Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 hak asasi.JPG

Salah faham

Islam adalah agama yang anti kepada perjuangan memartabatkan Hak Asasi Manusia (HAM). Ini terbukti apabila didapati golongan yang sering ke hadapan dalam mempertahankan HAM adalah golongan Barat dan bukan Islam. Adakah benar pernyataan ini?

 

Pencerahan

Pertama sekali, pernyataan yang mengatakan Islam sebagai anti kepada perjuangan HAM adalah tersasar jauh daripada kebenaran. Sejarah telah membuktikan, kedatangan Nabi Muhammad SAW telah mengangkat HAM di Mekah sehingga berjaya mengeluarkan mereka daripada kegelapan jahiliyyah kepada keadilan Islam. Baginda telah menghapuskan sikap ‘asabiyyah perkauman, diskriminasi golongan kaya terhadap yang miskin, diskriminasi terhadap wanita, diskriminasi golongan bangsawan terhadap rakyat bawahan dan seumpamanya. Semua ini menunjukkan betapa Islam adalah agama yang mengangkat martabat kemanusiaan. Namun begitu, apa yang menjadi isu adalah nilai HAM yang difahami Islam berbeza dengan nilai HAM yang dianuti Barat. Ia menjadikan seolah-olah umat Islam menolak perjuangan HAM, walhal ia berpunca daripada perbezaan sudut pandang terhadap alam (worldview) antara Islam dan Barat. Justeru, kami perturunkan di sini beberapa sudut pandang yang berbeza antara HAM menurut Islam dan HAM menurut Barat bagi kita memahami isu ini.  

 

Perbezaan Sumber Rujukan

Dalam memahami HAM, isu pertama yang paling asas diajar oleh Islam adalah mengenal hakikat diri manusia itu sendiri. Apabila seseorang mengetahui status dirinya, maka ia akan bercakap dalam ruang lingkup dirinya sebagai manusia. Dalam surah al-Insan ayat 1-2, Allah SWT menjelaskan dari manakah asal usul manusia dan apa tujuan penciptaannya. Dia berfirman:

هَلْ أَتَىٰ عَلَى الْإِنسَانِ حِينٌ مِّنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُن شَيْئًا مَّذْكُورًا ﴿١﴾إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٢﴾ إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا 

Maksudnya: “Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? (1) Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2) Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

(Surah al-Insan: 1-2)

Syeikh al-Tantawi mengatakan ayat ini menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan Allah SWT daripada tiada kepada ada. Demikian juga Dia Maha Berkuasa untuk mengembalikan mereka kepada kehidupan selepas mati untuk dihisabkan segala amal perbuatannya. Matlamat penciptaan manusia adalah untuk menguji mereka dengan segala yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Lalu Allah SWT akan menilai, siapa dalam kalangan mereka yang tunduk kepada perintahnya maka dia bersyukur dan siapa yang ingkar maka dia kufur. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 15/214-215)

Dalam ayat lain, Allah SWT menyeru sekalian manusia supaya menyembah-Nya, Tuhan yang telah menciptakan mereka dan orang yang sebelum mereka. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 21) 

Di tempat lain, Allah SWT menjelaskan bahawa ketundukan seseorang hamba itu tidak semestinya berlaku secara sukarela, tetapi ia mungkin juga berlaku secara terpaksa atau tanpa disedari. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

وَلِلَّـهِ يَسْجُدُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُم بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ 

Maksudnya: “Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Ra’d: 15)

Berasaskan dalil-dalil tersebut, ia menunjukkan HAM menurut Islam adalah tertakluk kepada kedudukan manusia sebagai makhluk dan hamba Allah SWT. Ia bertepatan dengan fitrah kemanusiaan yang telah diciptakan oleh Allah SWT di dalam diri setiap manusia.

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّـهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ 

Maksudnya: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) fitrah (ugama) Allah, iaitu ugama yang Dia fitrahkan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

(Surah al-Rum: 30)

Dalam hal ini, HAM menurut perspektif Islam tidak lain bermaksud al-hurriyyah al-fitriyyah iaitu kebebasan manusia menurut fitrah. Sebagaimana kata al-Buti, kebebasan menurut fitrah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan sifat perhambaan manusia kepada Allah SWT, bahkan dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, maka ia semakin mengangkat tinggi fitrah kemanusiaan. (Lihat Huriyyah al-Insan fi Zill ‘Ubudiyyatih Lillah, 119)

Ini berbeza dengan HAM menurut Barat yang menjadikan akal manusia semata-mata sebagai sumber rujukan. Lebih-lebih lagi, istilah HAM secara eksplisit baru ditemukan di Barat pada abad ke-18. (Lihat Instrumen Internasional Pokok Hak-Hak Asasi Manusia, 11) Istilah ini pertama kali digunakan dalam bahasa Perancis iaitu droits de I’homme bererti, hak-hak manusia. Istilah ini merujuk kepada hak-hak manusia dan warganegara yang dikeluarkan di Perancis ketika Revolusi Perancis pada tahun 1789. Pernyataan tentang hak asasi ini kemudian diterjemahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke dalam bahasa Inggeris iaitu fundamental human rights yang kemudian disingkatkan menjadi human rights. (Lihat HAM dalam Perspektif Islam Menyingkap Persamaan dan Perbedaan Antara Islam dan Barat, xvii)

Justeru, tidak dapat disangkal lagi, perjuangan HAM pada hari ini banyak dipengaruhi oleh gerakan hak asasi manusia di Barat. Terdapat beberapa kejadian yang menimpa Barat telah mendorong perjuangan atas nama HAM. Antara lain adalah peristiwa Magna Carta pada tahun 1215; konsep hukum alam (natural law) yang disarankan oleh Thomas Hobbes dan John Locke; Revolusi Perancis yang berlaku antara 1789-1799; Deklarasi Kemerdekaan dan Perlembagaan Amerika Syarikat; industrialisasi dan bantahan terhadap eksploitasi buruh yang digerakkan oleh kelompok Sosialis dan Komunis; yang kemudian diikuti oleh kemusnahan dunia ekoran Perang Dunia Pertama dan Kedua; penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) pada tahun 1945 dan seterusnya, penggubalan Universal Declaration on Human Rights (UDHR) 1948.[1]

Dengan demikian, gagasan HAM yang dianjurkan oleh Barat sudah tentu berlatarbelakangkan pemikiran dan budaya hidup mereka. Jika diteliti, ideologi HAM di Barat adalah bersifat anthroposentrik, iaitu menjadikan manusia sebagai ukuran terhadap segala sesuatu. HAM dalam perspektif ini menempatkan manusia dalam suatu ketetapan bahawa hubungannya dengan Tuhan sama sekali tidak wujud. HAM dinilai sebagai kurniaan semulajadi (‘alamiyyah) sejak lahir. Tegasnya, HAM di Barat itu bersifat sekular sehingga orientasi dan kebertanggungjawabannya hanya tertumpu kepada manusia semata-mata.(Lihat Hak Asasi Manusia: Hakekat, Konsep dan Implikasinya dalam Perspektif Hukum dan Masyarakat, hlm. 217)

Dengan kata lain, HAM menurut worldview Barat adalah berpaksikan fahaman humanisme. Iaitu satu sistem pemikiran atau isme yang memberi penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan kebajikannya. Fahaman ini juga menafikan kebergantungan manusia kepada unsur agama dan agama dilihat sebagai suatu yang menyusahkan hidup manusia. (Lihat Encyclopedia of Ethics, 2/800)

Humanisme dengan makna dan pendekatan atheism sebagaimana yang difahami hari ini merupakan cetusan idea tokoh komunisme; Karl Marx. Ini diakui oleh dua orang tokoh yang banyak membincang dan mengkaji latar belakang fahaman ini iaitu Bruno Baucer (1882) dan Ludwig Feuerbach (m. 1872). Menurut Karl Marx, humanisme diperkenalkan bertujuan untuk menafikan kewujudan dan kekuasaan Tuhan seterusnya memisahkan manusia daripada agama. Malahan, Marx dengan berani telah menegaskan bahawa manusia adalah pencipta agama dan bukan agama yang mencipta manusia. (Lihat Encyclopedia of Ethics, 2/801-802)

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita fahami bahawa perbezaan mendasar antara HAM menurut Islam dan HAM menurut Barat adalah pada sumber rujukannya. HAM menurut Islam merupakan kebebasan manusia menurut fitrah berpandukan wahyu Allah SWT, manakala HAM menurut Barat merupakan perjuangan menuntut kebebasan mutlak bagi setiap manusia tanpa berpandukan wahyu dan nilai-nilai agama.

 

Perbezaan Objektif

Sebagaimana dibentangkan sebelum ini, terdapat perbezaan antara HAM menurut Islam dan HAM menurut Barat dari sudut sumber rujukan. Ini menjadikan objektif antara kedua-duanya turut berbeza. Objektif HAM menurut Islam dapat dilihat menerusi objektif penurunan syariat Islam itu sendiri atau disebut dengan Maqasid al-Syari’ah. Secara umumnya matlamat Syariat Islam itu seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn al-Qayyim:

فإن الشريعة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها، ورحمة كلها، ومصالح كلها، وحكمة كلها، فكل مسألة خرجت عن العدل إلى الجور، وعن الرحمة إلى ضدها، وعن المصلحة إلى المفسدة وعن الحكمة إلى العبث، فليست من الشريعة وإن أدخلت فيها بالتأويل، فالشريعة عدل الله بين عباده ورحمته بين خلقه وظله في أرضه..

Maksudnya: “Syariah (Islamiyyah) itu terbina dan terasas di atas hukum dan maslahah para hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia keseluruhannya adil, keseluruhannya rahmat, keseluruhannya maslahah, keseluruhannya hikmah. Maka setiap masalah yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah (kerosakan), daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwilan. Maka syariat Allah itu adil buat semua hamba-Nya, rahmat buat semua makhluk-Nya dan lembayung-Nya di muka bumi..” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/14-15)

Imam al-Izz bin Abdul Salam berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu hukum daripada hukum-hakamnya kecuali demi kemaslahatan di dunia atau akhirat atau demi kedua-duanya sekali, sebagai suatu kelebihan ke atas hamba-hamba-Nya”. (Lihat Syajarat al-Ma’arif, 355)

Tegasnya, matlamat Syariat Islam adalah untuk menjamin kemaslahatan manusia bukan sekadar di dunia tetapi membawa ke akhirat. Dengan sebab itu, HAM menurut Islam tertakluk kepada segala titah perintah dan larangan syarak. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّـهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا 

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(Surah al-Ahzab: 36)

Pada akhirnya, tujuan Maqasid al-Syariah itu sendiri adalah bermatlamat melaksanakan seluruh tuntutan syariat Allah SWT di muka bumi. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ 

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah al-Hajj: 14)

Berbeza dengan HAM menurut Barat, ia hanya perjuangan yang bermatlamatkan memenuhi tuntutan manusia di dunia semata-mata tanpa mengambil kira implikasinya di akhirat kelak. Ini boleh dilihat menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR) 1948 tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memperuntukkan dalam Fasal Pertama bahawa, “All human beings are born free and equal in dignity and rights.” Ini bererti HAM merupakan hasil dari manusia itu terlahir sebagai manusia. Dengan kata lain HAM menurut UDHR adalah bersumberkan dari manusia itu sendiri. Ia bukan suatu pemberian atau kurniaan dari Tuhan sebagaimana yang difahami dalam Islam. Justeru HAM menurut Barat tidak tertakluk atau terikat dengan agama sama sekali. Dengan demikian, sifat HAM menurut Barat itu elastik dan boleh berubah sesuai dengan kehendak dan keinginan manusia itu sendiri.

Antara beberapa perkara dalam UDHR 1948 yang bercanggah dengan agama terutama Islam adalah seperti Perkara 16 (1) yang berbunyi:

Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”.

Bagi umat Islam perkara ini sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukum-hakam tertentu berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan. Begitu juga Perkara 18 yang berbunyi:

Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.

Bagi Islam, Perkara 18 jelas tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam memelihara agama seperti larangan murtad dan menganut atau membawa atau menyebar ajaran songsang.

UDHR 1948 kemudiannya dikanunkan sebagai satu kovenan khusus pada 16 Disember 1966 iaitu International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) atau Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik. Semua negara anggota PBB termasuk Malaysia diminta untuk menandatangi kovenan ini khususnya setiap kali status hak asasi manusia negara-negara anggota PBB disemak.

Sebagai reaksi kepada UDHR 1948 dan ICCPR tersebut, negara-negara Islam telah melancarkan ‘Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam’ atau ‘Cairo Declaration on Human Rights in Islam’ pada 1993. Deklarasi saingan UDHR 1948 ini dibincangkan di Kaherah ketika persidangan ke 19 menteri luar negara anggota OIC pada tahun 1990. Menurut Cairo Declaration, HAM adalah bersumberkan Allah Yang Maha Berkuasa, dan setiap tafsiran hak tidak boleh bertentangan dengan undang-undang syariah. Poin ini terkandung jelas dalam Artikel 24: All Rights and freedoms stipulated in this Declaration are subject to the Islamic Shariah dan Article 25: The Islamic Shariah is the only source of reference for the explanation or clarification of any articles of the Declaration.

Berdasarkan perbahasan di atas, menunjukkan perbezaan yang jelas terdapat pada HAM menurut Islam dan HAM menurut Barat dari sudut objektif perjuangannya. HAM menurut Islam bertujuan memastikan kemaslahatan manusia di dunia dengan mengambil kira kesejahteraan di akhirat, manakala objektif HAM menurut Barat bertujuan untuk memenuhi kehendak dan keinginan manusia tanpa melihat implikasinya di akhirat kelak.

 

Perbezaan Implikasi

Dalam memenuhi tuntutan manusia yang pelbagai di dalam dunia ini, kayu ukur paling utama yang patut dijadikan asas adalah sejauh mana ia bertepatan dengan kehendak dan maksud Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi. Adalah tidak wajar sama sekali jika manusia melupakan tujuan asal penciptaannya semata-mata demi menuruti kehendak yang tidak pernah puas atas nama memenuhi tuntutan HAM. Justeru, dalam konteks Islam, implikasi akhir daripada perjuangan HAM hendaklah meraih keredhaan Allah SWT, bahkan tiada yang lebih besar daripada itu.

Benar, Islam menolak segala bentuk diskriminasi sebagaimana yang ditolak oleh Barat. Pun begitu, ia bukan bermakna dengan menghalalkan perkara yang bertentangan dengan syarak. Sebagai contoh, Islam menolak penindasan dan diskriminasi terhadap wanita tetapi bukan sehingga membatalkan pembahagian faraid, menyamaratakan hak pewalian, hak talaq, menjadi imam solat kepada lelaki dan lain-lain. Demikian juga dalam isu gender, Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi tetapi bukan sehingga menghalalkan pertukaran jantina, menjadi gay atau lesbian atau seumpamanya yang dilaknat oleh Allah dan Rasul. Bagi Islam, semua ini bukan lagi bersifat menolak diskriminasi tetapi ia telah melampaui batas sehingga terjebak ke dalam memperhambakan hawa nafsu manusia yang rakus. Ia sebagaimana kata-kata ‘Ali bin Abi Talib berkata:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمُ اثْنَتَيْنِ: اتِّبَاعُ الْهَوَى، وَطُولُ الْأَمَلِ، فَأَمَّا اتِّبَاعُ الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ، وَأَمَّا طُولُ الْأَمَلِ فَيُنْسِي الْآخِرَةَ  

Maksudnya: “Sesungguhnya apa yang paling bimbangi ke atas kamu adalah dua perkara: Mengikut hawa nafsu dan panjangnya angan-angan. Adapun mengikut nafsu maka ia menghalang daripada kebenaran. Manakala panjangnya angan-angan maka ia melupakan akhirat.” (Lihat al-Zuhd, 304)

Walau bagaimanapun, inilah yang menjadi cabaran terhadap umat Islam pada masa kini. Ini kerana, apabila umat Islam menolak HAM menurut Barat yang berselindung di sebalik agenda menghapuskan diskriminasi, ia menimbulkan persepsi seolah-olah Islam agama yang anti kepada perjuangan HAM. Walhal apa yang ditolak adalah perkara yang bertentangan dengan syariat. Situasi ini meletakkan umat Islam antara dua persimpangan. Sama ada mahu mencari keredhaan manusia semata-mata atau tegar mencari redha Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ الله تعالى عَنْهُ وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَسْخَطَ عليه الناس

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, Allah akan meredhainya dan manusia juga (lambat laun) akan meredhakannya. Dan sesiapa yang mencari redha manusia dengan kemurkaan Allah, Allah akan memurkainya dan manusia juga (lambat laun) akan memarahinya.

Riwayat Ibn Hibban (276)

Manakala HAM menurut Barat, ia tidak sekali-kali mempedulikan implikasinya terhadap kemurkaan Allah SWT. Ini kerana, objektif utamanya adalah demi memenuhi tuntutan dan keinginan manusiawi semata-mata. Justeru, soal redha dan murka Allah SWT tidak langsung diambil kira. Sebagai contoh, bagi pejuang HAM Barat, seks bebas merupakan hak peribadi setiap manusia yang tidak boleh diganggu gugat. Sedangkan dalam Islam, zina merupakan suatu larangan bahkan boleh mengundang murka Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan bagaimana berleluasanya zina boleh membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Baginda bersabda:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا، فَيُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعِقَابٍ

Maksudnya: “Umatku sentiasa dalam keadaan baik selagi mana anak zina tidak tersebar dalam kalangan mereka. Apabila tersebar pada mereka anak zina, maka hampir-hampir sahaja Allah azza wa jalla meratakan azab ke atas mereka.”

Riwayat Ahmad (26830)

 

Kesimpulan

Tidak dapat diragukan lagi bahawa Islam merupakan agama yang memelihara kemanusiaan berasaskan fitrah manusiawi berpandukan syariat Allah SWT. Ia jauh lebih mulia dan lebih tinggi berbanding sekadar memperjuangkan hak-hak asasi seorang manusia menurut Barat. Ini tidak bermakna, Islam menolak secara total perjuangan HAM yang dibawa oleh Barat. Namun demikian, ia perlu disaring dan diteliti agar tidak bercanggah dengan syariat. Sesungguhnya syariat yang diturunkan Allah SWT telah pun lengkap sebagai manual dalam menjamin hak-hak kemanusiaan seorang manusia. Islam datang bukan sekadar membawa aqidah semata-mata, tetapi menawarkan suatu transformasi menyeluruh terhadap sudut pandang manusia kepada alam. Ketika pahlawan Islam Rib’iy bin Amir berhadapan dengan Rustum, panglima tentera Parsi dalam peperangan al-Qadisiyyah, beliau telah mengungkapkan suatu kalimah hebat yang padat, jelas lagi tegas dalam memaknakan erti kemanusiaan sebenar. Beliau mengatakan,

Allah SWT telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia yang Dia kehendaki dari penyembahan terhadap hamba kepada penyembahan terhadap Allah semata-mata, dari kesempitan dunia menuju kelapangan akhirat, dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”. (Lihat Tarikh al-Tabari, 2/401)

Akhirnya, kami ingin tegaskan, bahawa Islam sekali-kali bukan agama yang anti kepada perjuangan hak asasi, tetapi pada hakikatnya Islamlah agama yang menjadi harapan kepada sekalian hak kemanusiaan yang hakiki. Wallahu a’lam.

 

Nota Hujung:

[1] http://ehs.siu.edu/socialwork/_common/documents/articles/ reichert-articles/article10.pdf