Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 110/2026: BAHAYA MENYEBARKAN DAKWAAN TANPA ILMU, MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP SAIDINA ABU BAKAR RA DAN SAIDINA UMAR RA

TintaMufti.jpg

 

BAHAYA MENYEBARKAN DAKWAAN TANPA ILMU, MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP SAIDINA ABU BAKAR RA DAN SAIDINA UMAR RA

Mukadimah

Tular di media sosial dakwaan yang menyatakan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq merupakan seorang ceti dan Saidina Umar al-Khattab RA penzina pada zaman Jahiliyyah. Kenyataan seperti ini merupakan tuduhan yang berat serta tidak wajar diungkapkan secara sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi terhadap para sahabat Nabi SAW yang mempunyai kedudukan mulia di sisi Islam. Kemuliaan para sahabat turut ditegaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud RA:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka”.

Riwayat al-Bukhari

Secara umumnya, umat Islam mengetahui bahawa para sahabat Rasulullah SAW, khususnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA merupakan insan terpilih dalam memperkukuhkan dakwah Islam serta memimpin umat selepas kewafatan Baginda SAW sebagai khalifah. Oleh itu, adab dalam berbicara mengenai para sahabat hendaklah sentiasa dipelihara agar tidak menimbulkan fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.

Menurut Ibnu Qudamah dalam kitab Lum‘ah al-I‘tiqad, antara pegangan Ahli Sunnah ialah mencintai dan berwala’ kepada para sahabat Rasulullah SAW, menyebut kebaikan serta jasa mereka, mendoakan rahmat dan keampunan buat mereka serta menahan diri daripada membicarakan keburukan dan perselisihan yang pernah berlaku sesama mereka.[1] Hal ini selari dengan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW yang mengingatkan umat Islam agar menjaga kehormatan para sahabat Baginda, lafaznya seperti berikut:

لَا تَسُبُّوا أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِي، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَوْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا، مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya: Janganlah kamu mencela seorang pun daripada para sahabatku. Sesungguhnya jika salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, ia tetap tidak akan dapat menyamai satu mudd sedekah mereka, bahkan tidak juga separuh daripadanya.

Riwayat Muslim

Kedudukan Saidina Abu Bakar RA dalam Islam

Kedudukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati. Beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang. Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan. Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar RA merupakan seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain.[2]

Kisah ini jelas menggambarkan bahawa Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, beliau merupakan tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan. Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam.

Kedudukan Saidina Umar RA dalam Islam

Berkenaan kehidupan Saidina Umar al-Khattab RA pada zaman Jahiliyyah, para sejarawan Islam banyak membahaskan tentang ketegasan, keberanian dan pengaruh beliau dalam masyarakat Quraisy, termasuk sikap beliau terhadap dakwah Islam sebelum memeluk agama Islam.

Antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Namun begitu, ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.[3] Hal ini turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar RA sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah RA dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas. Dalam masa yang sama, sebahagian riwayat sejarah ada menyebut bahawa Saidina Umar RA pernah terlibat dengan budaya masyarakat Arab Jahiliah seperti meminum arak sebelum Islam, kerana perbuatan tersebut sememangnya menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu.

Namun demikian, tidak ditemui dalam perbahasan para ulama dan sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan beliau sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian. Penyebaran tuduhan tanpa asas terhadap sahabat besar Rasulullah SAW adalah perbuatan yang tidak beradab dan boleh membawa kepada fitnah terhadap tokoh yang dimuliakan dalam Islam.

Kemuliaan Para Sahabat Nabi SAW

Rasulullah SAW sangat memuliakan para sahabat Baginda sehingga sesiapa yang menyakiti mereka dianggap seolah-olah telah menyakiti Rasulullah SAW sendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal RA, Nabi SAW bersabda:

اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لاَ تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ وَمَنْ آذَى اللَّهَ فَيُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ ‏

Maksudnya: “Takutlah kepada Allah dalam urusan para sahabatku, takutlah kepada Allah dalam urusan para sahabatku. Janganlah kamu menjadikan mereka sasaran (celaan dan kebencian) selepas kewafatanku. Sesiapa yang mencintai mereka, maka dengan kecintaanku dia mencintai mereka. Sesiapa yang membenci mereka, maka dengan kebencianku dia membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka, maka sesungguhnya dia telah menyakitiku. Dan sesiapa yang menyakitiku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah. Sesiapa yang menyakiti Allah, maka hampir-hampir Dia akan menimpakan balasan ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi

Walaupun terdapat kisah dan riwayat yang menceritakan kehidupan para sahabat RA sebelum memeluk Islam, namun Islam datang membawa rahmat dengan menghapuskan dosa dan kesalahan lampau setelah mereka beriman sebagaimana sabda Nabi SAW:

أَنَّ الْإِسْلَامَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Islam datang menghapuskan dosa-dosa yang lalu”.

Riwayat Muslim

Oleh sebab itu, tidak wajar untuk menjadikan kisah zaman Jahiliah sebagai bahan yang menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW, apatah lagi terhadap Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA yang telah dimuliakan oleh Allah SWT. Bahkan menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, mereka merupakan manusia terbaik selepas para nabi dan rasul. Imam al-Suyuti menyebut:

أجمع أهل السنة على أن أفضل الناس بعد رسول الله صلى الله عليه وسلم أبو بكر، ثم عمر، ثم عثمان، ثم علي، ثم سائر العشرة، ثم باقي أهل بدر، ثم باقي أهل أحد، ثم باقي أهل البيعة، ثم باقي الصحابة، هكذا حكى الإجماع عليه أبو منصور البغدادي.

Maksudnya: “Ahlus Sunnah telah bersepakat bahawa manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW ialah Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian Uthman, kemudian Ali, kemudian baki sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga, kemudian para sahabat Perang Badar, kemudian para sahabat Perang Uhud, kemudian para sahabat Bai‘ah, kemudian seluruh para sahabat yang lain. Demikianlah ijmak yang dinukilkan oleh Abu Mansur al-Baghdadi.[4]

Penutup

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan para sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta. Berikut disertakan panduan bagi para penceramah ketika membicarakan perihal sahabat Baginda SAW.

Panduan bagi Para Penceramah ketika Membicarakan Perihal Sahabat Nabi SAW

  • Merujuk kepada sumber-sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah para sahabat.
  • Memelihara adab dan kehormatan para sahabat Rasulullah SAW dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.
  • Menghindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW.
  • Tidak menyampaikan kisah zaman Jahiliyyah para sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah.
  • Meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan sesuatu kisah berkaitan para sahabat, khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.
  • Bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu.
  • Menggunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Ibn Qudamah al-Maqdisi, Lum’ah al-I’tiqad (Saudi: Wizarah al-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Awqaf wa al-Da’wah wa al-Irsyad, 2000), hlm. 39.

ومن السنة تولي أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم ومحبتهم وذكر محاسنهم، والترحم عليهم، والاستغفار لهم والكف عن ذكر مساوئهم وما شجر بينهم. واعتقاد فضلهم ومعرفة سابقتهم

[2] Majdi Fathi al-Sayyid, Sahih al-Tawthiq fi Sirah wa Hayah al-Siddiq Radiyallahu Anhu (Tanta: Dar al-Sahabah li al-Turath, 1996), 32-34.

[3] Rujuk artikel di pautan berikut untuk bacaan lanjut berkenaan isu ini: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1559-irsyad-al-hadith-siri-ke-13-adakah-sahih-kisah-saidina-umar-bin-al-khattab-membunuh-anak-perempuannya

[4] Jalaluddin al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa (t.tp: Maktabah Nazar Mustafa al-Baz, 1425), hlm. 38-39.