Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

fatwa tak layak.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, saya ada persoalan, apakah hukum fatwa orang yang tidak berkelayakan? mohon Tuan dapat jelaskan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Pertamanya, marilah sama-sama kita menginsafi akan kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada kita. Tetapi mencari dan menekuni ilmu hendaklah dilakukan di sepanjang hayat kerana sifat ilmu yang hidup dan sentiasa berkembang.

Melihat kepada sifat salafus soleh, maka kita akan dapati mereka tidak memberi fatwa kecuali diakui oleh guru-guru dan ulama’ sezaman dengannya berkenaan kealimannya dan kemampuannya dalam memberi fatwa. Sebagai contoh, kata Imam Malik:

مَا أَفْتيت حَتَّى شهد لي سَبْعُونَ أَنِّي أهل لذَلِك

Maksudnya: “Aku tidak berfatwa sehinggalah disaksikan bagiku 70 orang saksi (para ulama) bahawa aku merupakan ahli (orang yang berkelayakan) dalam hal tersebut.”

Kata beliau lagi:

لَا يَنْبَغِي لرجل أَن يرى نَفسه أَهلا لشَيْء حَتَّى يسْأَل من كَانَ أعلم مِنْهُ وَمَا أَفْتيت حَتَّى سَأَلت ربيعَة وَيحيى بن سعيد فأمراني بذلك وَلَو نهياني انْتَهَيْت

Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi seorang lelaki untuk melihat dirinya layak dalam sesuatu perkara sehinggalah dia bertanya kepada orang yang lebih alim daripada dirinya.

Dan tidaklah aku memberikan fatwa sehinggalah aku bertanyakan terlebih dahulu kepada Rabi’ah dan Yahya bin Sa’id, lalu mereka berdua mengarahkan aku untuk melakukannya (memberi fatwa).

Sekiranya keduanya melarangku, nescaya aku akan berhenti.”

 

Keduanya: Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kata-kata Ibn Hamdan dalam kitabnya Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, katanya:

“Sesiapa yang memberikan fatwa dalam keadaan dia tidak memiliki ciri-ciri yang sepatutnya, tanpa terdapatnya sebarang dharurat (untuk berfatwa), maka dia dikira sebagai pelaku maksiat dan berdosa[1].

Ini kerana, dia tidak mengetahui kebenaran dan kesalahannya. Maka dirinya diibaratkan seperti orang buta yang tidak mahu mengikut orang yang celik pandangannya. Disebabkan kehilangan penglihatannya menjadikan dia tidak tahu kebenaran dan juga kesilapan. Firman Allah SWT:

أَلَا يَظُنُّ أُولَـٰئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ ﴿٤﴾ لِيَوْمٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya)”[2]

Ibn al-Jauzi berkata:

يلْزمْ وَلِيُّ الْأَمْرِ مَنعهم كَمَا فَعَلَ بَنُوا أُميَّة

Maksudnya: “Hendaklah para pemerintah menghalang mereka ini (golongan yang memberi fatwa tanpa cukup syarat) sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bani Umayyah’’.

Sesiapa yang tergesa-gesa mengeluarkan fatwa dalam keadaan dia menyangka dia layak melakukannya maka hendaklah dia mentohmah (mencela) dirinya serta bertaqwa kepada Tuhannya.

Ini kerana, orang yang mahir dalam ilmu usul atau ilmu khilaf, ataupun dalam ilmu bahasa arab, akan tetapi dia tidak mahir dalam ilmu feqah, maka haram ke atasnya untuk berfatwa kepada dirinya dan juga kepada orang lain. Ini kerana, dia tidak bersendiri dalam mengetahui hukum-hakam semasa bersumberkan kepada asas-asas ijtihad. Ini juga adalah disebabkan kurangnya kepakaran dan penguasaannya.

Demikian juga dia tidak (dapat mengetahui hukum-hakam semasa) dari mazhab imamnya, kerana dia tidak menghafaz dan melakukan penelitian ke atas mazhab tersebut dengan cara yang muktabar. Maka tidak boleh berhujah dengan pendapatnya serta dikira ijma’ tanpa adanya dia – menurut pendapat mazhab yang paling sahih – .

Manakala Abu Hanifah membenarkan untuk bertaqlid kepadanya pada permasalahan-permasalahan yang orang lain berfatwa padanya, dan boleh berhukum dengannya. Dan tidak ada wajh baginya bersama-sama dengan kejahilan mufti dan hakim, dan juga awamnya, berdasarkan apa yang disebutkan sebentar tadi.” (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn Hamdan, hlm. 59-61)

Justeru, amat penting budaya muzakarah dan perbincangan ilmiah sering kali diadakan bahkan perlu mulazamah ulama’ yang muktabar bagi menimba ilmu dan berkongsi maklumat sehingga akhirnya akan menatijahkan pendapat yang tuntas di samping membetuli kekurangan pada seseorang itu.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang mufti dan perlunya kelayakan serta memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan. Ini menunjukkan kedudukan berfatwa adalah amat tinggi di sisi syariat.

[2] Surah al-Muthaffifin: 4