Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 73/2026: JANGAN KELIRUKAN UMMAH: ZAKAT IALAH HAK ASNAF BUKAN ALAT PROTES

TintaMufti.jpg

JANGAN KELIRUKAN UMMAH: ZAKAT IALAH HAK ASNAF BUKAN ALAT PROTES

Tular di media sosial penulisan yang mengajak umat Islam agar tidak membayar zakat kepada pusat zakat sebagai tanda protes terhadap isu-isu tertentu yang dibangkitkan. Fenomena ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja melibatkan luahan ketidakpuasan hati terhadap institusi malah menyentuh secara langsung kewajipan agama yang mempunyai implikasi besar dari sudut hukum syarak dan kesejahteraan umat.

Seruan memboikot pembayaran zakat merupakan tindakan yang berbahaya kerana ia bercanggah dengan tuntutan agama serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam terhadap kewajipan berzakat. Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan sistem pengurusan zakat yang telah diinstitusikan bagi memastikan agihan yang tersusun dan adil malah memberi kesan langsung kepada golongan asnaf yang bergantung kepada bantuan zakat untuk kelangsungan hidup. Lebih membimbangkan tindakan sedemikian berpotensi menggugat keharmonian dan keamanan masyarakat serta kestabilan negara di samping jelas bercanggah dengan maqasid syariah.

Zakat memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi golongan asnaf kerana ia menjadi sumber bantuan kewangan yang berterusan bagi memenuhi keperluan asas dan meningkatkan taraf hidup mereka. Melalui agihan zakat yang terancang, golongan asnaf bukan sahaja menerima bantuan sara hidup malah turut dibantu dari segi pendidikan, perubatan dan modal keusahawanan yang membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. Keadaan ini secara tidak langsung membantu mengurangkan jurang ekonomi dalam masyarakat, mewujudkan keadilan sosial dan membina ekonomi asnaf agar mereka tidak terus bergantung kepada bantuan dalam jangka panjang. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang musafir yang keputusan dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

[Surah an-Nahl, 125]

Institusi dan agensi agama di Malaysia, termasuklah institusi-institusi yang menguruskan kutipan dan agihan zakat beroperasi di bawah naungan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di setiap negeri. Struktur ini diperkukuh dengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri serta peranan para mufti yang bertanggungjawab memberi panduan, nasihat dan fatwa bagi memastikan setiap dasar, keputusan dan pelaksanaan institusi berkaitan sentiasa selari dengan hukum syarak. Melalui sistem yang tersusun ini, hal ehwal Islam diurus secara berautoriti dan berintegriti sekali gus memelihara kesucian agama serta mengelakkan sebarang penyelewengan.

Keadaan hal ehwal Islam yang diurus secara tersusun dan terkawal di Malaysia amat penting kerana ia menjamin pelaksanaan ajaran Islam dilaksanakan secara baik, berautoriti dan selari dengan hukum syarak. Oleh itu, umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur dengan sistem ini kerana ia bukan sahaja memelihara kesucian agama malah menjaga keharmonian masyarakat dan memberi keyakinan bahawa urusan umat Islam di negara ini dilaksanakan dengan amanah, hikmah dan bertanggungjawab.

Sungguh pun jika terdapat ruang-ruang penambahbaikan dan islah yang boleh dikemukakan kepada pihak pemerintah namun ia mestilah dilakukan melalui saluran yang betul dengan penuh hikmah, berhemah dan berlandaskan prinsip Islam yang menekankan kebijaksanaan serta menjaga kemaslahatan umum dan bukan mencetuskan kebencian, kekacauan atau menjatuhkan maruah pihak tertentu, sebagaimana firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka yang engkau serukan itu dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

[Surah an-Nahl,125]

Hal ini sejajar dengan kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menegaskan bahawa pendekatan mengajak kepada kebaikan adalah lebih utama daripada tindakan protes yang boleh membawa kepada kemudaratan terhadap masyarakat Islam secara keseluruhan. Menurut beliau, perbezaan pandangan dan kritikan terhadap institusi agama adalah perkara biasa dalam masyarakat namun ia perlu disalurkan melalui mekanisme yang betul serta berpandukan adab dan disiplin ilmu agar tidak menimbulkan kekeliruan umat atau menjejaskan kebajikan golongan yang memerlukan bantuan zakat.

Akhir kata, semoga Allah SWT sentiasa memelihara umat Islam di Malaysia secara khususnya, serta memandu seluruh agensi dan institusi yang berkait dengan agama Islam di Malaysia dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah, memelihara kesucian agama serta membina masyarakat Islam yang beriman dan berakhlak mulia.

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

16 SYAABAN 1447H / 4 FEBRUARI 2026