Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

ZIARAH MAHABBAH MUFTI RUSIA KE JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA, 18 Ogos 2026 - Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan Mufti Hazrat Farid Mingaleev, Ketua Pertubuhan Islam Baikal Muftiyat, Irkutsk, Rusia ke Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Ziarah Mahabbah ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiah, di samping memperkukuh jaringan hubungan antara institusi agama Malaysia dan Rusia. Pertemuan ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali peranan serta pendekatan institusi agama dalam membimbing masyarakat Islam di negara masing-masing.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan berkaitan hal ehwal Islam, peranan institusi mufti, pengurusan kefahaman agama serta pendekatan dalam menyantuni keperluan masyarakat Islam dalam konteks semasa.

Perkongsian ini juga memberikan peluang untuk melihat persamaan dan perbezaan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia dan Rusia, khususnya dalam aspek pendidikan, dakwah, pengukuhan kefahaman Islam serta peranan institusi agama dalam memastikan nilai-nilai Islam terus difahami dan diamalkan dengan baik.

Selain itu, kunjungan ini turut membuka ruang kepada penerokaan potensi kerjasama dalam bidang keilmuan, dakwah dan pertukaran pengalaman antara Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan institusi Islam di Irkutsk, Rusia.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mufti Hazrat Farid Mingaleev, Ketua Pertubuhan Islam Baikal Muftiyat, Irkutsk, Rusia atas kesudian berkunjung serta meluangkan masa dalam pertemuan yang penuh mahabbah dan ukhuwah ini.

Semoga Ziarah Mahabbah ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat serta membuka ruang kerjasama yang berterusan antara institusi agama Malaysia dan Rusia dalam memperkasa syiar, keilmuan dan kesejahteraan umat Islam.