Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

SESI RAKAMAN PODCAST PENGURUSAN TH BERSAMA MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA, 9 September 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas jemputan kepada Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil; Mufti Wilayah Persekutuan untuk menjayakan sesi rakaman podcast yang membincangkan konsep istito‘ah serta kepentingan persediaan awal menuju ibadah haji.

Dalam sesi tersebut, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan mengupas konsep istito‘ah sebagai salah satu asas penting dalam menentukan kewajipan seseorang Muslim untuk menunaikan ibadah haji. Perbincangan turut menyentuh aspek kemampuan yang perlu diberi perhatian, termasuk kemampuan dari sudut kewangan, kesihatan, keselamatan serta keupayaan fizikal dan mental.

Sahibus Samahah turut menekankan bahawa persediaan menunaikan haji tidak seharusnya dimulakan hanya apabila seseorang telah menerima tawaran untuk ke Tanah Suci. Sebaliknya, persediaan perlu dilakukan lebih awal merangkumi aspek ilmu, kewangan, kesihatan, pengurusan diri dan penghayatan ibadah, agar bakal jemaah lebih bersedia menghadapi perjalanan haji.

Perbincangan turut dikaitkan dengan pendekatan Fiqh Mizan, iaitu kefahaman terhadap prinsip keseimbangan dan pertimbangan yang wajar dalam beragama. Dalam konteks ibadah haji, konsep ini menuntut seseorang Muslim agar menilai kemampuan diri secara menyeluruh serta menyeimbangkan antara tuntutan ibadah, keadaan kesihatan, kemampuan kewangan dan keperluan kehidupan sebelum melaksanakan sesuatu tuntutan.

Pendekatan Fiqh Mizan juga menekankan bahawa pelaksanaan ibadah perlu dilakukan dengan mengambil kira maslahat, kemampuan dan keadaan sebenar seseorang, tanpa mengabaikan prinsip syarak. Justeru, persediaan awal bukan sekadar persediaan untuk memenuhi tuntutan perjalanan, bahkan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan ilmu, kesediaan dan kemampuan yang sebaiknya.

Podcast ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tuntutan haji serta menggalakkan umat Islam membuat persediaan secara terancang berdasarkan kemampuan masing-masing. Penekanan terhadap konsep istito‘ah, Fiqh Mizan dan persediaan awal diharapkan dapat membantu bakal jemaah melaksanakan ibadah haji dengan lebih sempurna, tenang dan menepati tuntutan syarak.