Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 33: PENDAHULUAN KEPADA ILMU MAQASID SYARIAH

maqasid.PNG

Zaman yang diistilahkan oleh Dr. Ahmad ar-Raysouni sebagai zaman kebangkitan Maqasid (as-Sohwah al-Maqasidiyyah) ini menyaksikan ilmu Maqasid Syariah mula dibincangkan secara meluas oleh para ilmuan, ahli politik dan pembuat dasar negara, selain mula mendapat tempat dalam perbincangan kalangan masyarakat awam. Perkembangan ini sudah pasti adalah satu perkara yang positif dan disambut dengan gembira oleh sekalian pencinta ilmu.

Di atas dasar inilah kami mengambil inisiatif menulis berkenaan ‘ilmu Maqasid Syari’ah bagi memberi gambaran secara umum tentang ‘ilmu yang sangat agung dan bermanfaat ini kepada masyarakat dan sidang pembaca.

 

Sejarah Ringkas Ilmu Maqasid

Al-Imam as-Syathibi, Guru Pertama[1] ilmu Maqasid Syariah melalui Kitab agung nya al-Muwafaqat fi Usul as-Syari’ah telah menggagaskan ‘ilmu Maqasid Syariah dalam satu kitab, serta menyusunnya dalam satu bentuk yang sistematik beserta perbahasan dan perbincangan yang komprehensif dan panjang lebar.

Namun sebenarnya sebelum al-Imam as-Syathibi, beberapa orang ulama’ telahpun terlebih dahulu membicarakan mengenai Maqasid Syari’ah ini, antaranya ialah Imam al-Haramain al-Juwaini. Dalam bukunya Ghiyats al-Umam fi al-Tayyats al-Zhulam (غياث الأمم في تياث الظلم), beliau telah menyatakan kegusaran dan keprihatinannya terhadap isu kemerosotan peradaban masyarakat Islam, khususnya dari sudut kesarjaan, aspek intelektualisme dan politik Islam. Menurut beliau satu-satunya cara untuk keluar dari permasalahan ini tidak lain tidak bukan adalah dengan cara membangunkan Maqasid al-Syari’ah yang universal dan mengangkatnya dari status zhanniy –sebagai salah satu aspek perbahasan usul fiqh- kepada status qath’iy sebagai prinsip dan tujuan tertinggi agama Islam itu sendiri.

Selain itu beliau juga beberapa kali menekankan kepentingan Maqasid Syari’ah dalam memahami nas-nas syara’, antaranya beliau menyebut:

ومن لم يتفطن لوقوع المقاصد في الأوامر والنواهي فليس على بصيرة في وضع الشريعة

Maksudnya: Dan barangsiapa yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah-perintah dan larangan-larangan syara’, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar tentang syariah. (Rujuk Al-Burhan fi Usul al-Fiqh, 1/101)

Meskipun konsep yang ditawarkan al-Imam al-Juwainiy ini tidak cukup komprehensif berbanding konsep yang ditawarkan al-Imam al-Syatibi misalnya, tapi paling tidak ia telah meletakkan batu asas pada yang baik untuk ‘ilmu Maqasid Syari’ah ini yang kemudiannya dikembangkan oleh para ‘ulama selepasnya. Ini diikuti pula oleh anak muridnya Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazzaliy yang mula-mula sekali menggunakan istilah ad-Dharuriyyat al-Khamsah:

ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم ونفسهم وعقلهم ونسلهم ومالهم

Maksudnya: Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: Untuk memelihara agama, nyawa, ‘aqal, keturunan dan harta mereka. (Rujuk al-Mustasfa min ‘llm al-Usul, 1/174)

Setelah mereka berdua, muncul pula para ulama’ lain yang telah mengarang banyak kitab dan mengemukakan banyak idea serta teori yang membahaskan persoalan Maqasid Syari’ah dan maslahah secara lebih mendalam. Antara yang paling penting adalah:

  • Al-Imam al-‘Izz ibn ‘Abd as-Salam dengan kitabnya Qawa’id al-Ahkam fi Masalihul Anam
  • Al-Imam al-Qarafi dengan kitabnya Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq
  • Al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dengan kitabnya ‘Ilam al-Muwaqqi’in
  • Al-Imam Abu Ishaq as-Syathibi dengan kitabnya Al-Muwafaqat fi Usul as-Syari’ah

Selain mereka, terdapat ramai para ulama’ kontemporari yang mula menyusun dan mengembangkan ‘ilmu Maqasid Syari’ah hingga ia mencapai ke tahapnya sekarang, antaranya ialah:

  • Muhammad Thahir ibn ‘Asyur
  • Syeikh ‘Allal al-Fasi
  • Ahmad ar-Raysouni
  • Jamaluddin ‘Athiyyah
  • Nuruddin Mukhtar al-Khadimiy
  • Syeikh ‘Ismail Hasani
  • Jasser ‘Auda

 

Definisi Maqasid Syari’ah

Dari sudut bahasa, Maqasid adalah merupakan kata jamak daripada maqsad dan maqsid (المقصد) dari perkataan qasada (قصد)dalam bahasa Arab yang bermaksud menuju ke suatu arah.

Manakala syariat membawa maksud tempat terbit air yang menjadi sumber minuman, jalan, apa yang disyariatkan Allah dari aspek akidah dan hukum, agama dan pandangan mazhab yang jelas dan lurus.

Adapun dari sudut istilah syara’, maka para ulama’ telah mengemukakan definisi yang pelbagai. ‘Allamah Muhammad Thahir ibn ‘Asyur telah mendefinisikan Maqasid Syari’ah sebagai:

المعاني والحكم الملحوظة للشارع في جميع أحوال التشريع أو معظمها، بحيث لا تختص ملاحظتها بالكون في نوع خاص من أحكام الشريعة. [2]

Maksudnya: Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh Syarak dalam keseluruhan atau sebahagian besar situasi penurunan syariat yang tidak mengkhusus kepada mana-mana hukum Syarak yang tertentu. (Rujuk Maqasid as-Syari’ah al-Islamiyyah, hal. 55)

Manakala Syeikh ‘Allal al-Fasi pula mentakrifkannya sebagai:

الغاية منها (أي الشريعة)، والأسرار التي وضعها الشارع عند كل حكم من أحكامه

Maksudnya: Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum-hakam. (Rujuk Maqasid as-Syari’ah wa Makarimuha, hal. 7)

Dr. Ahmad ar-Raysouni pula berpandangan Maqasid Syari’ah merupakan:

الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد

Maksudnya: Tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syari’at bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. (Rujuk Nazhariyyatul Maqasid ‘indal Imam as-Syathibi, hal. 7)

Kesimpulannya, takrif Maqasid Syari’ah berdasarkan ketiga-tiga takrif diatas secara umumnya boleh disimpulkan sebagai:

Tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syari’at Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.

 

Sumbangan Al-Imam as-Syathibi

Tatkala para imam sebelumnya hanya menyebut teori-teori dan lontaran-lontaran idea yang tidak dikembangkan atau dibincangkan secara terperinci, Al-Imam as-Syathibi pula merumuskan gagasan Maqasid Syari’ah yang benar-benar komprehensif, tersusun dan sistematik.

Dalam karyanya al-Muwafaqat, al-Syatibi menggunakan beberapa istilah yang berbeza untuk ‘ilmu ini berkaitan dengan maqasid al-syari’ah, iaitu Maqasid al-Syari’ah, al-Maqsad as-Syari’iy dan Qasd as-Syari’. Kesemuanya memberi maksud yang sama dan seerti.

Sesungguhnya Al-Imam as-Syathibi telah memberikan satu sumbangan dan jasa yang amat besar dalam menggagaskan satu ‘ilmu yang membicarakan tentang tujuan-tujuan dan objektif-objektif utama syari’at Islam ini.

Perbahasan mengenai gagasan dan teori Maqasid Syari’ah menurut al-Imam as-Syathibi yang terkandung dalam al-Muwafaqat akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam artikel-artikel yang akan datang, inshaAllah.

 

Maqasid dan Maslahah

Istilah Maqasid dan maslahah sering digunakan secara berselang-seli (interchangeably) untuk satu maksud yang sama. Antara contoh kitab yang menggunakan kaedah ini adalah Dhawabith al-Maslahah fi as-Syari’ah al-Islamiyyah karangan Almarhum Syeikh Sa’id Ramadhan al-Buthi. Beliau menetapkan bahawa antara dhawabith (parameter) yang harus digunakan sebagai neraca untuk menimbang samada sesuatu maslahah itu adalah bersifat mu’tabar, mulghah atau mursalah ialah melihat samada ia terkandung di dalam prinsip-prinsip Maqasid Syari’ah ataupun tidak.

Selain itu juga, boleh dikatakan juga bahawa Maqasid Syari’ah merupakan lanjutan dan pengembangan konsep al-maslahah al-mursalah dalam ‘ilmu Usul Fiqh. Ia merupakan salah satu dalil yang tidak disepakati keabsahannya (الدليل المختلف فيها) dimana ia dianggap sebagai hujjah yang sah disisi mazhab Maliki, namun ia ditolak oleh mazhab Syafie.

Maslahah juga merupakan elemen utama dalam perbahasan Maqasid dimana tahqiq al-maslahah merupakan tujuan tertinggi syari’at itu sendiri seperti yang disebut oleh al-Imam as-Syathibi:

أَنَّ وَضْعَ الشَّرَائِعِ إِنَّمَا هُوَ لِمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْعَاجِلِ وَالْآجِلِ مَعًا

Maksudnya: Sesungguhnya syari’at itu ditetapkan hanyasalah untuk kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/9)

 

Keperluan Menguasai Maqasid Syari’ah

Dr. Ahmad ar-Raysouni menganggap penguasaan ‘ilmu Maqasid sebagai satu kewajipan kepada setiap faqih:

أن المقاصد لازمة للفقيه في جميع المناحي والوجوه الاجتهادية

Maksudnya: Sesungguhnya (pengetahuan berkenaan) Maqasid Syari’ah adalah satu keperluan kepada para fuqaha’ dalam segenap segi dan wajah ijtihad. (Rujuk Muhadharat fi Maqasid as-Syari’ah, hal. 104)

Sementara Dr. Nuruddin bin Mukhtar al-Khadimiy pula menyatakan:

فهي ضرورية لازمة للفقيه وغيره كضرورة النصوص نفسها، وإلا ظل الفقه كيانا بدون روح، فارغا من كل دلائله وأهدافه

Maksudnya: Ia (Maqasid Syari’ah) merupakan satu perkara yang wajib dikuasai oleh para fuqaha’ dan selain mereka sepertimana keperluan menguasai nas-nas syara’ itu sendiri. Jika tidak, ‘ilmu fiqh akan menjadi tanpa roh dan jiwa, kontang tanpa dala’il dan tujuan. (Rujuk al-Ijtihad al-Maqasidiy, 1/65)

 

Bidang Kajian Maqasid

Sejajar dengan perkembangan ‘ilmu Maqasid Syari’ah ini, maka lahirlah bidang-bidang kajian dan teori-teori yang berkaitan dengan ‘ilmu ini. Antaranya ialah:

  1. Al-Ijtihad al-Maqasidiy (الاجتهاد المقاصدي)

Maksudnya adalah proses ijtihad yang dijalankan menurut kerangka Maqasid Syari’ah dan prinsip-prinsipnya. Antara karya yang dihasilkan berkenaan bidang ini adalah ‘Al-Ijtihad al-Maqasidiy: Hujjiyatuhu, Dhawabituhu, Majalatuhu’ setebal dua jilid tulisan Dr. Nuruddin bin Mukhtar al-Khadimiy.

  1. al-Fikr al-Maqasidiy (الفكر المقاصدي)

Maksudnya adalah minda Maqasidiy yang memahami nas-nas syara’ menurut neraca Maqasid Syari’ah, dan cara berfikir yang bertitik-tolak daripada gagasan Maqasid serta prinsip-prinsipnya. Antara karya yang membincangkan teori ini adalah buku bertajuk ‘al-Fikr al-Maqasidiy’ tulisan Dr. Ahmad ar-Raysouni.

  • at-Tafsir al-Maqasidiy (التفسير المقاصدي)

Ia juga disebut sebagai at-Tafsir al-Maudhu’iy, iaitu satu manhaj tafsir al-Qur’an menurut neraca Maqasid Syari’ah dan tema-tema tertentu. Antara karya yang dikarang berkenaan bidang ini adalah at-Tafsir al-Maqasidiy li Suwar al-Qur’an al-Karim karangan Dr. Wasfi ‘Ashur Abu Zayd dan Nahwa Tafsir Maudhu’iy li Suwar al-Qur’an al-Karim oleh Syeikh Muhammad al-Ghazzaliy.

 

Penutup

Kini, Maqasid Syari’ah telah berkembang menjadi satu ‘ilmu yang berdiri dengan sendiri dan bukan lagi sekadar satu topik/bab dalam ‘ilmu usul fiqh. Sekian ramai para ulama’ dan pemikir Islam yang membicarakan mengenainya dalam karya-karya mereka.

Maqasid Syariah turut dijadikan sebagai parameter dan kayu ukur kepada pelbagai bidang; antaranya ialah isu hak asasi manusia, pembangunan ekonomi, urus tadbir negara, amalan berpolitik, penjagaan alam sekitar serta tadbir urus institusi kewangan dan perbankan.

Dalam artikel-artikel yang akan datang, kami akan membahaskan lagi secara terperinci pembahagian-pembahagian Maqasid, kategori-kategori Maqasid, serta pemikiran-pemikiran Maqasid menurut imam-imam Maqasid dahulu serta kontemporari, selain kaitannya dengan isu-isu terkini yang harus diberikan perhatian sewajarnya oleh umat Islam, inshaAllah.

Wallahu a’lam.

Nota Hujung

[1] Istilah al-Mu’allim al-Awwal (Guru Pertama) telah diberikan kepada Aristotle atas jasanya yang menyusun falsafah Greek dalam bentuk yang sistematik, kemudian disusuli pula oleh al-Farabi yang digelar al-Mu’allim as-Thani (Guru Kedua) kerana kemampuannya memahami pemikiran Aristotle secara tuntas dan membahaskannya secara mendalam. Maka atas dasar ini penulis menggelar al-Imam as-Syathibi sebagai Guru Pertama atas jasanya menyusun ilmu Maqasid Syariah dalam bentuk yang sistematik, kemudian disusuli Syeikh Muhammad Thahir ibn ‘Asyur (Guru Kedua) yang menghidupkan semula ilmu Maqasid ini pada permulaan kurun ke-20 Masihi setelah ia tidak diberikan perhatian sejak kitab al-Muwafaqat ditulis. Kemudian muncul Dr. Ahmad ar-Raysouni selaku Guru Ketiga yang membahas Maqasid Syariah serta memberikannya banyak perspektif baru bagi membolehkannya terus segar dalam mendepani zaman.