Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 75/2026: MENANGANI DEMONSTRASI BERKAITAN ISU SENSITIF MENURUT FIQH AL-AMN WA AL-SALAM (KEAMANAN DAN KEDAMAIAN) DALAM MASYARAKAT MAJMUK

TintaMufti.jpg

 

MENANGANI DEMONSTRASI BERKAITAN ISU SENSITIF MENURUT FIQH AL-AMN WA AL-SALAM (KEAMANAN DAN KEDAMAIAN) DALAM MASYARAKAT MAJMUK

 

Islam adalah agama yang menjunjung tinggi nilai keamanan, kedamaian dan keharmonian hidup bermasyarakat. Prinsip ini merupakan antara teras utama syariah, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Allah SWT menegaskan kepentingan keamanan dan larangan menimbulkan kerosakan dalam firman-Nya:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”

(Surah al-A‘raf: 56)


Sehubungan itu, tindakan melakukan demonstrasi atau protes terbuka yang bersifat emosi, khususnya berkaitan isu pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam yang dikaitkan dengan pencerobohan tanah, bukanlah pendekatan yang rasional dan tidak selari dengan fiqh al-amn wa al-salam. Isu pencerobohan tanah merupakan isu perundangan yang perlu ditangani melalui saluran undang-undang yang sah seperti mahkamah dan pihak berkuasa berautoriti. Mengambil tindakan sendiri atau mencetuskan ketegangan awam berpotensi membawa kepada kekacauan serta menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) sebelum ini telah menerbitkan beberapa panduan berkaitan demonstrasi dan perhimpunan aman untuk rujukan masyarakat terutamanya umat Islam. Antara penulisan tersebut ialah:
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/6337-bayan-linnas-siri-ke-322-etika-demonstrasi-daripada-sudut-pandang-fiqh-al-mizan

https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2903-bayan-linnas-siri-ke-158-demonstrasi-perhimpunan-aman-isu-dan-hukum

Rasulullah SAW turut memberi peringatan keras terhadap perbuatan yang membawa kepada kekacauan dan pertumpahan konflik, sebagaimana sabda Baginda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

(Riwayat Ibn Majah)


Tambahan pula, umat Islam kini bakal menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan, manakala masyarakat Cina pula akan menyambut Tahun Baharu Cina. Kedua-dua perayaan ini menuntut suasana aman, tenang dan saling menghormati. Sebarang tindakan yang bersifat provokatif, agresif atau menimbulkan rasa tidak selamat bukan sahaja bercanggah dengan semangat perayaan, bahkan bertentangan dengan imej Islam sebagai agama rahmah yang membawa keamanan kepada seluruh manusia.

Dari sudut maqasid syariah, pemeliharaan keamanan masyarakat dan kestabilan negara termasuk dalam keperluan asas (daruriyyat) kerana ia berkait rapat dengan penjagaan nyawa, harta, agama dan kehormatan. Selain itu, Islam mengiktiraf kepelbagaian kaum dan bangsa sebagai ketetapan Allah SWT yang bertujuan untuk membina hubungan harmoni dalam masyarakat. Perbezaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan permusuhan atau ketidakadilan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

(Surah al-Hujurat: 13)


Justeru, masyarakat Islam khususnya diseru agar bersikap tenang, berlapang dada dan berpegang kepada prinsip undang-undang, serta menyerahkan penyelesaian isu-isu sensitif kepada proses undang-undang. Pendekatan ini bukan tanda kelemahan, bahkan manifestasi kematangan beragama dan kebijaksanaan dalam menjaga keamanan bersama demi keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

22 SYAABAN 1447H / 9 FEBRUARI 2026