Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT MAKTAB PDRM KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2026 – Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur telah diadakan dalam suasana penuh penghayatan bagi menyemarakkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memperkukuh penghayatan terhadap sirah, sunnah dan akhlak Baginda.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YDH DCP Dr. Che Ghazali bin Che Awang, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, yang bersama-sama menjayakan program sambutan pada kali ini.

Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan turut dijemput bagi menyampaikan tausiyah sempena Sambutan Maulidur Rasul. Pengisian tersebut memberi penekanan terhadap keperibadian Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam membentuk kehidupan yang berteraskan akhlak, amanah dan integriti.

Dalam tausiyahnya, Sahibus Samahah turut mengajak warga PDRM agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh Baginda seperti kejujuran, kesabaran, keberanian, kasih sayang dan keadilan wajar diterapkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam melaksanakan tugas kepada masyarakat dan negara.

Sambutan Maulidur Rasul ini bukan sekadar memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi medan untuk meningkatkan kecintaan kepada Baginda serta menghayati ajaran dan sunnah yang dibawa. Penghayatan tersebut penting dalam membentuk warga pasukan keselamatan yang bukan sahaja profesional dan berdisiplin, bahkan mempunyai nilai moral serta jati diri yang kukuh.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada seluruh warga Maktab PDRM Kuala Lumpur serta menyemarakkan lagi usaha untuk meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan dan pelaksanaan tugas. Semangat Maulidur Rasul juga diharap terusditerjemahkan melalui amalan, perkhidmatan yang berintegriti serta komitmen dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat.