Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #17: KESAN PSIKOLOGI KEPADA ATEIS

Soalan: Apakah kesan-kesan di dunia bagi orang yang tidak mempercayai Tuhan?

Jawab:

Adalah sukar untuk menentukan populasi ateis di seluruh dunia kerana perbezaan budaya, latar belakang pemahaman dan mereka mungkin berselindung di sebalik kepercayaan-kepercayaan berunsur falsafah seperti Taoisme, Jainisme atau selesa sebagai Agnostik. Malah, ada yang “kekal” sebagai Muslim dan beramal dengan ibadah-ibadah di dalam Islam kerana menganggap diri mereka sudah Muslim secara budaya (culturally Muslim).

Hidup di dalam dunia yang tidak dapat lari daripada proses sebab-akibat ini, sudah pasti akan membawa satu jawapan bagi kesan kepada individu yang tidak mempercayai Tuhan. Dalam jurnal Social Psychological and Personality Science ada sebuah artikel yang bertajuk Does Religion Stave Off the Grave? Religious Affiliation in One’s Obituary and Longevity. Kajian ini bukanlah menjadi hujah utama kelebihan beragama namun ianya boleh menjadi sokongan bagi membezakan mereka yang beragama dan tidak beragama.

Kajian ini memfokuskan kepada kesan hidup beragama dalam memanjangkan umur seseorang. Kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik bidang psikologi daripada Ohio University, termasuk seorang daripada Xavier University itu menunjukkan bahawa mereka yang beragama, hidup 5.64 tahun lebih lama daripada mereka yang tidak beragama. Ia dilakukan dengan merujuk kepada lebih 1,000 notis obituari daripada akhbar di 42 buah negeri dalam Amerika Syarikat. Malah, kajian kepada 500 notis obituari di Iowa pula menunjukkan peningkatan kepada 6.48 tahun di mana mereka menyimpulkan bahawa hidup di kawasan yang beragama turut memberi impak yang sama.[1]

Kami ringkaskan 16 kesan-kesan psikologi bagi individu yang tidak mempercayai Tuhan sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Habannakah al-Maidani dalam Kawasyif Zuyuf, m. 553-554. Sifat-sifat ini tidaklah datang secara sekaligus pada seseorang ateis tetapi mungkin wujud beberapa sifat atau sebahagiannya dalam jiwa mereka. Antaranya adalah:

  1. Perasaan bingung dan kacau bilau serta hilang ketenangan jiwa dan hati.
  2. Rasa ketat dada dan terpenjara dalam diri.
  3. Jiwa yang jengkel.
  4. Kemurungan dan cemas.
  5. Kesedihan dan tertekan.
  6. Rasa ingin membunuh diri.
  7. Kehendak untuk membalas dendam dan jiwa yang dahagakan kepuasan pada tiap sesuatu yang wujud.
  8. Rasa kebencian yang bersangatan
  9. Ketakutan yang teramat terhadap sifat curiga.
  10. Rasa keluh kesah yang tidak reda. Apabila ditimpa kesusahan, dia akan keluh kesah. Apabila mendapat kebaikan, dia akan bersifat kedekut.
  11. Sifat dengki yang bersangat terhadap apa sahaja yang tidak selari dengan kehendak mereka.
  12. Iri hati yang membakar.
  13. Jiwa yang seakan tersiat-siat.
  14. Tidak selesa dengan hidup.
  15. Kegilaan yang melampau.
  16. Pengasingan diri yang membawa kepada sikap individualistik.

Walaupun mungkin ada yang menafikan sifat-sifat ini pada diri ateis, hakikatnya pasti akan ada walau satu daripada sifat-sifat ini terutamanya rasa tidak tenang dalam hidup. Seorang ateis yang komited dengan pegangannya sentiasa akan rasa tidak puas selagimana tidak mencabar intelektualnya dengan berdiskusi dengan orang beragama.

Jika soalan-soalan mereka tidak mempunyai jawapan yang memuaskan akal, ia seolah-olah satu kepuasan bagi mereka sendiri. Akhirnya, mereka tidak sedar bahawa itu cumalah sifat ego yang semakin menggunung dalam jiwa mereka.

Kesimpulan

Kehidupan beragama sebenarnya memberi 1001 kelebihan kepada manusia, apatah lagi agama Islam. Agama memberikan manusia tuntunan dan ajaran hidup dan memberi jawapan tentang hal yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia. Dengan agama juga, manusia mampu membezakan hakikat sebenar bagi kebaikan dan keburukan. Selain itu, agama juga adalah penyeimbang antara elemen luaran dan spiritual manusia.

Lihat sahaja perkongsian pengalaman Yusuf Estes, Yusuf Islam, Sonny Bill Williams, Sheikh Hamza Yusuf dan lain-lain. Pasti ada banyak perbezaan yang mereka alami dan rasai sebelum dan selepas memeluk Islam. Inilah hal yang hanya akan difahami oleh mereka yang beragama.

Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Qur’an berkenaan keadaan orang-orang yang tidak beriman kepada-Nya:

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”

            (Surah al-An’am: 125)

Imam al-Baghawi menjelaskan mereka yang Allah SWT kehendaki untuk diberi hidayah adalah dibuka hatinya dan memberikannya cahaya sehingga dia menerima Islam.”. Manakala Allah akan menjadikan dada seorang yang dikehendaki untuk disesatkan dengan disempitkan hatinya sehingga tidak dimasuki iman. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/157-158)

Semoga kita sama-sama dapat menginsafi akan kelemahan diri kita dan berusaha memperkukuhkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

_________________________

[1] http://journals.sagepub.com/doi/full/10.1177/1948550618779820