Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 96/2026: ETIKA BERHIAS KETIKA PROSIDING PERCERAIAN

TintaMufti.jpg

ETIKA BERHIAS KETIKA PROSIDING PERCERAIAN

Mukadimah

Baru-baru ini, timbul lontaran idea di media sosial berkaitan keperluan wanita untuk tampil berhias ketika prosiding mahkamah termasuk cadangan menggunakan perkhidmatan jurusolek. Selain itu, terdapat juga saranan agar mengenakan pakaian yang cantik dengan tona warna yang lebih menarik berbanding hanya berpakaian hitam semata-mata. Justeru, penulisan ini memfokuskan kepada etika berhias dalam tempoh iddah. Hal ini kerana, pada asasnya tempoh kiraan iddah bermula setelah lafaz talak dijatuhkan dan di sahkan di Mahkamah. Dalam tempoh tersebut wanita terikat dengan beberapa larangan dalam iddah termasuk anjuran meninggalkan perhiasan (ihdad).

Berhias menurut Islam

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah fitrah manusia cenderung menyukai keindahan dan perhiasan. Syarak tidak mengharamkan perhiasan bagi kesempurnaan kualiti kehidupan malahan perkara ini diiktiraf melalui petunjuk dalil-Nya :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan– Nya?”

Surah al-A’raf (3)

Islam mengajar umatnya untuk tampil kemas, cantik dan rapi yang patuh Syariah dan tidak membawa kepada fitnah. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu tampil berhias mempunyai keterbatasan apabila syarak meletakkan pantang larang terhadap wanita yang menjalani tempoh iddah.

Wanita Berhias Ketika Prosiding Perceraian

Wanita yang bakal melalui proses perceraian di mahkamah seharusnya memiliki pemahaman yang tepat mengenai etika penampilan. Selain itu, pihak mahkamah juga lazimnya menetapkan garis panduan pemakaian umum kepada semua pihak yang hadir iaitu berpakaian sopan, tidak menjolok mata serta tidak terlalu kasual. Hal ini bertujuan menjaga kesopanan dan kewibawaan institusi kehakiman. Justeru, pemilihan pakaian yang sederhana dan kemas bukan sahaja selari dengan tuntutan syarak, malah bertepatan dengan etika yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Sehubungan dengan itu, wanita juga perlu mengambil perhatian bahawa prosiding perceraian yang dihadiri merupakan permulaan kepada tempoh iddah sebaik sahaja lafaz cerai dijatuhkan. Perlu dibezakan bahawa sekiranya prosiding tersebut berlangsung sebelum lafaz cerai dijatuhkan, maka hukum berhias kembali kepada keharusan dengan syarat tidak berlebihan dan tidak menimbulkan fitnah. Namun, sebaik sahaja lafaz cerai berlaku, wanita tersebut memasuki tempoh iddah dan tertakluk kepada anjuran ihdad iaitu tempoh iddah tersebut akan mula dihitung tiga kali suci atau tiga bulan. Sepanjang tempoh tersebut, isteri yang diceraikan sama ada secara raj’i atau ba’in melalui kaedah khulu’, fasakh atau talak tiga disunatkan meninggalkan perhiasan diri seperti solekan menurut mazhab Syafi’i. Perkara ini dinyatakan dalam karya Fath al-Mu’in :

وندب إحداد البائن بخلع أو فسخ أو طلاق ثلاث لئلا يفضي تزيينها لفسادها وكذا الرجعية إن لم ترج عودة بالتزين فيندب

Maksudnya: “Disunatkan ihdad (meninggalkan perhiasan) bagi wanita yang diceraikan talak ba’in melalui khulu’, fasakh atau talak tiga supaya perhiasannya tidak membawa kepada kerosakan kepadanya. Begitu juga bagi wanita diceraikan talak raj’i, jika suami tidak akan kembali, maka berhias adalah tidak digalakkan dan disunatkan ihdad (meninggalkan perhiasan).”[1]

Larangan berhias dalam tempoh iddah bukanlah bermaksud mengabaikan kebersihan atau penampilan diri sebaliknya ia merujuk kepada meninggalkan unsur berhias yang berlebihan seperti solekan, wangi-wangian dan pakaian yang menarik perhatian. Oleh itu, wanita yang bercerai disarankan mengekalkan penampilan sederhana sepanjang tempoh iddah termasuklah dalam pemilihan pakaian seperti warna yang tidak terlalu terang atau menarik perhatian.

 

Penutup

Etika penampilan wanita ketika menghadiri prosiding perceraian hendaklah berasaskan prinsip kemas, sopan dan keserdehanaan sebagaimana yang diharuskan oleh syarak. Sekiranya talak raj’i atau ba’in telah dijatuhkan dan disahkan di mahkamah, maka tempoh iddah mula dihitung selama tiga kali suci atau tiga bulan. Dalam tempoh tersebut, wanita itu disunatkan meninggalkan amalan berhias semampu mungkin seperti solekan kerana dibimbangi boleh mendorong kepada fitnah menurut mazhab Syafi’i. Hikmah disebalik pensyariatan ini adalah untuk memelihara maruah wanita, menghindari fitnah serta memberi ruang kepada kestabilan emosi dan penyesuaian diri selepas berlakunya perpisahan.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

8 SYAWAL1447H / 28 MAC 2026

 

Rujukan: 

[1] Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malbariy. Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-Ain bi Muhimmat al-Din. (t.tp: Dar Ibn Hazm, t.tt). Hlm 527.