Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 362 : HUKUM DUDUK DI SEBELAH BUKAN MAHRAM DI DALAM KELAS PENGAJIAN

 

IF362

Soalan :

Assalamu’alaikum, apakah hukum jika saya duduk di sebelah bukan mahram ketika belajar di dalam kelas. Ini adalah disebabkan kelewatan datang ke kelas.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, kita lihat terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan mahram. Dari sudut bahasa, terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut :

أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

Maksudnya : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya : Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan). Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, secara umumnya golongan wanita yang tidak termasuk dalam ayat yang ke- 23 dari surah Al-Nisa’ di atas adalah merupakan bukan mahram kepada golongan lelaki, dalam erti kata mereka adalah wanita ajnabiyyah. Oleh itu, kesan daripadanya dari sudut perhubungan adalah seperti berikut :

Pertama : Halal berkahwin dengan wanita ajnabiyyah.

Kedua : Tidak boleh bersalaman atau bersentuhan kulit dengannya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ma’qil bin Yasar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya : Sekiranya dicucuk kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi itu adalah lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.

Riwayat Al-Thabrani (486)

Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyebut :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan yang beriman hendaklah mereka itu menundukkan pandangan mereka.

Surah Al-Nur (30)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah menyatakan :

وَقَدْ قَالَ أَصْحَابُنَا كُلُّ مِنْ حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَقَدْ يَحِلُّ النَّظَرُ مَعَ تَحْرِيمِ الْمَسِّ فَإِنَّهُ يَحِلُّ النَّظَرُ إلَى الْأَجْنَبِيَّةِ فِي الْبَيْعِ وَالشِّرَاءِ وَالْأَخْذِ والعطاء ونحوها ولا يجوز مسها في شئ من ذلك

Maksudnya : Para ashab kami telah berkata bahawa kesemua individu yang diharamkan untuk kita melihat kepadanya maka haram juga untuk kita menyentuhnya. Dan boleh jadi halal untuk melihat (kepada seseorang) namun dalam masa yang sama haram menyentuhnya. Sesungguhnya halal untuk melihat wanita ajnabiyyah dalam isu jual beli, mengambil dan memberi sesuatu barangan dan seumpamanya, namun tidak dibolehkan untuk menyentuhnya dalam perkara-perkara tersebut. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/635).

Ketiga : Tidak boleh berkhalwat dengannya.

Berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Maksud hadis ini adalah: ‘’Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang’’. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/109).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk seorang lelaki itu untuk duduk bersebelahan dengan perempuan bukan mahram di dalam kelas pengajian sekiranya sudah tidak ada pilihan tempat duduk yang lain. Ini memandangkan tidak berlaku khalwat dalam keadaan tersebut kerana kelas turut dipenuhi oleh ramai orang yang lain. Meskipun begitu, perlulah dijaga batasan perhubungan agar tidak bersentuhan kulit di antara keduanya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.