerajaan.

Setelah 15 tahun bermulanya perkhidmatan ini, sebanyak 5,830 unit darah dan tidak kurang dari 13,860 ujian keserasian berjaya dilakukan. Memandangkan kepada bertambahnya perkhidmatan ini, Tabung Darah di pindahkan ke satu bangunan khas di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1971. Bangunan ini dikenali sebagai “Pusat Perkhidmatan Darah Kebangsaan” dan telah dirasmikan pada bulan April 1972 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Pusat Perkhidmatan Darah Kebangsaan yang diletakkan di bawah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia diterajui oleh seorang Pengarah. Beliau bertanggung jawab dalam segala hal perkhidmatan darah yang merangkumi hal teknikal dan pengurusan.

Bermula pada tahun 1975 pula, Pusat PerkhidmatanDarah telah memainkan peranan yang penting dalam penyeragaman peraturan kerja, metodologi, riagen dan peralatan tabung darah di seluruh negara. Pada tahun 2002, bangunan baru Pusat Darah Negara telah dibina di Jalan Tun Razak dan ianya telah dirasmikan oleh YBhg Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohamad Ali.[1]

 

Statistik Terkini Pusat Darah Negara (PDN)

Maklumat yang kami perolehi, Pusat Darah Negara (PDN) merekodkan 180,651 penderma darah pada tahun 2017 berbanding 180,052 penderma pada tahun 2016. Daripada jumlah itu, 82,619 adalah penderma baharu pada tahun 2017 berbanding 76,213 penderma baharu pada tahun sebelumnya yang menunjukkan peningkatan positif bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh hospital di bawah Kementerian Kesihatan di seluruh negara.[2]

 

Hukum Menderma Darah

Berkenaan dengan hukum menderma darah, kami berpendapat adalah sunat dan digalakkan terutamanya kerana dapat memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan dalam keadaan terdesak. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa,

(Surah al-Ma’idah: 2)

Syeikh al-Maraghi berkata: Oleh itu, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Begitu juga, ini termasuk membantu kesusahan yang ditanggung oleh saudara kita yang lain. Benarlah sabda Nabi SAW:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di Hari Kiamat.

Riwayat Muslim (2699)

Ujian Allah terhadap manusia adalah sebagai ujian untuk kita semua. Bagaimana sikap kita untuk menolong saudara-saudara kita sehingga dalam hadis ini menyebut dua ibarat sama ada menolong dan juga memudahkan saudara-saudara kita yang lain. Inilah sifat muslim sejati yang sentiasa menolong saudara-saudaranya yang lain sama ada dengan harta, tubuh badan, tenaga, buah fikiran dan lain-lain. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 337)

Bahkan dalam hadis yang sama, disambung dengan kalimah:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.

Riwayat Muslim (2699)

Tambahan pula, mutakhir ini keperluan kepada darah oleh pesakit di hospital dan klinik amat kritikal dan terdesak. Justeru, menderma darah menjadi salah satu perkara yang amat diperlukan oleh pihak Pusat Darah Negara. Kami amat berharap agar rasa insani dan ehsani di kalangan masyarakat akan tumbuh segar untuk menderma darah kepada yang memerlukannya.

 

Kami sertakan di sini beberapa keputusan dan fatwa dari badan dan ulama’ terkemuka, antaranya:

  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4

Muzakarah yang telah bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan Derma Darah dan Penggunaan Darah Orang Islam kepada Orang Bukan Islam dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Menderma darah hukumnya harus.
  2. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.
  3. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan.
  • Fatwa Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh, mantan Pengerusi Hai'ah Kibar Ulama' Sa'udi

Beliau menyebut: Harus menderma darah selama mana tidak memudaratkan penderma ketika keperluan untuk membantu orang Islam yang memerlukan. Kedua, harus membina tabung darah untuk disimpan bagi keperluan mereka yang berhajat.[3]

  • Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi, seorang mufassir dan ulama’ terkemuka Mesir

Beliau berkata: “Pendermaan darah mewajibkan seseorang mendapat pahala di sisi Allah SWT.”[4]

  • Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir

Dalam kitab Fatawa Syar'iyyah wa Buhuth Islamiyyah, beliau menjelaskan hukum harus memindahkan darah manusia kepada manusia yang lain untuk perubatan seperti berikut:

Darah yang mengalir walaupun haram dari segi Syarak dengan berpandukan nas al-Quran, tetapi keadaan darurat yang memaksa untuk perubatan ataupun merawat dengan darah tersebut, maka diharuskan mengambil manfaat daripadanya. Ia untuk perubatan ataupun rawatan dengannya dipindahkan daripada seseorang kepada seseorang yang lain (pesakit), apabila diakui oleh seseorang doktor yang beragama Islam dan pakar berkenaan hal ini.

Seluruh fuqaha’ mengharuskan rawatan ataupun perubatan dengan benda-benda haram dan najis. Ia apabila tidak ada langsung benda-benda yang suci (ubat-ubatan), apabila seorang pakar Muslim berpendapat perkara ini kritikal, maka hukumnya adalah harus melakukan sedemikian mengikut syarak.

  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Beliau menyatakan bahawa menderma darah adalah salah satu bentuk sedekah yang paling utama pada masa kini. Sebab penderma darah dalam konteks ini bukan sekadar membantu, malah sudah sampai tahap menyelamatkan nyawa seseorang. Jadi nilainya sangat tinggi di sisi Allah SWT. Bahkan menyelamatkan nyawa manusia yang sekiranya tidak ditolong akan mati, namun dengan berkat menderma darah ini membolehkan terus berlangsungnya kehidupan seseorang, dan ia digambarkan seperti memberikan kehidupan kepada semua manusia.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

(Surah al-Maidah: 32)

  • Syeikh Dr. Ali Jumu’ah, mantan Mufti Mesir

Beliau berkata: Jika menderma darah dapat menyelamatkan orang lain dari kematian, dan para pakar mengatakan hal itu tidak menyebabkan kesan negatif pada penderma, sama ada pada fizikal, kehidupan mahupun pekerjaannya, maka hal itu dibolehkan. Kebolehan ini termasuk keizinan syarak untuk menyelamatkan jiwa manusia yang mesti dipelihara, sebagaimana diperintahkan oleh Allah. Pendermaan ini bahkan dapat dikategorikan sebagai pengorbanan dan sikap mendahulukan kepentingan orang lain (ithar) yang digalakkan oleh Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.

(Surah al-Hasyr: 9)

Masalah ini juga dapat diqiaskan dengan kebolehan menyelamatkan orang yang tenggelam, terkurung api dan tertimbun dalam runtuhan meskipun terdapat risiko kematian bagi orang yang menyelamatkannya.[5]

  • Syeikh Zaid bin Muhammad al-Madkhali[6]

Beliau menjelaskan: Apabila terdapat padanya maslahat dan tidak menimbulkan mudarat yang dapat membahayakan dirinya, maka menderma darah tidak dilarang sebaliknya mendapat pahala dan kelebihan, sebagaimana yang termaktub dalam kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Allah SWT berfirman:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Rasulullah SAW juga bersabda:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.

Riwayat Muslim (2699)

  • Syeikh Dr. Husamuddin bin Musa 'Ufanah[7]

Beliau berkata, menderma darah merupakan amalan yang sangat penting untuk dilakukan. Menderma darah adalah satu amalan yang disunnahkan. Bahkan beliau menyatakan tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa hukum menderma darah itu sampai kepada hukum fardhu kifayah.

 

Akhir kalam, semoga dengan tersiarnya hukum ini, maka ia dapat menambahkan lagi keyakinan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk menderma darah. Kempen ke arah itu perlu juga disediakan dengan insentif yang menambahkan semangat penderma darah oleh pihak Kementerian Kesihatan sebagai galakan dan juga kerajaan Malaysia.

Semoga isu ketidakcukupan darah di Pusat Darah Negara dapat diatasi dengan segera. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat laman web rasmi Pusat Darah Negara (PDN) pada bahagian Maklumat Korporat, www.pdn.gov.my 

[2] Lihat Laporan dalam akhbar Sinar Harian pada 20 Jun 2018. http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-antarabangsa/majoriti-penduduk-malaysia-berdarah-o-1.847108

[3] Tarikh dikeluarkan, 11 Ogos 1999.

[4] Lihat laman web Syeikh Sya'rawi: https://khawateralsharawy.wordpress.com

[5] Lihat laman web rasmi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Fatwa nombor 194, Tahun 2005. http://www.dar-alifta.org

[6] Nama sebenar beliau ialah Zaid bin Muhammad al-Madkhali, seorang yang faqih dan alim dari Arab Saudi. Lahir di perkampungan al-Rukubah, di daerah Jazan pada tahun 1938 Masihi dan meninggal dunia pada hari Khamis, 12 Jamadil Awwal 1435 Hijrah bersamaan 14 Mac 2014. Dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat.

[7] Dilahirkan di perkampungan Abudis al-Bawwabah al-Syarqiyyah, Baitul Maqdis pada 16 Zulhijjah 1374 Hijrah bersamaan 5 Ogos 1955. Seorang yang faqih, mufti dan penulis berasal dari Palestin. Tenaga pengajar utama dalam bidang Fiqh dan Usul di Universiti al-Quds. Banyak menjawab persoalan agama serta aktif dalam mengkaryakan banyak kitab.