Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 jihad.JPG

Salah Faham

Bagaimana seseorang yang tidak terlibat dengan jihad mahu bercakap tentang soal jihad dan mujahidin atau mengeluarkan hukum dan fatwa, sedangkan terdapat kaedah yang mengatakan, “لا يفتي قاعد لمجاهد” bererti, “Seorang yang tidak berjihad tidak boleh mengeluarkan fatwa terhadap orang yang berjihad.” Malah dalam surah al-Nisa’ ayat 95, Allah SWT menyatakan bahawa tidak sama kedudukan orang berjihad dengan orang yang tidak berjihad, bahkan orang yang berjihad dikurniakan satu darjat lebih tinggi daripada orang yang tidak berjihad.

 

Pencerahan

Sebelum menjelaskan isu ini, kami ingin nyatakan bahawa berkenaan isu jihad, kami telah menjawabnya dalam Tashih al-Mafahim #1: Jihad Bukan Perang Semata-mata[1] dan Tashih al-Mafahim #2: Berperang Jihad ke Luar Negara?[2] Di samping itu kami juga pernah menjelaskan berkenaan isu jihad di Syria dan kumpulan ISIS dalam Bayan Linnas Siri 3: Kenyataan Ulama Tentang ISIL atau ISIS[3] dan Bayan Linnas Siri 4 Jihad di Syria: Isu Penyertaan Warga Malaysia.[4]

Dalam membicarakan isu jihad, amat penting ia dilihat secara holistik dan komprehensif, bukan secara juz’i dan dipengaruhi emosi semata-mata. Lihat bagaimana firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ 

Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

(Surah al-Taubah: 122)

Ayat ini menjelaskan bahawa mendalami ilmu agama sehingga menjadi alim atau faqih merupakan fardu kifayah kepada sebahagian umat Islam. Tidak seharusnya seluruh umat Islam dikerah untuk berjihad sehingga tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjadi faqih atau alim dalam permasalahan agama. Al-Maraghi mengatakan ayat ini menjelaskan hukum mendalami (tafaqquh) ilmu agama kerana ia merupakan jalan kepada jihad dengan hujjah dan dalil. Ia adalah rukun dalam berdakwah kepada iman dan menegakkan prinsip-prinsip Islam. Kerana itu, jihad perang tidak disyariatkan kecuali bagi memelihara dakwah Islam daripada dipermain-mainkan oleh golongan yang melampau daripada kalangan orang kafir dan munafik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)

Adapun bagi memperbetulkan salah faham di atas yang mendakwa golongan yang tidak berperang jihad tidak boleh mengeluarkan fatwa mengenai perang jihad, maka kami perturunkan hujah-hujah penjelasannya seperti berikut:

Pertama: Ungkapan “لا يفتي قاعد لمجاهد” tidak termasuk dalam Qawa’id Fiqhiyyah. Ia tidak didasari dengan mana-mana nas syarak yang muktamad. Para ulama juga tidak pernah menjadikan ia sebagai pertimbangan dalam mengeluarkan sesuatu hukum syarak. Ini kerana, penilaian kesahihan dan kebatilan sesebuah fatwa yang dikeluarkan itu bukan bergantung kepada seseorang itu keluar berjihad atau kuat beribadah. Sebaliknya ia tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan seseorang mengeluarkan fatwa. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Memiliki pengetahuan mengenai al-Qur’an dan al-Sunnah beserta yang berkaitan dengan kedua-duanya;
  2. Memiliki pengetahuan mengenai apa yang diijmakkan, apa yang dikhilafkan beserta pendapat-pendapat dalam mazhab fiqah yang muktabar;
  3. Memiliki pengetahuan luas dalam ilmu Usul al-Fiqh, prinsip-prinsipnya, kaedah-kaedahnya, Maqasid al-Syariah dan ilmu-ilmu alat seperti nahu, sarf, balaghah, Bahasa Arab dan lain-lain;
  4. Penguasaan fiqah yang membolehkan ia mengeluarkan hukum hakam daripada nusus syarak;
  5. Merujuk kepada pakar bidang yang pelbagai bagi mendapatkan gambaran terhadap masalah yang dipersoalkan seperti masalah perubatan dan ekonomi.

Tiada mana-mana ulama yang membahaskan syarat-syarat memberikan fatwa mengatakan seorang mufti mestilah seorang yang pergi berjihad atau berperang. Bahkan seorang alim itu hendaklah diambil fatwa atau pendapatnya tanpa mengambil kira kedudukannya, tetapi orang jahil tidak boleh diambil pandangannya walaupun ia seorang yang berperang jihad sekalipun.

Sepanjang sejarah Islam, ramai dari kalangan ulama besar Islam yang tidak pernah turun berperang jihad termasuk para imam mazhab empat. Sedangkan perbahasan mengenai jihad yang terkandung dalam karya-karya mereka terus menjadi rujukan kepada para ulama terkemudian sehingga kini. Apa yang penting, seorang faqih perlu mengetahui apa yang ingin difatwakan dengan pengetahuan yang sebenar agar ia mendapat gambaran yang sahih terhadap apa yang hendak difatwakan.

Ibn al-Qayyim mengatakan, seorang mufti atau hakim tidak mampu mengeluarkan fatwa atau hukum kecuali dengan memiliki dua jenis kefahaman:

  1. Kefahaman terhadap realiti masalah menerusi pemerhatian terhadap bukti-bukti, dalil-dalil dan tanda-tanda yang berkaitan.
  2. Kefahaman terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW berkenaan realiti tersebut untuk diaplikasikan kepadanya. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/96)

Ini bermakna gambaran terhadap sesuatu masalah itu boleh dicapai menerusi nukilan atau perkhabaran dan tidak semestinya perlu berada sendiri di tempat tersebut atau ketika kejadian tersebut. Sehingga kini, ramai ulama yang memberikan fatwa panjang lebar terhadap soalan-soalan yang datang daripada luar negara mereka berada.

 

Kedua: Seorang alim memiliki kedudukan dan kelebihan yang tinggi sebagaimana yang dinaskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran:18)

Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, dalam ayat tersebut Allah SWT telah menjadikan orang berilmu (ulul ‘ilmi) sebagai saksi terhadap seagung-agung perkara yang dipersaksikan iaitu ketauhidan-Nya. Ini menunjukkan kelebihan ilmu dan ahlinya. (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, 1/48)

Rasulullah SAW juga telah mempersaksikan bahawa para ulama itu adalah golongan yang mewarisi ilmu dan peranan para Anbiya. Sabda Baginda SAW:

فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ

Maksudnya: “Kelebihan orang alim ke atas seorang yang beribadat itu umpama kelebihan bulan purnama ke atas sekalian bintang-bintang, sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi.”

Riwayat Ibn Hibban (88)

Disebutkan kepada Rasulullah SAW mengenai dua orang lelaki. Seorang daripadanya kuat beribadat manakala seorang lagi alim lagi berilmu. Lalu Baginda SAW bersabda:

فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ

Maksudnya: “Kelebihan orang alim ke atas orang yang beribadat seperti kelebihan aku ke atas orang yang terendah dalam kalanganmu.”

Riwayat al-Tirmizi (2685)

Oleh yang demikian, sehebat mana pun pahala dan kelebihan seorang yang berjihad itu, sesungguhnya pahala dan kelebihan seorang ahli ilmu itu tetap mengatasinya. Ini kerana, jihad adalah termasuk dalam jenis ibadah sedangkan kelebihan seorang ahli ilmu ke atas ahli ibadat itu amat besar.

Adapun berkenaan hadith sebaik-baik amalan itu adalah jihad seperti hadith:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَفْضَلُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُؤْمِنٌ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ

Maksudnya: “Dikatakan: Wahai Rasulullah siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah SAW bersabda: Mukmin yang berjihad pada jalan Allah dengan nyawa dan hartanya.”

Riwayat al-Bukhari (2786)

Imam al-‘Aini mengatakan bahawa ini adalah perkataan umum yang dikhususkan. Ia bererti orang yang berjihad adalah sebahagian daripada sebaik-baik manusia. Sebaliknya jika secara umum, maka para ulama itu lebih afdal. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 14/83)

Al-Qastallani ketika menjelaskan ini mengatakan min di sini dengan maksud sebahagian (tab’idiyyah). Itu diperkuatkan dengan ungkapan: “Mukmin berjihad” yang ditakdirkan dengan maksud - Sebaik-baik manusia mukmin yang berjihad – kerana ia ungkapan umum yang dikhususkan, takdirnya, “Antara sebaik-baik manusia.” Ini kerana ulama’ lah yang memandu manusia agar mengikut syariat dan peraturan serta memimpin mereka lebih baik. (Lihat Irsyad al-Sari, 5/34)

Selain itu, keadaan seseorang itu baik dalam beragama dan ibadahnya tidak bermakna ia berhak untuk memberi fatwa. Ini kerana kelayakan memberikan fatwa itu adalah pada penguasaan ilmu bukan sekadar pada kesolehan amalannya.

Ketiga: Manakala firman Allah SWT:

لَّا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّـهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّـهُ الْحُسْنَىٰ ۚوَفَضَّلَ اللَّـهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”   

(Surah al-Nisa’: 95)

Di dalam ayat ini tidak mengandungi sebarang isyarat yang menunjukkan bahawa Allah SWT melebihkan secara mutlak orang yang berjihad ke atas selain mereka termasuk ahli ilmu. Konteks ayat ini adalah Allah SWT sekadar mahu menjelaskan kelebihan orang yang pergi berjihad dengan harta dan nyawanya berbanding orang yang tidak berjihad. Ia bukan untuk menjelaskan kelebihan orang yang berjihad berbanding ahli ilmu.

Al-Baidawi mengatakan, “Ia bermaksud tiada persamaan antara mereka (yang berjihad) dengan mereka yang tidak berjihad tanpa sebarang sebab. Faedahnya ialah untuk mengingatkan perbezaan antara kedua-duanya bagi menggalakkan orang yang tidak pergi berjihad mengangkat kedudukannya dan mengelak daripada jatuh kedudukannya.” (Lihat Anwar al-Tanzil, 2/91)

Sebagaimana ayat tersebut juga menunjukkan bahawa seseorang yang tidak pergi berjihad disebabkan keuzuran syar’ie maka ia tetap dikurniakan pahala berjihad. Al-Qurtubi mengatakan, sabit dalam riwayat sahih bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya di Madinah, lelaki-lelaki yang tidak kamu lalui lembah, tidak kamu jalani perjalanan, kecuali mereka tetap bersama kamu (dalam pahala), mereka adalah kelompok yang terhalang disebabkan keuzuran (untuk berjihad).” Riwayat Ahmad (12874) Ini dapat difahami bahawa orang yang uzur dikurniakan pahala seperti orang yang berperang jihad. Diandaikan pahalanya adalah sama kerana anugerah (fadhl) Allah itu amat luas sedangkan pahala adalah termasuk anugerahnya, bukan suatu hak yang dituntut. Maka Dia boleh mengurniakan pahala hanya disebabkan niat yang tulus dan tidak mengurniakan pahala atas sesuatu perbuatan tanpa niat yang tulus. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/342)

Bahkan terdapat banyak ibadat yang disebutkan oleh syarak dengan lafaz-lafaz yang menunjukkan keafdalan (tafdil) sesuatu amalan. Namun, ia bukan bermaksud untuk mengatakan sesiapa yang mengerjakan amalan tersebut maka dialah yang paling benar atau tepat amalannya. Tetapi ia berdasarkan kemampuan dan kesesuaian amalan itu dengan seseorang. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Daqiq al-‘Ied berikut,

Terdapat banyak hadith yang berbeza-beza mengenai fadilat sesuatu amalan dan kelebihannya atas satu dengan yang lain. Dan yang dikatakan pada (hal) ini: Sesungguhnya ia adalah jawapan-jawapan untuk penyoal yang khusus atau orang yang sesuai dengan keadaannya, atau ia terkhusus dengan sebahagian keadaan yang petunjuk-petunjuk sekeliling mengarahkan ia kepada maksud (tertentu)… jika ditanya dengan demikian oleh seorang yang gagah berani yang berkeahlian tinggi dalam peperangan, maka akan dijawab kepadanya: (sebaik-baik amalan itu) jihad. Namun jika ditanya dengannya oleh orang yang tidak mampu berperang, tidak juga cukup baik untuk menumpukan ibadat kepada zikrullah, namun dia seorang yang kaya yang boleh dimanfaatkan dengan sumbangan hartanya, lalu akan dijawab: (sebaik-baik amalan itu) bersedekah. Dan demikianlah seterusnya bagi orang lain, kemungkinan yang afdal pada orang ini tidak pula afdal pada orang lain, bergantung kepada maslahah yang bersesuaian dengannya.” (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/163)

 

Keempat: Jika diandaikan seseorang yang berjihad perang itu benar-benar faham tentang jihad perang di lapangan, itu tidak semestinya menunjukkan dia seorang yang alim mengenai hukum syarak atau lebih berhak dalam berfatwa. Ini kerana hukum syarak diambil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, sedangkan orang yang menguasainya adalah para ulama. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

Firman Allah SWT juga:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. 

(Surah al-Nahl: 43)

Mafhumnya, dalam permasalahan syarak, pendapat seorang yang berjihad tidak boleh mendahului pendapat seorang alim. Bererti pendapat seorang mujahid tidak boleh diambil kira kecuali sekiranya dia merupakan seorang ahli ilmu dan fatwa. Sebagaimana pendapat seorang alim di perbatasan tidak boleh diutamakan ke atas pendapat seorang alim yang tidak berperang hanya disebabkan dia berada di tempat peperangan atau keterlibatannnya dengan perang. Sedangkan apa sepatutnya menjadi pertimbangan adalah kekuatan pendapat dan fatwanya berdasarkan kekuatan dalil sebagaimana yang digariskan dalam disiplin ilmu. Isu-isu kritikal dan kompleks yang sering dihadapi para mujahidin seperti hukum hakam tahanan, harta rampasan perang, perjanjian-perjanjian dan selainnya, semuanya memerlukan ketajaman ilmu dan pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak.

Perlu juga diinsafi keadaan saf para mujahidin itu sendiri yang tidak sunyi daripada pelbagai latar belakang manusia. Ada dalam kalangan mereka yang jahil, ahli maksiat, berjihad kerana ingin menunjuk berani, berjihad kerana fanatik perkauman, atau dengan kata lain bukan semua yang terlibat itu merupakan ahli ilmu dan fatwa. Adakah hanya disebabkan mereka itu terlibat dalam peperangan maka pendapat mereka itu menjadi lebih utama berbanding ahli ilmu dan fatwa yang tidak pergi berperang jihad?

Adapun dalam bidang yang berkaitan dengan ketenteraan, strategi perang di lapangan, latihan ketenteraan, logistik pertahanan dan seumpamanya, maka ia sudah tentu perlu diserahkan kepada mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Ini tiada pertikaiannya di sisi para ulama sama sekali.

Kelima: Jika benar mendahulukan kata-kata seorang yang berjihad itu lebih utama berbanding kata-kata seorang alim, sudah tentu ia turut akan dikatakan oleh golongan pakar daripada bidang lain. Ini bermaksud, fatwa tidak boleh diterima daripada seseorang yang bukan dalam bidang tersebut. Misalnya, fatwa dalam bidang perubatan tidak boleh diterima kecuali daripada seorang doktor pengamal perubatan dan demikian juga dalam bidang-bidang lain. Ini hakikatnya merupakan suatu kaedah yang batil kerana sejak sekian lama pakar-pakar daripada pelbagai bidang merujuk kepada alim ulama untuk mendapatkan pencerahan mengenai status hukum berkaitan bidang mereka. Ini berlaku dengan cara mereka menjelaskan kepada alim ulama perincian masalah yang dihadapi sebelum diijtihadkan jawapannya oleh para ulama berpandukan kaedah-kaedah istinbat hukum.

Dalam konteks masa kini, kita melihat urusan pengeluaran fatwa menjadi lebih sistematik apabila ia diuruskan oleh sebuah institusi fatwa yang bukan sahaja dianggotai oleh ilmuwan syariah tetapi juga pakar-pakar yang terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu. Ini menjadikan sesebuah fatwa yang dikeluarkan amat berautoriti dan boleh dipertanggungjawab kerana ia didasari dengan metodologi perbahasan akademik yang kukuh. Hal ini menepati anjuran syarak agar ahli-ahli agama menjadi benteng dalam mempertahankan dan mengekalkan ketulenan agama ini. Sabda Rasulullah SAW:

يَرِثُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ , يَنْفُونَ عَنْهُ تَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ , وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ , وَتَحْرِيفَ الْغَالِينَ

Maksudnya: “Akan membawa ilmu (agama) ini dari setiap generasi orang-orang yang adil (terpercaya) dari mereka, (dan) mereka akan membersihkan ilmu agama dari (upaya) at-tahriif (menyelewengkan kebenaran/merubah kebenaran dengan kebatilan) dari orang-orang yang melampaui batas, kedustaan dari orang-orang yang ingin merusak (syariat Islam) dan pentakwilan dari orang-orang yang bodoh.”

Riwayat al-Baihaqi (20911)

 

Di samping itu, kita juga perlu berhati-hati dengan amaran Rasulullah SAW apabila umat mula menjadikan golongan jahil sebagai rujukan dalam memahami agama. Sabda Baginda:

إِن اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ النَّاسِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمُ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، فَإِذَا لَمْ يبْق عَالِمٌ اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama, apabila tidak berbaki lagi seorang alim, manusia akan menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan memberikan fatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (52)

 

Kesimpulan

Hakikatnya, pegangan seumpama ini hanya dianut oleh golongan yang ekstrem dan fanatik terhadap perjuangan mereka yang membuta tuli. Golongan ini tidak mahu diri mereka ditegur dan dinasihati lalu meletakkan kaedah yang tidak diketahui asal usulnya menurut syarak. Lebih parah lagi apabila mereka bertindak mengkafir dan menyesatkan orang yang tidak bersetuju dengan mereka walaupun boleh jadi orang yang menyalahi mereka itu juga seorang mujahid. Kesimpulannya, apa jua isu agama termasuk berkenaan perang jihad, wajib merujuk kepada fatwa atau hukum agama yang dikeluarkan oleh seorang ahli ilmu yang berkepakaran atau institusi agama yang berautoriti, tanpa mengambil kira sama ada mereka terlibat dalam perang atau pun tidak. Wallahu a’lam.  

[1] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2547-tashih-al-mafahim-1-jihad-bukan-perang-semata-mata

[2] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2576-tashih-al-mafahim-2-berperang-jihad-ke-luar-negara

[3] http://muftiwp.gov.my/images/pdf/artikel/bayan-linnas/3-Bayan-Linnas.pdf

[4] http://muftiwp.gov.my/images/pdf/artikel/bayan-linnas/4-Jihad-di-Syria.pdf