Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 13/2025: WANG FIAT IALAH HARTA RIBAWI

TintaMufti.jpg

 

WANG FIAT IALAH HARTA RIBAWI

Mata wang fiat ialah mata wang yang dikeluarkan oleh kerajaan yang tidak disokong oleh komoditi fizikal seperti emas atau perak. Ia disokong oleh kerajaan yang mengeluarkannya. Nilai wang fiat diperoleh daripada hubungan antara penawaran dan permintaan serta kestabilan kerajaan yang mengeluarkannya, dan bukannya nilai komoditi yang menyokongnya.

Persoalan mengenai takyif fiqhi bagi wang fiat yang digunakan pada masa kini telah menjadi perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama dan ilmuan Islam kontemporari. Terdapat banyak permasalahan yang berkait dengan wang fiat iaitu dari segi kewajipan zakat, syarat untuk ditukarkan dan sebagainya.

Secara umumnya, majoriti majlis fatwa antarabangsa bersepakat bahawa wang fiat ialah barang pertukaran yang tertakluk kepada hukum riba seperti emas dan perak. Antara yang jelas mengeluarkan fatwa tersebut ialah Lembaga Ulama Besar Arab Saudi, Akademi Fiqh Islami di bawah Liga Dunia Islam, Akademi Fiqh Islam bawah Organisation for Islamic Cooperation (OIC) dan Akademi Fiqh India.

Fatwa-fatwa ini menyatakan bahawa wang kertas yang digunakan pada masa kini sama hukumnya seperti emas dan perak. Hal ini kerana meskipun wang fiat tidak mempunyai nilai intriksik seperti emas dan perak, namun ia diqiaskan kepada emas dan perak secara qias syabah kerana wang fiat menyerupai emas dan perak dari segi penggunaannya sebagai medium pertukaran dan pengukur nilai. Pada masa kini, ia juga telah menggantikan emas dan perak sebagai medium

Justeru, wang fiat tertakluk kepada hukum-hakam riba hutang dan riba jual beli seperti emas dan perak. Sebarang urus niaga yang melibatkan pertukaran antara wang dengan wang, atau wang dengan emas atau perak mestilah memenuhi syarat jual beli sarf yang telah ditetapkan oleh syarak. Urus niaga yang mengabaikan syarat-syarat tersebut akan menyebabkan pihak-pihak yang berakad terlibat dalam riba yang diharamkan dan menyebabkan jual beli tersebut tidak sah. Sabda Nabi SAW:

‌الذهب ‌بالذهب. والفضة بالفضة. والبر بالبر. والشعير بالشعير. والتمر بِالتَّمْرِ. وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ. مِثْلًا بِمِثْلٍ. سَوَاءً بِسَوَاءٍ. يَدًا بِيَدٍ. فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah sebagaimana yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara lani (on the spot).”

(Riwayat Muslim)

Pandangan yang mengatakan bahawa wang fiat bukan ribawi merupakan pandangan yang bahaya kerana ia akan membuka pintu riba seluas-luasnya terutama dalam zaman ini yang emas dan perak sudah tidak lagi digunakan sebagai medium pertukaran. Ia juga akan membawa kepada risiko penindasan dan penipuan kerana wang boleh dijual beli dengan bebas.

Hal ini juga bercanggah dengan maqasid syariah bagi pengharaman riba iaitu mencegah kezaliman, menggalakkan manusia berusaha dan bekerja sebagai jalan untuk mencari rezeki serta melatih jiwa untuk berbuat kebaikan dengan bersedekah, memberi pinjaman ihsan dan bekerjasama dalam kebaikan. Firman Allah SWT:

وَمَآ ءَاتَيۡتُم مِّن رِّبٗا لِّيَرۡبُوَاْ فِيٓ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ فَلَا يَرۡبُواْ عِندَ ٱللَّهِۖ وَمَآ ءَاتَيۡتُم مِّن زَكَوٰةٖ تُرِيدُونَ وَجۡهَ ٱللَّهِ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُضۡعِفُونَ 

Maksudnya: "Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”

Surah Ar-Rum (39)

Dari sudut ekonomi, hikmah daripada pengharaman riba juga adalah untuk menghalang wang daripada berkembang sendiri tanpa penglibatan aktiviti ekonomi yang sebenar. Hal ini akan menjadikan ekonomi sesebuah negara itu rapuh dan terdedah kepada risiko kejatuhan yang berbahaya. Selain itu, Penindasan dan peningkatan jurang kemiskinan juga akan berlaku kerana orang yang kaya boleh memberi pinjam kepada orang yang memerlukan dan mengambil untung daripada pinjaman tersebut. Orang yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan bertambah miskin. Pintu kepada risiko-risiko ini akan terbuka luas jika wang fiat yang mempunyai sifat yang cukup sebagai medium pertukaran tidak dihukum sebagai harta ribawi.

Tambahan pula, dunia Islam sejak 1970-an lagi telah bertungkus-lumus membangunkan institusi kewangan Islam bagi menyelamatkan umat Islam daripada terlibat dalam riba yang jelas dan menawarkan alternatif perkhidmatan kewangan yang patuh syariah kepada umat Islam. Pembangunan institusi kewangan Islam yang patuh syariah ini bertepatan dengan Maqsad al-Tadayyun dan Maqsad al-Umran yang menjadikan umat Islam mematuhi hukum syarak serta membangun umat dan negara.

Kesimpulannya, pandangan yang menetapkan wang fiat sebagai harta ribawi sama seperti emas dan perak ialah pandangan majoriti ulama dan majlis fatwa antarabangsa. Pandangan ini yang dipakai oleh institusi kewangan Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia yang tertakluk bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Mengatakan bahawa wang fiat bukan harta ribawi yang harus untuk ditukar secara tidak sama (tafadul) dan bertangguh (nasi’ah) adalah satu pandangan yang bahaya yang boleh membuka pintu riba seluas-luasnya.

WaAllahua’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
17SAFAR 1447H / 11 OGOS 2025