Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

SALAH FAHAM

Terdapat sesetengah pihak yang berpandangan bahawa menjadi satu kewajipan bagi setiap individu Muslim untuk keluar berperang dari negara mereka ke negara-negara yang didakwa diserang oleh musuh-musuh Islam seperti di Iraq, Syria, Yaman, Filipina dan lain-lain. Oleh yang demikian, wajib seseorang itu meninggalkan ibu bapanya, anak isteri dan semua tanggungjawabnya yang lain untuk menuju ke kawasan perang tersebut dengan tujuan berjihad fi sabilillah. Persoalannya, adakah tindakan ini menepati syariat Islam?

 

PENCERAHAN

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu bahawa menurut syarak terdapat dua jenis jihad iaitu jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) dan jihad menyerang (jihad al-hujum). Secara ringkasnya, jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) bermakna musuh datang dan masuk menyerang sesebuah negara Islam. Maka, jihad jenis ini tiada perselisihan ulama’ mengenai kewajipan berjihad demi mempertahankan negara.

Jihad jenis menyerang (jihad al-hujum) pula bermakna individu Muslim tersebut keluar dari negaranya ke negara-negara yang mengalami peperangan. Ini bererti apa yang dimaksudkan dalam persoalan di atas ialah jihad jenis menyerang (jihad al-hujum). Bagi kategori jihad jenis ini, selain daripada syarat Islam, baligh, berakal, lelaki, sempurna fizikal dan niat yang ikhlas, terdapat syarat-syarat lain yang sering diabaikan oleh pihak yang berkenaan. Ia adalah seperti berikut:

 

Pertama: Matlamat yang jelas (wudhuh al-hadaf)

Berbeza dengan jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’), jihad menyerang (jihad al-hujum) memerlukan matlamat yang jelas di dalam melaksanakannya. Adalah tidak tepat bagi seseorang individu itu meletakkan bahawa matlamat jihad adalah semata-mata untuk meraih mati syahid, menunjukkan keberanian, membunuh musuh dan seumpamanya. Hal ini kerana, asas pensyari’atan jihad adalah bermatlamatkan untuk meninggikan syiar agama Allah (i’la’ kalimah Allah). Ini sebagaimana yang terkandung dalam nas-nas syarak seperti hadith Abu Musa al-Asy’ari yang berkata:

 

قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ، وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ: «مَنْ قَاتَلَ، لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Seorang A’rabi telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang perang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang, dan orang yang berperang kerana mahu namanya dikenang, dan orang yang berperang kerana ingin diangkat kedudukannya. Siapakah antara mereka yang berperang pada jalan Allah? Jawab baginda: Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fisabilillah.” (Sahih al-Bukhari, no. 3126)

 

Persoalannya, adakah peperangan yang disertai oleh mereka yang pergi keluar negara itu benar-benar akhirnya berjaya meninggikan syiar agama Allah SWT? Bagaimana mungkin dikatakan ia meninggikan agama Allah SWT jika apa yang berlaku adalah membunuh sesama umat Islam dan melakukan serangan di tempat awam sehingga membunuh mereka yang tidak berdosa? Perbuatan seumpama ini bukan sahaja tidak meninggikan syiar agama Allah, sebaliknya ia menyebabkan imej agama Islam semakin tercalar, dipandang negatif bahkan meruntuhkan lagi syiar agama Allah SWT di mata bukan Islam.

 

Kedua: Keizinan pemerintah (izn al-hakim)

Amat penting untuk difahami bahawa jihad bukan merupakan pekerjaan individu. Ia adalah pekerjaan yang perlu dilakukan secara berjamaah. Dalam hal ini, tanggungjawab melaksanakan jihad terletak pada bahu imam iaitu pemerintah. Ini kerana, pemerintah memiliki segala kemampuan untuk melaksanakannya meliputi kepakaran, strategi perang, pasukan tentera, logistik persenjataan dan lain-lain. Lantaran itu, jihad diletakkan di bawah tanggungjawab asal pemerintah. Ia berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

 إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ

“Sesungguhnya pemerintah itu adalah perisai, (orang-orang) akan berperang daripada belakangnya, dan berlindung (daripada musuh) dengan (kekuasaan)nya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1841)

 

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda:

لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

“Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Mekah, akan tetapi jihad dan niat, dan jika kalian diminta (oleh pemerintah) untuk pergi berjihad maka pergilah.”

 

Justeru, keizinan pemerintah untuk keluar berjihad tidak seharusnya dipandang ringan. Jihad al-hujum memerlukan individu tersebut mendapatkan keizinan daripada pemerintah bagi meneruskannya. Halangan daripada pemerintah boleh menyebabkan sesuatu perjalanan untuk berperang itu dibatalkan pada bila-bila masa. Ia dikira sebagai salah satu penghalang kepada tuntutan berjihad. Ibn Qayyim mengatakan jihad al-hujum itu fardhu kifayah (Zaad al-Ma’ad: 3/64), maka halangan pemerintah terhadap sebahagian orang boleh menjadi sebab pembatalan kefardhuan jihad ke atas orang tersebut.

 

Ketiga: Keizinan kedua ibu bapa (izn al-waalidayn)

Keizinan ibu bapa sangatlah penting di dalam jihad al-hujum. Ini sepertimana yang direkodkan menerusi hadith Abdullah bin Amru:

 

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

“Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w maka dia telah meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbakti lah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup).” (Hadis riwayat Sahih al-Bukhari, no 3004)

 Hadith ini jelas menunjukkan bahawa jihad al-hujum itu perlu kepada keizinan kedua ibu bapa. Hal ini kerana, seseorang individu itu bertanggungjawab secara fadhu ain untuk menjaga kebajikan kedua ibu bapanya berbanding jihad al-hujum yang merupakan fardhu kifayah dan memadai ia dilakukan oleh sebahagian Mukmin yang lain.

 

Keempat: Keizinan orang yang memberi hutang (izn al-madin)

Ibn Qudamah mengatakan tidak dibolehkan bagi seseorang yang berhutang untuk keluar berperang tanpa keizinan pemiutang kecuali jika dia meninggalkan cagaran, penjamin atau apa yang bersamaan dengannya. Beliau juga menjadikan perbahasan isu ini di dalam satu bab yang khusus (al-Mughni: 8/359). Begitu juga dipegang oleh al-Syafie (Raudhah al-Talibin: 10/210). Hal ini kerana, keluar berjihad akan menyebabkan kemungkinan untuk kehilangan nyawa. Maka, kehilangan nyawa bakal mengakibatkan kehilangan hak orang lain yang terdapatdi dalamnya. Disebutkan di dalam hadith:

 

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ. إِنْ قُتِلْتُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا مُقْبِلًا غَيْرَ مُدْبِرٍ أَيُكَفِّرُ اللَّهُ عَنِّي خَطَايَايَ؟ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ إِلَّا الدَّيْنَ، كَذَلِكَ قَالَ لِي جِبْرِيلُ

"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya aku berperang di jalan Allah dalam keadaan sabar dan tulus mengharapkan pahala, adakah akan dihapuskan segala dosa-dosaku? Baginda pun bersabda: Ya kecuali (jika kamu ada) hutang. Sesungguhnya Jibril yang mengatakan kepadaku sebegitu” (Riwayat Muslim, no. 1885)

 

Di dalam hal ini, seseorang yang berhutang walaupun dengan sesebuah institusi tidak boleh berlepas tangan hanya dengan alasan untuk pergi berjihad dengan jihad menyerang (jihad al-hujum). Hal ini kerana, seseorang yang berhutang kepada institusi akan membebankan ahli keluarga atau penjaminnya dan juga negara untuk melangsaikan hutangnya jika dia terbunuh dalam peperangan tersebut.

 

Kelima: Persediaan kekuatan (i’daad al-quwwah)

Dalam konteks peperangan, persediaan ketenteraan adalah amat penting. Hal ini sememangnya termasuk dalam perkara yang dituntut oleh syariat. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:

 

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu...”

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Bagi zaman kini, persediaan ketenteraan  termasuklah kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear. Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana ia boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutamanya bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam. (Ringkasan Fiqh Jihad: 131-132))

 

Manakala, persediaan ketenteraan bagi diri pejuang pula bermaksud persediaan individu tersebut terhadap peperangan seperti latihan peperangan dan kemahiran menggunakan senjata dengan cara yang betul. Diambil petikan kata-kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitab Fiqh al-Jihad:

 Disebabkan itulah, Rasullah s.a.w telah menyuruh sekalian umatnya untuk melatih diri mereka sendiri dengan cara menggunakan senjata, hingga mereka mendapat kemahiran menggunakannya. Sekiranya tidak, maka senjata-senjata itu akan kehilangan nilainya. (Fiqh al-Jihad: 1/533-542)

 Jika kita melihat kepada kata-kata ini, jelaslah bahawa jihad memerlukan persediaan dari segi ketenteraan dan persenjataan. Oleh itu, perbuatan keluar berperang secara sembarangan tanpa mengambil kira persediaan-persediaan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Walaupun kedudukan orang yang mati syahid itu tinggi di dalam Islam, Islam tetap tidak mengiktiraf perbuatan keluar begitu sahaja tanpa persediaan dengan niat semata-mata mengorbankan diri sendiri.

 

Keenam: Bekalan jihad (mu’nah al-jihad)

Antara syarat jihad al-hujum adalah memiliki bekalan jihad. Ia termasuk perbelanjaan atau nafkah kepada tanggungannya sepanjang ketiadaannya. Imam al-Syafie mengatakan, walaupun seseorang itu sejahtera tubuhnya (daripada kecacatan) dan kuat, namun dia tidak memiliki bekalan untuk keluar berjihad, tidak juga meninggalkan perbelanjaan untuk orang di bawah tanggungannya sepanjang tempoh ketiadaannya, maka dia tidak boleh menawarkan diri untuk berjihad lalu meninggalkan kewajipan terhadap tanggungan di bawahnya (Mukhtasar al-Muzani: 8/376). Al-Nawawi pula menegaskan bekalan jihad hendaklah lebihan daripada nafkah yang wajib ditunaikan buat tanggungan di bawahnya (Raudhah al-Talibin: 10/210).

Bekalan jihad atau disebut juga sebagai mu’nah al-jihad ini berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat 91:

 

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Di dalam ibadah haji, seseorang itu disyaratkan dengan berkemampuan untuk pergi melaksanakannya. Kemampuan ini bermaksud kemampuan menyediakan perbelanjaan diri sendiri sebelum, semasa dan setelah mengerjakan haji juga perbelanjaan buat keluarga yang ditinggalkan di tanah air. Haram bagi seseorang individu untuk pergi ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah haji dalam keadaan meninggalkan keluarganya di dalam keadaan papa kedana. Begitu juga keadaannya bagi mereka yang keluar berperang dengan jihad al-hujum. Dia perlu menyediakan bekalan yangsecukupnya buat dirinya juga keluarga yang ditinggalkan kerana nafkah masih di bawah tanggungjawabnya.

 

Kesimpulannya

Berjihad ke luar negara termasuk dalam kategori jihad al-talab atau al-hujum. Ia memiliki beberapa syarat yang wajib dipenuhi dan tidak boleh dilaksanakan secara semberono. Semangat, sentimen dan keberanian semata-mata tidak boleh menjadi dalil untuk menghalalkan perbuatan seseorang untuk berjihad di luar negara. Jihad sebagaimana amal ibadat yang lain, turut mempunyai tatacara dan hukum hakamnya yang tersendiri. Setiap orang yang ingin melaksanakannya perlu mempelajari dan mengetahui perihal yang berkaitan dengannya supaya apa yang dilakukan selari dengan hukum syarak dan lebih penting daripada itu, perbuatan tersebut diterima sebagai ibadat oleh Allah SWT di akhirat kelak.