PUTRAJAYA, 13 MEI 2025 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berbesar hati menerima kunjungan ulama tersohor dari Syria, Asy-Syaikh Majd Makki dalam program Tausiah Syahri Khas & Executive Talk yang berlangsung dengan penuh barakah. Ketibaan beliau telah disambut mesra oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Majlis tausiah ini turut diserikan dengan kehadiran Sahibus Fadilah Ustaz Manan bin Lubis, Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Fatwa, serta Sahibus Fadilah Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti bersama para kakitangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tausiah yang bertajuk "Peranan Ulum al-Tafsir dalam Menyantuni Fatwa dan Ijtihad" menekankan betapa pentingnya ilmu Ulum al-Tafsir dalam proses pengeluaran hukum oleh para mujtahid. Asy-Syaikh Majd Makki menjelaskan bahawa Ulum al-Tafsir berfungsi sebagai panduan utama dalam memahami nas-nas al-Quran secara menyeluruh dan tidak boleh ditafsirkan hanya berpaksikan akal semata-mata. Tafsiran sebegini menurut beliau boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dalam memahami maksud sebenar al-Quran.
Diharapkan melalui program tausiah ini, para peserta memperoleh pencerahan dan kefahaman yang mendalam tentang kepentingan Ulum al-Tafsir dalam menangani isu-isu kontemporari secara berhemah, berasaskan nas yang sahih dan disiplin ilmu yang tuntas. Semoga penganjuran program sebegini akan terus memperkukuh keilmuan dan kefahaman Islam dalam kalangan warga kerja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.