Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 58/2026: HUKUM MEMINTA JAWATAN DAN PRINSIP AMANAH DALAM ISLAM

TintaMufti.jpg

 

Islam meletakkan prinsip yang jelas dalam isu meminta dan memegang jawatan, kerana ia berkait rapat dengan amanah, tanggungjawab dan keadilan. Jawatan bukan sekadar kedudukan, bahkan ia adalah bebanan yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Justeru, Rasulullah SAW memberi peringatan keras bahawa kecintaan kepada jawatan boleh membawa penyesalan jika ia tidak ditunaikan dengan amanah.

Hadis-hadis Nabi SAW yang melarang meminta jawatan bukanlah bersifat pengharaman mutlak, tetapi sebagai peringatan terhadap bahaya amanah tanpa kelayakan. Seseorang yang meminta jawatan akan memikul tanggungjawab tersebut tanpa pertolongan Allah SWT, manakala mereka yang diberi amanah tanpa meminta akan dibantu oleh-Nya. Para ulama menjelaskan bahawa larangan ini ditujukan kepada individu yang lemah, tidak berilmu atau hanya mengejar habuan dunia.

Namun begitu, Islam juga mengiktiraf keharusan meminta jawatan bagi individu yang benar-benar layak, berilmu dan mampu memikul tanggungjawab tersebut. Hal ini dibuktikan melalui kisah Nabi Yusuf AS yang memohon jawatan menjaga perbendaharaan negara kerana memiliki sifat amanah dan kepakaran. Para mufassir menegaskan bahawa ukuran kelayakan bukan pada keturunan atau rupa, tetapi pada kekuatan kepimpinan dan ilmu.

Kesimpulannya, meminta jawatan adalah harus jika memenuhi syarat, iaitu memiliki kelayakan, ilmu, amanah dan niat untuk menjaga kemaslahatan umum. Sebaliknya, individu yang tidak kompeten atau menjadikan jawatan sebagai alat kepentingan diri adalah ditegah. Ancaman dalam hadis menjadi peringatan agar setiap jawatan ditunaikan dengan penuh tanggungjawab dan takut kepada Allah SWT. Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengulas isu ini secara khusus dalam sebuah artikel bertajuk Bayan Linnas Siri Ke-241: Hukum Meminta Jawatan. Untuk penjelasan yang lebih terperinci, pembaca boleh merujuk kepada artikel tersebut melalui pautan yang disediakan:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/4922-bayan-linnas-siri-ke-241-hukum-meminta-jawatan

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

16 REJAB 1447H / 6 JANUARI 2026