Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Mawquf ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mawquf adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Mawquf

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi Hadith Mawquf seperti berikut:

وَمَا أَضَفْتَهُ إِلَى الأَصْحَابِ مِنْ * قَوْلٍ وَفِعْلٍ فَهْوَ مَوْقُوفٌ زُكِنْ

Maksudnya: “Apa yang disandarkan kepada ashab (sahabat Nabi SAW) daripada kata-kata atau perbuatan dinamakan [Hadith Mawquf]”.

 

Menurut definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, Hadith Mawquf adalah hadith yang disandarkan kepada sahabat Nabi SAW sama ada daripada perkataan dan perbuatan dan sanadnya tidak sampai atau bersambung kepada Rasulullah SAW.

 

Sebelum daripada ini, kami telah menceritakan berkaitan Hadith Munqathi’ iaitu Hadith yang sanadnya terhenti pada Tabi’in atau selepas daripada mereka. Akan tetapi, Hadith Mawquf adalah hadith yang sanadnya terhenti pada sahabat RA sahaja dan ia tidak sampai kepada Nabi SAW. Untuk itu, ini merupakan perbezaan antara kedua istilah ini.

 

Definisi Sahabat

Sahabat ialah setiap orang yang bertemu dengan Rasulullah SAW lalu beriman dengannya dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah SWT. Menurut Imam Ibn Salah, yang masyhur dalam kalangan ahli hadith bahawa setiap muslim yang melihat Rasulullah SAW maka dia digelar sahabat. Manakala, Imam al-Bukhari mengatakan bahawa barangsiapa yang bersahabat dengan Nabi SAW atau melihat baginda SAW daripada kalangan orang Islam maka mereka itu digelar sebagai sahabat.

 

Contoh Hadith Mawquf

Antara contoh hadith mawquf adalah seperti kata-kata Sayidina Umar RA:

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا

Maksudnya:Hendaklah kamu faqih atau belajar sebelum kamu dilantik menjadi ketua.

 

Hukum Hadith Mawquf

Berkaitan hukum Hadith Mawquf, para ulama’ telah membahagikan kepada dua bahagian:

 

  • Pertama: Setiap perkara yang dibolehkan atau mempunyai ruang untuk akal berijtihad padanya maka ia tidak boleh dijadikan hujjah melainkan ijtihadnya itu dipersetujui atau bersamaan dengan sahabat-sahabat yang lain maka ia menjadi Ijma’.

 

  • Kedua: Perkara yang tidak mempunyai ruang untuk berijtihad, contohnya seperti perkara-perkara ghaib maka hukumnya adalah marfu’ kepada Nabi SAW kecuali jika diketahui bahawa sahabat tersebut mengambil daripada ahli kitab.

 

Persoalan

Adakah Hadith Mawquf dinamakan sebagai Athar (أثر) ?

 

Kita telah ketahui bahawa Hadith mawquf ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir. Oleh itu, Sebahagian fuqaha’ menamakan mawquf dengan athar dan marfu’ sebagai khabar (خبر).

 

  • Imam Nawawi berkata: “Di sisi muhaddith (ahli hadith), setiap ini dinamakan dengan athar iaitu bahawa athar diitlaqkan atas hadith marfu’ dan juga mawquf”.

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan: “Sebahagian ahli ilmu menjadikan athar khusus untuk sahabat dan selepas daripada mereka. Manakala Khabar pula bagi hadith yang marfu’ (hadith yang sanadnya bersambung kepada Nabi SAW)”.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.