Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 54/2025: AGENDA PEMINDAHAN ORGAN KEBANGSAAN 2026: KESELARASAN DASAR KESIHATAN DAN HUKUM SYARAK

TintaMufti.jpg

 

AGENDA PEMINDAHAN ORGAN KEBANGSAAN 2026: KESELARASAN DASAR KESIHATAN DAN HUKUM SYARAK

Pendahuluan

Kementerian Kesihatan Malaysia merangka semula sistem pemindahan organ sebagai agenda kebangsaan akan menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai plan Penambahbaikan Perkhidmatan Pemindahan Organ Agenda Kebangsaan Pada 2026. Tujuannya adalah untuk mengatasi kadar pemindahan organ yang masih rendah walaupun negara mempunyai kepakaran klinikal dan infrastruktur yang baik. Dalam kenyataan tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga menekankan pentingnya pembaharuan dasar dan peningkatan kesedaran derma organ di kalangan rakyat, termasuk kemudahan proses pendaftaran penderma melalui aplikasi MySejahtera.

Pemindahan Organ Dari Sudut Pandangan Syarak

Pendermaan dan pemindahan organ manusia adalah satu kaedah perubatan yang terbukti keberkesanannya terutama dalam dunia perubatan moden masa kini. Ia dibenarkan oleh syarak, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Prosedur ini boleh dilaksanakan sama ada melalui pemindahan dari penderma hidup kepada penerima hidup atau dari individu yang telah meninggal dunia kepada individu yang masih hidup. Tujuannya adalah untuk menyelamatkan nyawa atau memenuhi keperluan darurat yang kritikal, terutamanya apabila tiada lagi rawatan lain yang berupaya mencegah kemusnahan.

Isu pendermaan dan pemindahan organ merupakan persoalan hukum syarak yang memerlukan penelitian mendalam. Para ulama berbeza pendapat antara pengharaman dan pengharusan. Walaupun begitu, kebanyakan institusi-institusi fatwa di peringkat antarabangsa termasuk di Malaysia mengharuskannya sama ada secara mutlak atau dengan syarat tertentu. Bahkan terdapat juga yang menilainya sebagai wajib dalam keadaan tertentu.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke 37/1994 yang bersidang pada 29 April 1994 telah memutuskan bahawa:

1. Bersetuju supaya masalah ini dirujuk kepada keputusan yang telah dibuat di Perundingan Fatwa kali pertama pada 23 dan 24 Jun 1970 mengenai pemindahan anggota-anggota manusia sebagai keputusan jawatankuasa ini.

2. Pemindahan anggota-anggota (iaitu jantung, buah pinggang) orang-orang yang mati kepada orang-orang yang hidup adalah dibenarkan dalam Islam dan di atas kebenarannya dengan mengambil kira pertimbangan berikut:

  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan diyakini berjaya.
  2. Di dalam pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  3. Tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

Di Wilayah Persekutuan, hukum keharusan pemindahan organ adalah bersyarat. Ia juga bergantung kepada penetapan pakar perubatan yang adil dan bertauliah. Syarat utamanya adalah pemindahan tersebut mestilah memberi manfaat yang pasti kepada penerima dan tidak mendatangkan mudarat kepada penderma.

Walau bagaimanapun, amalan ini diharamkan sama sekali sekiranya mendatangkan kemudaratan, melibatkan urusan jual beli organ, eksploitasi manusia atau merendahkan maruah dan kehormatan manusia.

Pemindahan organ dianggap sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan nyawa, selaras dengan firman Allah SWT Taala:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”.

(Surah al-Maidah: 32)

Meskipun Islam amat memuliakan jenazah, dalam konteks pemindahan organ, kepentingan orang yang masih hidup didahulukan berbanding orang yang telah meninggal dunia. Justeru, pemindahan organ daripada mayat tidak dikira sebagai penghinaan, malah ia boleh menjadi sedekah jariah yang berterusan manfaatnya kepada si mati.

Kesimpulan

Perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menstruktur semula sistem pemindahan organ melalui pengukuhan peranan Pusat Transplan Nasional sebagai agenda kebangsaan adalah selari dengan tuntutan dan prinsip hukum syarak, khususnya dalam merealisasikan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Pendermaan dan pemindahan organ telah diharuskan oleh kebanyakan institusi fatwa, termasuk di Malaysia dengan syarat-syarat tertentu bagi menjamin kemaslahatan penerima serta mengelakkan sebarang bentuk kemudaratan, eksploitasi dan pencabulan maruah manusia.

Justeru, usaha meningkatkan kecekapan sistem, pembaharuan dasar serta kesedaran awam terhadap pendermaan organ bukan sahaja menyokong keperluan perubatan moden malah bertepatan dengan maqasid syariah yang menggalakkan usaha menyelamatkan nyawa sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran. Dari sudut yang lain, pemindahan organ juga boleh dinilai sebagai satu bentuk kebajikan serta sedekah jariah yang berterusan manfaatnya apabila dilaksanakan dalam kerangka syarak yang jelas dan beretika.

Boleh juga rujuk artikel berikut sebagai maklumat tambahan:

  • BAYAN LINNAS SIRI KE-176: PEMBAHARUAN PANDANGAN HUKUM BERKENAAN PENDERMAAN ORGAN DAN TISU
  • BAYAN LINNAS SIRI KE-35: PENDERMAAN ORGAN

Wallahu’alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

10 REJAB 1447H / 31 DISEMBER 2025