Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 145/2026 : PENERAPAN SUNNAH RASULULLAH SAW DALAM KESELAMATAN NEGARA DAN KERJASAMA PDRM

 t.jpeg

 

PENERAPAN SUNNAH RASULULLAH SAW DALAM KESELAMATAN NEGARA DAN KERJASAMA PDRM

 

Penerapan sunnah Rasulullah SAW secara holistik merupakan asas utama dalam membangunkan sebuah negara yang sejahtera, aman, selamat dan berdaya saing. Sunnah Baginda SAW juga bersifat universal dan tidak terbatas oleh faktor zaman, tempat mahupun umur bahkan menjadi panduan wahyu yang syumul dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Melalui keteladanan Baginda SAW, Baginda SAW bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin agama malah turut memperlihatkan kepimpinan yang unggul dalam bidang pentadbiran, ketenteraan, keselamatan dan kehakiman. Ketokohan Baginda SAW dalam pelbagai bidang ini membuktikan bahawa sunnah Rasulullah SAW merupakan panduan yang relevan dan komprehensif dalam membentuk tadbir urus negara yang adil, berintegriti, berkesan dan berteraskan nilai-nilai Islam.

          Sejarah Islam memperlihatkan bahawa amalan keselamatan dan protokol telah diberikan perhatian sejak zaman Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilihat melalui peranan sahabat Baginda SAW iaitu Abdullah bin Mas‘ud RA yang dikenali sebagai sahib al-sirr (pemegang rahsia) Rasulullah SAW yang memperlihatkan nilai amanah dalam konteks perlindungan maklumat sulit. Beliau turut berkhidmat menyediakan keperluan peribadi Baginda, termasuk tempat duduk, siwak, sandal serta air untuk berwuduk dan bersuci ketika Baginda bermusafir. Peranan tersebut mencerminkan kepentingan pengurusan protokol yang teratur dan pelaksanaan langkah-langkah kawalan keselamatan fizikal bagi menjamin keselamatan dan kelancaran urusan seorang pemimpin. Dalam konteks Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan yang sangat penting sebagai benteng utama keselamatan negara yang membolehkan sektor ekonomi, pelancongan, pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan beroperasi dengan aman tanpa ancaman jenayah.

             Seiring dengan perkembangan zaman, penghayatan sunnah Rasulullah SAW menuntut umat Islam agar bersikap terbuka terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains, teknologi, analisis data dan inovasi moden. Hal ini selaras dengan tuntutan Islam yang menitikberatkan keseimbangan antara ilmu fardu ain dengan fardu kifayah bagi memastikan kesejahteraan ummah dapat dipelihara secara menyeluruh. Dalam hal ini, sejarah kehidupan Rasulullah SAW memperlihatkan kepentingan ilmu, kebijaksanaan dan pendekatan strategik dalam membuat keputusan serta menguruskan urusan masyarakat. 

           Sebagai contoh, tindakan Rasulullah SAW mengutuskan pendakwah yang bersesuaian ke Madinah dengan mengambil kira keadaan, keperluan dan latar belakang masyarakat setempat yang memperlihatkan kebijaksanaan Baginda dalam merancang strategi dakwah secara sistematik dan berkesan. Selain itu, penerimaan Baginda SAW terhadap cadangan Salman al-Farisi RA untuk menggali parit dalam Perang Khandaq yang menjadi taktik peperangan asing dari Parsi membuktikan keterbukaan Baginda dalam memanfaatkan strategi pertahanan yang bersesuaian. Prinsip ini wajar dijadikan pedoman oleh umat Islam masa kini untuk menguasai dan memanfaatkan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan Artificial Intelligence (AI), analisis data dan sistem keselamatan berteknologi tinggi.

        Selain aspek teknikal dan strategi, kepimpinan berakhlak dan penerapan pendekatan ihsan merupakan tiang seri dalam sistem keadilan Islam. Lebih daripada 500 hadis Rasulullah SAW menyentuh secara khusus mengenai akhlak, etika serta hubungan sesama manusia, jiran dan alam sekitar. Pengaruh akhlak yang terpuji berupaya memberi impak positif yang mendalam terhadap persepsi luar sebagaimana teladan tentera Muslim Turki yang menarik minat tentera Korea memeluk Islam melalui disiplin solat berjemaah.

            Dalam menguruskan pesalah undang-undang, Islam menekankan pemulihan komprehensif berteraskan ihsan berbanding hukuman semata-mata. Perkara ini boleh dicontohi melalui tindakan Rasulullah SAW menyantuni banduan di dalam masjid sehingga salah seorang daripada mereka menjadi guru kepada tahanan yang lain. Selaras dengan prinsip ini, institusi penjara di Malaysia kini berfungsi sebagai pusat latihan dan pemulihan manakala buku Fiqh Banduan dan Penjara yang bakal diterbitkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan diharapkan dapat menjadi rujukan dan panduan kepada pihak kerajaan dan industri dalam memperkukuh pendekatan pemulihan yang berteraskan prinsip Islam termasuk melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada bekas banduan. Usaha ini penting bagi menyokong proses reintegrasi sosial, mengurangkan stigma masyarakat dan membuka ruang kepada mereka untuk membina kehidupan baharu yang lebih sejahtera dan produktif.

            Dari sudut sosioekonomi dan demografi, kerajaan Malaysia membelanjakan sekitar RM1.4 bilion setahun bagi pengurusan banduan dan institusi penjara di seluruh negara. Perbelanjaan besar ini dapat dijimatkan sekiranya pendidikan pencegahan dikuatkan di peringkat sekolah lagi. Melalui usaha ini, sumber kewangan negara dapat dialihkan secara optimum daripada bersifat pengurusan kepada pembangunan. Tambahan pula, unjuran peningkatan populasi negara menjelang tahun 2050 menuntut rancangan perbelanjaan dari sudut pembangunan bagi memelihara kestabilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara secara berterusan.

           Di samping itu, kerjasama strategik antara Jabatan Mufti dengan PDRM terus diperkukuh melalui penglibatan pegawai polis dalam Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi tujuan saringan keselamatan penerima tauliah mengajar agama. Langkah berterusan ini berserta pelan tindakan intervensi sosial dan penerbitan panduan fiqh banduan dan penjara menunjukkan bahawa sinergi antara institusi agama dengan agensi keselamatan merupakan teras penting demi menjamin keamanan, kedaulatan dan kesejahteraan negara secara berpanjangan.

 

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN ALI @ FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN