Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS QIRA’AH KITAB SYAMA’IL AL-HABIB AL-MUSTAFA

MASJID NEGARA, 7 September 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyampaikan ucapan pembukaan sempena Majlis Qira’ah Kitab Syama’il al-Habib al-Mustafa yang menghimpunkan para ilmuwan, asatizah serta pencinta ilmu dalam majlis pengajian berkaitan keperibadian dan akhlak Rasulullah SAW.

Majlis Qira’ah ini menjadi salah satu wadah penting dalam menyemarakkan tradisi pengajian ilmu Islam, khususnya melalui pembacaan dan penghayatan kitab yang membicarakan syama’il Rasulullah SAW, merangkumi sifat, keperibadian, akhlak, gaya kehidupan serta keindahan peribadi Baginda.

Dalam ucapan pembukaan, Sahibus Samahah menekankan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar dizahirkan melalui ungkapan, bahkan perlu diterjemahkan melalui usaha mengenali kehidupan, akhlak dan sunnah Baginda serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Sahibus Samahah turut menyatakan bahawa negara MADANI yang dipimpin oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim; Perdana Menteri sentiasa membuka ruang dan menyantuni para ulama serta ilmuwan, khususnya dalam memperkasa tradisi keilmuan Islam dan memastikan pandangan serta nasihat golongan agamawan terus mendapat tempat dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Menurut Sahibus Samahah, keterbukaan tersebut penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang menghargai ilmu, menghormati para ulama serta menjadikan panduan agama sebagai salah satu asas dalam membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Usaha menyantuni para ulama juga mencerminkan kesungguhan untuk memperkukuh hubungan antara institusi agama, golongan ilmuwan dan masyarakat.

Pengajian berkaitan syama’il Rasulullah SAW mempunyai kedudukan penting dalam membentuk kefahaman umat terhadap keperibadian Baginda. Dengan mengenali sifat dan akhlak Rasulullah SAW, umat Islam dapat menjadikan Baginda sebagai qudwah hasanah dalam membina kehidupan yang berteraskan iman, akhlak dan nilai kemanusiaan.

Majlis Qira’ah ini turut menjadi ruang untuk menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menghubungkan masyarakat dengan warisan keilmuan Islam yang telah dipelihara oleh para ulama dari generasi ke generasi.

Semoga Majlis Qira’ah Kitab Syama’il al-Habib al-Mustafa terus menjadi medan yang diberkati dalam menyebarkan ilmu, menghidupkan tradisi pengajian kitab serta memperkukuh kecintaan umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seterusnya diterjemahkan melalui penghayatan sunnah dan akhlak Baginda dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.