Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 14/2025: INISIATIF MENOKTAHKAN KEMISKINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

TintaMufti.jpg

 

INISIATIF MENOKTAHKAN KEMISKINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada 24 Julai 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI), yang memberi tumpuan khusus kepada usaha menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendekatan holistik dan merentasi sektor. Inisiatif yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri ini menyasarkan isi rumah yang berdaftar dalam Sistem eKasih sebagai golongan sasar. Keberkesanan program ini terbukti apabila dana terkumpul daripada sektor korporat telah mencecah hampir RM120 juta, melebihi sasaran awal sebanyak RM50 juta.[1]

Sejahtera MADANI turut menekankan bahawa kejayaan pengurusan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi termasuk agihan barangan, perkhidmatan dan latihan kemahiran yang menyeluruh. Fokus utama program ini merangkumi empat aspek penting iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan, dan kebajikan menunjukkan pendekatan ‘beri kail, bukan ikan’ yang mengutamakan pembaikan berlanjutan dan peningkatan martabat hidup rakyat. Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan untuk mengangkat golongan termiskin keluar daripada kemiskinan tegar.[2] Sehubungan dengan itu pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) mengemukakan pandangan daripada perspektif syarak berkaitan inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar ini.

Kemiskinan dalam Perspektif Islam

Kemiskinan ialah suatu fenomena global yang berlaku tanpa mengira zaman, geografi dan individu disebabkan pelbagai faktor yang kompleks. Fenomena ini bukan sahaja disebabkan satu sudut sahaja, namun ia sebuah cabaran yang bersifat multidimensi yang merangkumi isu-isu penting seumpama kekurangan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan dan juga hak-hak sosial yang asas. Bahkan krisis kehidupan seperti kekacauan politik, kegagalan pemerintah dan peperangan juga turut mendorong kepada wujudnya kemiskinan di dunia.

Dalam hal ini, Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh tidak memandang kemiskinan sebagai suatu yang remeh. Sebaliknya, Islam mengajarkan umatnya bahawa kemiskinan merupakan sesuatu perkara negatif dan buruk yang perlu dielakkan. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik dalam hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW (marfu’) bahawa

كادَ الفَقرُ أنْ يَكُونَ كُفْرًا

Maksudnya: Hampir sahaja kefakiran itu menjadi sebab kepada kekufuran.

(Riwayat al-Baihaqi)

Di samping itu, Islam secara tegas menolak idea bahawa kemiskinan adalah nasib yang perlu diterima secara pasif. Islam tidak mengajar kita untuk reda kepada kefakiran dan kemiskinan yang dapat diatasi dengan pelbagai cara. Hal ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam doa Baginda SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الكُفْرِ وَالفَقْرِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kemiskinan.

(Riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad)

Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Mir’at al-Mafatih menyebutkan bahawa maksudnya kefakiran itu hampir menyebabkan seseorang untuk terjatuh dalam kekufuran kerana ia akan membawa kepada tidak reda dengan ketentuan Allah SWT dan benci pembahagian rezeki yang diberikan, justeru hal ini lebih dekat kepada kekufuran.[3] Jika dilihat di dalam doa tersebut, kemiskinan disebut bersama kekufuran kerana ia boleh melemahkan pegangan agama.

Selain daripada itu, kemiskinan dalam perspektif Islam juga dilihat sebagai akibat daripada sistem sosial dan ekonomi yang zalim atau kelalaian golongan kaya. Allah SWT memberi amaran keras kepada mereka yang menumpuk harta tanpa mengeluarkannya di jalan Allah dalam firman-Nya bahawa:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ‎﴿٣٤﴾‏ يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ ‎﴿٣٥﴾

Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.

(Surah al-Taubah: 34-35)

Ayat ini menunjukkan wujudnya kaitan yang rapat antara pengumpulan kekayaan ekstrem oleh golongan kaya yang enggan membelanjakan harta mereka ke jalan Allah SWT dengan kemiskinan yang menimpa orang lain. Oleh yang demikian, kemiskinan turut berpunca daripada kepincangan dalam sistem sosial masyarakat yang perlu untuk ditangani dengan cara yang lebih baik agar pengagihan kekayaan sesebuah negara itu dapat dilakukan dengan lebih adil dan saksama. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ

Maksudnya: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

(Surah al-Hasyr: 7)

Begitu juga dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ ‎﴿١٩﴾‏

Maksudnya: Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

(Surah al-Dzāriyāt: 19)

Menoktahkan Kemiskinan Bermaksud Merealisasikan Maqasid Shariah

Tambahan pula, kemiskinan yang melarat dalam kalangan masyarakat juga membawa kepada menafikan keperluan asas manusia seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan pendidikan. Hal ini kerana seseorang manusia terpaksa untuk memotong atau mengurangkan perbelanjaan terhadap beberapa keperluan asasi mereka disebabkan oleh kesempitan wang akibat kemiskinan. Oleh yang demikian, inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar ini sebenarnya satu langkah yang penting dalam merealisasikan Maqasid Shariah iaitu menjaga agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs), akal (hifz al-‘aql), maruah (hifz al-‘ird) dan harta (hifz al-māl). Hal ini kerana kelima-lima Maqasid tersebut tidak akan dapat dicapai jika seseorang itu masih berada dalam belenggu kemiskinan.

Oleh itu, kemiskinan dilihat sebagai satu ancaman langsung kepada kelima-lima keperluan asasi ini. Maka dalam hal ini, Islam memerangi kemiskinan bukan semata-mata mengurangkan, bahkan berusaha membebaskan sepenuhnya manusia daripadanya. Matlamat atau objektif tertinggi di sebalik perundangan Islam bertujuan untuk merealisasikan kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan (keburukan) bagi seluruh umat manusia di dunia dan akhirat yang dapat dicapai melalui pembasmian kemiskinan ini. Allah SWT juga memerintahkan umat Islam agar tidak melupakan bahagian mereka daripada kekayaan dunia dalam firman-Nya:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.

(Surah al-Qasas: 77)

Kemiskinan Mampu Dinoktahkan

Kemiskinan bukan naluri dan fitrah asal manusia, bahkan sebaliknya manusia dicipta untuk beribadah dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Sepertimana yang telah disebutkan, Islam tidak mengajar umatnya untuk reda dalam keadaan yang tidak berusaha dan tidak bersungguh-sungguh untuk keluar daripada belenggu kesusahan. Bahkan, Islam menggalakkan untuk umatnya memajukan diri dan memakmurkan dunia. Inilah yang disebutkan sebagai Maqasid al-Umran berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.

(Surah Hud: 61)

Selain daripada itu, dalam sejarah Islam sendiri terbukti bahawa terdapat pemerintah yang mampu untuk menoktahkan kemiskinan iaitu di zaman pemerintahan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz iaitu apabila beliau mengutuskan Yahya Ibn Sa’id ke Afrika untuk mengagihkan harta, namun tidak mendapati di seluruh tempat tersebut seorang pun fakir miskin untuk diberikan harta kepadanya.[4] Ini kerana dasar pembaharuan komprehensif yang dilakukan oleh Khalifah Umar ibn Abdul Aziz yang berpaksikan keadilan melalui pengagihan zakat secara sistematik dan memastikan hak fakir miskin benar-benar ditunaikan, menghapuskan pembaziran dengan memotong perbelanjaan dan kemewahan peribadi serta menghalang ketirisan dalam perbelanjaan negara.

Oleh yang demikian, menoktahkan kemiskinan adalah sesuatu yang realistik dan mampu dicapai berserta dengan tekad dan keazaman daripada semua pihak untuk menjayakan inisiatif yang sangat baik ini sepertimana yang telah dibuktikan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar ini adalah suatu perkara yang sangat baik dan dianjurkan di dalam Islam. Pihak pemerintah bertanggungjawab dalam melaksanakan perkara ini sebagai salah satu cara memberikan kemaslahatan dan menolak kemudaratan kepada rakyatnya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyat mestilah tertakluk kepada maslahah.

Oleh yang demikian, hal ini jelas menunjukkan bahawa kemiskinan tidak diraikan di dalam Islam, bahkan ia ibarat suatu penyakit yang perlu untuk dirawat.

WaAllahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
17SAFAR 1447H / 11 OGOS 2025
 
 

Rujukan: 

[1] Rujuk pautan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sejahtera-madani-buka-lembaran-baharu-tangani-kemiskinan-pm-anwar-531012

[2] Rujuk pautan: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/usaha-tangani-kemiskinan-bandar-menerusi-sejahtera-madani

[3] Al-Mubarakfuri, Ubaidullah, Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, (India: Idarat al-Buhus al-Islamiah, 1984), jld. 8, hlmn. 244.

ومعناه أي: قارب أن يوقع في الكفر لأنه يحمل على عدم الرضاء بالقضاء وتسخط الرزق وذلك يجر إلى الكفر والعياذ بالله.

[4] Ahmad Sahnun, Dirasat wa Tawjihat Islamiyyah, (Algeria: Muassasah Wataniah, 1992), hlmn. 180.

إذ يعمد يحيى بن سعيد الموجه من طرف عمر بن عبد العزيز إلى تلك الأموال التي لم يجد في إفريقيا كلها فقراء يعطيها لهم، فيشتري بها الرقاب المملوكة فيعتقها.