Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 111/2026:  SIMBOLISME PANJI DALAM ISTIADAT RASMI DI MALAYSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

TintaMufti.jpg 

 

SIMBOLISME PANJI DALAM ISTIADAT RASMI DI MALAYSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Pendahuluan

Baru-baru ini pada 5 Jun 2026, seluruh rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya. Di sebalik sehelai kain sutera berwarna kuning diraja yang bersulam benang emas itu, tersimpan simbol maruah tertinggi, kedaulatan negara dan sumpah setia yang tidak berbelah bahagi daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panji-panji merupakan satu elemen penting dalam kebudayaan dan protokol negara terutamanya dalam konteks istiadat rasmi di Malaysia. Ia mencerminkan identiti sesebuah institusi, kedaulatan serta nilai sejarah yang mendalam dan bukan sekadar fabrik yang mempunyai logo atau corak tertentu. Dalam setiap upacara rasmi, kehadiran panji-panji melambangkan kehormatan, integriti dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara. Sebagai simbol kedaulatan yang suci, panji-panji berfungsi sebagai titik tumpuan (focal point) dalam menyatukan semangat kesetiaan anggota pasukan keselamatan. Keberadaannya dalam istiadat mengukuhkan protokol kerajaan dan menjadi manifestasi kepada warisan sejarah kecemerlangan dan pengorbanan unit yang memilikinya.

Definisi dan Peranan Panji

Panji-panji ialah penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada rejimen/kor daripada tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ia berasal daripada bendera ketumbukan tentera zaman dahulu yang melambangkan kekuatan dan kuasa Raja semasa peperangan. Menjelang awal kurun ke-19, tradisi ini diubah daripada medan perang menjadi istiadat perbarisan bercorak muzik yang dikenali sebagai "Trooping the Colors".

Secara amnya, ia dilaksanakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan seorang Yang di-Pertuan Agong, iaitu pada tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.[1] Dalam ATM, terdapat lima panji-panji utama yang mewakili kor dan perkhidmatan iaitu:

  1. Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
  2. Rejimen Ranger Diraja (RRD)
  3. Kor Armor Diraja (KAD)
  4. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
  5. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Panji-panji merupakan simbol yang dipertanggungjawabkan kepada sesebuah pasukan, organisasi atau institusi diraja. Dalam konteks ketenteraan di Malaysia, panji-panji melambangkan semangat juang dan sejarah kecemerlangan unit tersebut. Bagi institusi diraja, panji-panji peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan lambang kedaulatan tertinggi negara yang perlu dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.

Simbolisme Panji dalam Istiadat Kenegaraan

Dalam konteks istiadat rasmi kenegaraan, panji-panji ini digunakan secara simbolik yang melambangkan kedaulatan dan kemegahan bagi negara tercinta. Antara simbolisme yang terdapat melalui panji-panji tersebut ialah:

1. Lambang Kedaulatan

Panji-panji Diraja yang diarak dalam majlis-majlis seperti Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong merupakan manifestasi kepada kedudukan baginda sebagai Ketua Negara. Apabila panji-panji melintas, ia menuntut penghormatan penuh (tabik hormat) daripada anggota pasukan keselamatan dan para tetamu kehormat sebagai tanda pengiktirafan kepada institusi beraja.

2. Warisan Sejarah

Setiap lambang yang dijahit atau ditenun pada panji-panji mempunyai naratif sejarahnya sendiri. Ia merakamkan pengorbanan, kemenangan dan tradisi yang telah dibina sejak zaman berzaman. Apabila panji-panji dikibarkan atau diarak, ia menjadi peringatan kepada generasi hari ini tentang akar umbi kekuatan dan nilai yang diperjuangkan oleh para pendahulu.

3. Penyatuan dan Semangat

Dalam upacara rasmi, panji-panji menjadi titik tumpuan (focal point) yang menyatukan semangat semua yang hadir. Ia mewujudkan suasana khidmat dan megah yang membezakan majlis rasmi kerajaan daripada majlis-majlis biasa sekali gus menanamkan rasa bangga terhadap identiti nasional.

4. Protokol Penghormatan

Penghormatan terhadap panji-panji di Malaysia dikawal ketat oleh protokol istiadat. Panji-panji tidak boleh disentuh oleh orang yang tidak dibenarkan, perlu dijaga dengan rapi dan sentiasa diletakkan di tempat yang tinggi atau dikawal oleh pengawal khusus. Dalam istiadat ketenteraan, terdapat prosedur khusus bagaimana panji-panji dibawa, diarak dan disimpan yang mencerminkan disiplin tinggi yang menjadi tunjang kekuatan organisasi berkenaan.

Kepentingan simbolisme panji dalam istiadat kenegaraan Malaysia yang menekankan aspek kedaulatan, disiplin dan kesetiaan ini sebenarnya mempunyai akar yang selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan dalam tradisi Islam. Jika dalam konteks nasional ia menjadi lambang identiti dan kekuatan institusi, perspektif Islam pula meletakkan panji-panji sebagai instrumen yang lebih mendalam iaitu sebagai manifestasi kesatuan ummah dan kepatuhan kepada autoriti yang sah.

Konsep Panji-Panji dalam Islam

Penggunaan panji-panji ini sebenarnya terdapat dalam Islam. Panji atau bendera di dalam Bahasa Arab antaranya disebut sebagai al-liwa’ (اللِّوَاءُ), al-rayah (الرَّايَةُ), al-‘alam (الْعَلَمُ) dan al-‘uqab (العُقَاب). Dalam hal ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa al-liwa’, al-rayah dan al-‘alam adalah satu perkara dengan sebutan berbeza iaitu perbezaan dari sudut, al-liwa’ dengan huruf lam yang dibaca kasrah (baris bawah) dan huruf waw panjang adalah al-rayah dan disebut juga dengan al-‘alam.”[2] Beliau menyebutkan lagi bahawa:

وكان الأصل أن يمسكها رئيس الجيش ثم صارت تحمل على رأسه

Maksudnya: Pada asalnya, ia (panji-panji) dipegang oleh ketua (panglima) angkatan tentera, namun kemudian ia beralih menjadi dibawa di atas kepalanya.[3]

Asas utama pengenalan liwa’ ini berpaksikan kepada konsep tauhid dan penyatuan ummah yang mutlak. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab tradisi bertempur di bawah panji kabilah masing-masing demi semangat ‘asabiyyah (perkauman dan kesukuan). Rasulullah SAW meruntuhkan fahaman jahiliah ini dengan memperkenalkan liwa’ yang berpaksikan kalimah syahadah (La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah). Melalui asas ini, bendera tersebut menjadi simbol peleburan identiti suku kaum kepada satu identiti yang tunggal, iaitu umat Islam. Ia menegaskan konsep bahawa perjuangan ketenteraan Islam bukanlah untuk meluaskan empayar secara zalim, mengaut harta rampasan atau kemegahan peribadi, sebaliknya adalah demi menegakkan keadilan dan meninggikan kalimah Allah SWT.[4]

Terdapat banyak hadis dan athar yang menyebutkan ciri-ciri dan karakteristik panji di zaman Rasulullah SAW. Antaranya adalah seperti berikut:

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:

كَانَ لِوَاءُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْيَضَ ، وَرَايَتُهُ سَوْدَاءَ

Maksudnya: Bendera (liwa’) Rasulullah SAW berwarna putih dan panjinya (rayah) berwarna hitam.

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Begitu juga dalam hadis yang Ibn ‘Abbas memperincikan lagi liwa’ Rasulullah SAW dengan berkata:

كَانَتْ رَايَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوْدَاءَ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ، مَكْتُوبٌ عَلَيْهِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ

Maksudnya: Panji (rayah) Rasulullah SAW berwarna hitam dan benderanya (liwa’) berwarna putih, tertulis padanya: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ”.

(Riwayat al-Tabarani)

Manakala dalam peristiwa penaklukan kota Mekah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW memasuki kota Mekah dengan membawa bendera (al-liwa’) berwarna putih. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ دَخَلَ مَكَّةَ ، يَوْمَ الْفَتْحِ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ

Maksudnya: Nabi SAW memasuki kota Mekah ketika Peristiwa Pembukaan dengan benderanya (liwa’) berwarna putih.

(Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

Selain daripada itu, di awal penyebaran ajaran Islam, panji juga memainkan peranan penting sebagai satu simbol kekuatan dan keagungan tentera-tentera Islam. Hal ini dapat dilihat dalam Peperangan Mu'tah menyaksikan pengorbanan luar biasa para sahabat dalam mempertahankan panji tentera Islam yang menjadi lambang kesatuan dan kepimpinan pasukan. Zaid bin Harithah RA memulakan pertempuran sebagai panglima pertama sambil memegang panji tersebut sehingga beliau gugur syahid di tengah-tengah tombak musuh. Selepas itu, Ja'far bin Abi Talib RA mengambil panji dan terus bertempur dengan penuh keberanian.

Dalam riwayat sirah disebut bahawa kedua-dua tangannya terputus ketika mempertahankan panji, lalu beliau merangkulnya dengan sisa lengannya sehingga syahid. Abdullah bin Rawahah RA kemudiannya mengambil alih panji sambil membakar semangat dirinya dengan syair-syair jihad sebelum turut gugur syahid. Setelah ketiga-tiga panglima yang dilantik Rasulullah SAW syahid, Thabit bin Aqram RA mengambil panji buat sementara waktu sebelum menyerahkan kepimpinan kepada Khalid bin al-Walid RA yang berjaya menyelamatkan tentera Islam melalui strategi ketenteraan yang bijaksana.[5]

Panji tentera pada zaman Nabi SAW amat diutamakan dan tidak boleh dikendalikan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa watikah rasmi. Menurut penjelasan Ibn Battal mengenai al-rayah, hadis penyerahan bendera oleh Rasulullah SAW dengan jelas menunjukkan bahawa panji tersebut hanya boleh dibawa oleh individu yang diberi kuasa secara sah oleh Imam atau Pemimpin Negara. Sesiapa sahaja yang memegang panji tersebut tanpa mandat berkenaan dianggap tidak mempunyai sebarang autoriti ketenteraan yang sah.[6]

Disiplin ketat ini diperkukuhkan lagi melalui pandangan Ibn al-Athir yang menegaskan bahawa al-liwa’ juga sama sekali tidak boleh dibawa melainkan oleh panglima tertinggi yang memimpin pasukan tentera tersebut.[7] Hal ini membuktikan bahawa dalam sistem ketenteraan Islam, panji perang bukan sekadar simbol hiasan, sebaliknya merupakan representasi langsung kepada kedaulatan, struktur kepimpinan dan undang-undang negara yang wajib dipatuhi.

Kesimpulan

Dalam konteks Malaysia, simbolisme panji-panji dalam istiadat rasmi Malaysia merupakan cerminan kepada jiwa bangsa yang menghargai adat, tradisi dan institusi yang membentuk negara serta kesetiaan tidak berbelah bahagi anggota pasukan keselamatan terhadap institusi Diraja. Kehadirannya berfungsi sebagai titik tumpuan (focal point) yang menyatukan semangat perjuangan, selain memelihara warisan sejarah serta pengorbanan unit-unit utama Angkatan Tentera Malaysia. Melalui protokol yang sangat ketat, penghormatan yang diberikan terhadap panji-panji ini bukan sahaja mencerminkan disiplin tinggi ketenteraan, malah menjadi manifestasi kepada rasa bangga dan jati diri nasional yang mendalam terhadap struktur kepimpinan negara.

Dari perspektif Islam, tradisi panji atau al-liwa’ dan al-rayah membawa naratif yang lebih mendalam iaitu sebagai instrumen penyatuan ummah yang berpaksikan tauhid bagi melenyapkan semangat perkauman (‘asabiyyah) dan menggantikannya dengan identiti yang tunggal. Sejarah ketenteraan Islam menunjukkan bahawa panji-panji adalah simbol autoriti sah yang dipegang oleh pemimpin atau panglima yang diamanahkan, bukannya alat untuk kemegahan peribadi sepertimana dibuktikan dalam peristiwa penting seperti Peperangan Mu'tah. Oleh itu, penghayatan terhadap panji-panji di Malaysia sebenarnya menyerap nilai-nilai Islam ini, di mana ia menegaskan kepentingan disiplin, kesetiaan kepada autoriti yang sah dan keadilan sebagai tunjang kestabilan negara yang berdaulat.

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

23 ZULHIJAH 1447H / 9 JUN 2026

 

Rujukan:

[1] Rujuk: Agong berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji, Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/06/1567397/agong-berangkat-ke-istiadat-mengarak-panji-panji#google_vignette

[2] Al-’Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari (Kaherah: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390h), jld. 6, hlmn. 126.

[3] Al-’Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari (Kaherah: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390h), jld. 6, hlmn. 126.

[4] Safiur Rahman al-Mubarakfuri, Al-Rahiq Al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah) (Riyadh: Darussalam, 2002).

[5] Safiur Rahman al-Mubarakfuri, Al-Rahiq Al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah) (Riyadh: Darussalam, 2002), hlmn. 425-428.

[6] Ibn Battal, Sharh Sahih al-Bukhari, 5/141.

[7] Ibn Athir, al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/279.