Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 56/2025: LIRIK LAGU YANG MENDIDIK, BUKAN MEROSAKKAN

 TintaMufti.jpg

LIRIK LAGU YANG MENDIDIK, BUKAN MEROSAKKAN

Seni dan hiburan merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian. Islam sebagai agama yang syumul tidak menolak hiburan secara mutlak, bahkan mengiktiraf peranan seni sebagai medium penyampaian mesej, pengukuhan emosi dan pembinaan jiwa. Namun demikian, Islam menetapkan garis panduan yang jelas agar seni dan hiburan tidak menyimpang daripada tujuan asalnya, iaitu membawa manusia kepada kebaikan, bukan melalaikan atau merosakkan akhlak.

Dalam konteks ini, lirik lagu dan karya seni bukan sekadar rangkaian kata-kata, tetapi memiliki pengaruh besar terhadap pemikiran, emosi dan tingkah laku masyarakat khususnya golongan muda. Justeru, perbincangan mengenai lirik yang mendidik dan beretika amat penting agar seni yang dihasilkan menjadi wasilah kebaikan, selari dengan tuntutan syariat dan nilai kemanusiaan sejagat. Hal ini turut ditegaskan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataannya.

Larangan berkenaan bentuk hiburan yang melalaikan dan mendorong ke arah dosa serta maksiat telah dijelaskan menerusi dalil dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: "Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan."

Surah Luqman (6)

Imam al-Ghazali dalam membahaskan berkenaan hiburan ini memberikan contoh bentuk hiburan yang dilarang dalam Islam. Jelas beliau, hiburan yang berbentuk lagu, nyanyian dan peralatan muzik yang boleh mendorong pendengarnya untuk meminum arak adalah haram kerana memiliki unsur tasyabbuh dengan perkara-perkara maksiat[1].

Pandangan ini kemudiannya disokongan oleh tokoh sarjana kontemporari seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi. Beliau telah menggariskan beberapa syarat, adab dan etika yang mesti dipatuhi demi memastikan hiburan tersebut menepati tuntutan syarak. Antaranya ialah penegasan beliau bahawa hiburan sama ada dalam bentuk permainan mahupun nyanyian mestilah tidak menyalahi adab dalam Islam. Sekiranya hiburan tersebut mendorong kepada perkara-perkara yang haram seperti meminum arak, berzina, homoseksual dan seumpamanya, maka hukum mendengarnya juga adalah haram[2].

Sementara dari perspektif maqasid syariah pula, perbuatan menghasilkan lirik, menyanyi dan mendengar lagu yang berunsur maksiat, zina dan membangkitkan syahwat adalah bercanggah dengan Maqasid al-Tadayyun. Hal ini kerana, Allah SWT mensyariatkan agama agar manusia dapat menghidupkan syiar-Nya dalam kehidupan. Perbuatan mencipta, menerbi, dan menyanyikan lagu berlirik lucah adalah bertentangan dengan hikmah pensyariatan. Ia merosakkan kualiti penghayatan agama seseorang dan menjauhkan masyarakat daripada nilai kesantunan yang dituntut oleh Islam.

Tanggungjawab Sosial Pengkarya dan Penyebar Kandungan

Allah SWT berfirman:

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu mengucapkan suatu perkataan melainkan ada di sisinya malaikat yang mencatat.”

Surah Qaf (18)

Setiap penulis lirik, penyanyi dan penerbit memikul amanah sosial dan moral. Karya yang disebarkan bukan sekadar hiburan peribadi, tetapi memberi kesan luas kepada masyarakat.

Teguran ini bukan untuk menjatuhkan atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya sebagai satu usaha nasihat dan bimbingan demi memperbaiki keadaan. Para pengkarya seni diseru agar memanfaatkan bakat dan kreativiti yang dikurniakan Allah SWT sebagai wasilah kebaikan, dengan menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, bahkan mendidik, menyantuni nilai kemanusiaan dan membina jiwa masyarakat. Pada masa yang sama, mereka hendaklah menjauhkan diri daripada unsur-unsur lucah dan tidak bermoral yang boleh mencemarkan kesucian nilai Islam serta adab budaya timur. Sesungguhnya, seni yang bersih, beretika dan berteraskan akhlak mulia bukan sahaja lebih diberkati, malah akan lebih dihormati, diterima masyarakat dan berkekalan nilainya sepanjang zaman.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din (Beirut:Dar al-Ma’rifah,t.t), 2:272.

[2] Yusuf al-Qardawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (Kaherah:Maktabah, Wahbah,2012), 348.