Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 147/2026 : MELEPASKAN HAK, MEMAKMURKAN HARTA : TAKHARUJ SEBAGAI JALAN MUAFAKAT PENGURUSAN HARTA PUSAKA

T.png

MELEPASKAN HAK, MEMAKMURKAN HARTA :

TAKHARUJ SEBAGAI JALAN MUAFAKAT PENGURUSAN HARTA PUSAKA

 

Pendahuluan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Isu harta pusaka yang tidak dituntut merupakan antara cabaran sosioekonomi yang masih membelenggu masyarakat Islam di Malaysia. Pada tahun 2020, nilai harta pusaka yang tidak dituntut sejak merdeka dianggarkan hampir RM70 bilion. Majoriti bagi harta tersebut dimiliki oleh orang Melayu, dengan masalah perselisihan sesama waris, kurang kesedaran dan sikap ambil mudah dikenal pasti sebagai antara faktor utamanya[1]. Jumlah ini terus meningkat apabila sehingga tahun 2022, kira-kira RM90 bilion harta faraid dilaporkan tidak dituntut di seluruh negara[2].

Statistik rasmi turut menunjukkan bahawa masalah ini masih berlaku. Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa walaupun 84,384 kes harta pusaka kecil bernilai RM19.01 bilion berjaya diselesaikan sepanjang 2025, masih terdapat baki 46,707 kes yang belum selesai sehingga 31 Disember 2025[3]. Di sebalik angka-angka ini terdapat realiti yang lebih menyedihkan, iaitu rumah yang tidak dapat dipindah milik, tanah yang terbiar tanpa diusahakan serta hubungan kekeluargaan yang renggang akibat pertikaian yang berpanjangan.

Antara punca utama permasalahan ini ialah kegagalan ahli waris mencapai kata sepakat dalam pembahagian harta pusaka. Justeru, penulisan kali ini bertujuan mengulas berkenaan konsep takharuj sebagai salah satu kaedah penyelesaian yang diiktiraf oleh syarak, realiti pelaksanaannya di Malaysia, serta kedudukannya dalam kerangka maqasid syariah, khususnya maqasid 'umran dan tadayyun.

Definisi Takharuj

Dari sudut bahasa, perkataan takharuj berasal daripada kata dasar al-khuruj yang bermaksud keluar, dalam wazan tafa'ul yang membawa makna perbuatan yang berlaku secara timbal balik antara dua pihak atau lebih. Dari sudut istilah pula, al-Sharif al-Jurjani mentakrifkan takharuj sebagai perdamaian antara ahli waris untuk mengeluarkan sebahagian daripada mereka daripada harta pusaka dengan sesuatu yang tertentu daripada harta peninggalan tersebut[4].

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) melalui penulisan sebelum ini juga pernah menjelaskan bahawa takharuj ialah apabila sebahagian ahli waris mengambil sebahagian hak yang dimiliki ahli waris yang lain sebagai pertukaran kepada bahagian faraid mereka[5].

Berdasarkan takrif tersebut, takharuj tidak menafikan hukum faraid. Hak setiap waris tetap sabit terlebih dahulu menurut ketetapan faraid, kemudian barulah hak tersebut dilepaskan atas dasar kerelaan, sama ada dengan menerima imbuhan tertentu atau tanpa sebarang balasan.

Dalil Keharusan Takharuj

Takharuj merupakan salah satu bentuk sulh (perdamaian). Keharusannya telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT berkaitan sulh:

وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

Maksudnya: "Dan perdamaian itu lebih baik."

Surah al-Nisa' (128)

Rasulullah SAW juga bersabda:

الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ، إِلَّا صُلْحًا أَحَلَّ حَرَامًا أَوْ حَرَّمَ حَلَالًا

Maksudnya: "Perdamaian itu harus dalam kalangan orang Islam, kecuali perdamaian yang menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal."

(Riwayat Ibn Hibban)

Ayat dan hadis ini menunjukkan bahawa perdamaian merupakan jalan penyelesaian yang dianjurkan oleh syarak, selagi ia tidak membawa kepada perkara yang bertentangan dengan hukum Allah SWT.

Hak Manusia Dalam Harta Pusaka

Dalam perbincangan usul fiqh, para ulama telah membahagikan hak-hak dalam syariat kepada hak Allah SWT dan hak manusia. Sheikh ‘Izz al-Din bin ‘Abd al-Salam menjelaskan bahawa kebanyakan hak manusia kembali kepada tiga perkara, iaitu nyawa, harta dan maruah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah Haji Wada’[6]. Al-Qarafi menjelaskan bahawa maksud hak manusia secara khusus ialah hak yang gugur sekiranya pemiliknya menggugurkan hak tersebut. Namun beliau turut menegaskan bahawa setiap hak manusia juga mengandungi hak Allah SWT iaitu perintah-Nya agar hak tersebut disampaikan kepada pemiliknya[7].

Pembahagian ini menunjukkan bahawa harta pusaka merupakan hak manusia kerana ia termasuk dalam kategori harta. Manakala hak Allah SWT terhadapnya pula ialah pada penetapan bagi bahagian setiap waris menurut faraid yang wajib ditunaikan dan tidak boleh diubah. Manakala bahagian yang diterima oleh setiap waris menjadi hak miliknya sendiri. Oleh yang demikian, waris tersebut berhak menguruskan hartanya sendiri sama ada hendak mengambil ataupun melepaskan haknya untuk diberikan kepada waris yang lain.

Pandangan Fuqaha

Sementara perbincangan dalam aspek fiqh, fuqaha dalam mazhab Syafi'i juga telah membahaskan permasalahan sulh yang berkaitan dengan harta pusaka dan ahli waris. Antaranya pandangan oleh Imam al-Nawawi yang menjelaskan bahawa hukum sulh bergantung kepada hakikat akad yang terkandung di dalamnya. Jika seorang waris menerima harta lain sebagai ganti kepada bahagiannya, maka akad tersebut dihukumkan sebagai jual beli dengan lafaz sulh. Manakala jika dia mengambil sebahagian daripada haknya dan meninggalkan bakinya, maka baki tersebut dihukumkan sebagai hibah[8].

Al-Khatib al-Syirbini pula menukilkan bahawa seseorang waris boleh menjual bahagian harta warisannya walaupun harta tersebut belum berada dalam pegangannya[9]. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang waris boleh memindahkan haknya kepada waris yang lain walaupun harta pusaka masih belum dibahagikan.

Dalam membincangkan bab berkaitan hibah, al-Ramli telah menukilkan pandangan Imam al-Haramain yang menyatakan bahawa perdamaian harus dilakukan secara sama rata atau berbeza kadar dan mesti berlaku tawahub antara mereka dalam masalah harta yang ditangguhkan antara beberapa pihak. Seseorang daripada mereka juga boleh mengeluarkan dirinya daripada pembahagian, dengan syarat dia mestilah menghibahkan bahagiannya kepada mereka[10].

Berdasarkan perbahasan ini, takharuj bukan sahaja diharuskan dalam mazhab Syafi'i, bahkan ia diletakkan dalam kerangka akad yang jelas dan terkawal bagi memastikan hak setiap waris terpelihara.

Realiti Pelaksanaan Takharuj di Malaysia

Dalam konteks Malaysia, takharuj dilaksanakan dalam bentuk pembahagian harta pusaka secara muafakat. Prosesnya bermula dengan mendapatkan Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah bagi pengesahan waris-waris yang berhak menerima harta pusaka mengikut hukum syarak, sebelum dibawa ke Bahagian Pembahagian Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)[11].

Pada peringkat perbicaraan pula, pembahagian secara muafakat atau persetujuan bersama hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju sepenuhnya[12]. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan secara langsung bahawa pembahagian secara muafakat apabila semua waris bersetuju inilah yang dinamakan takharuj[13].

Persetujuan ini direkodkan secara rasmi melalui Borang DDA di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Borang tersebut memberikan pilihan kepada waris sama ada untuk menerima bahagian mengikut faraid, membahagikan harta secara persetujuan sebagaimana dalam jadual atau menyerahkan seluruh bahagian dan kepentingannya dalam harta pusaka kepada pihak lain[14].

JMWP juga mengiktiraf amalan ini dengan menjelaskan bahawa setiap harta peninggalan yang dibahagikan secara sulh atau persetujuan antara ahli waris dengan reda adalah dibenarkan, kerana waris berhak melepaskan bahagian faraidnya sama ada secara percuma atau diganti dengan harta yang lain[15].

Walau bagaimanapun, cabaran masih wujud dalam pelaksanaannya. Persetujuan kadangkala dicapai tanpa waris benar-benar mengetahui nilai sebenar harta pusaka, ataupun dibuat dalam keadaan tertekan oleh desakan keluarga. Justeru, takharuj tidak wajar dilihat semata-mata sebagai prosedur pentadbiran, sebaliknya perlu difahami dalam kerangka nilai yang lebih menyeluruh menurut maqasid syariah.

Takharuj dan Prinsip Memelihara Harta (Hifz al-Mal)

Imam al-Ghazali menegaskan bahawa tujuan syarak terhadap makhluk terbahagi kepada lima perkara iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Menurut beliau, setiap perkara yang mengandungi pemeliharaan terhadap lima asas ini merupakan maslahah, manakala setiap perkara yang menghilangkannya pula merupakan mafsadah[16].

Oleh yang demikian, pelaksanaan takharuj menepati prinsip memelihara harta kerana ia memastikan harta pusaka dapat dibahagikan secara sempurna melalui persetujuan dalam kalangan ahli waris. Selain itu, takharuj juga dapat mengelakkan daripada berlakunya penangguhan yang berpanjangan dan keadaan harta yang tidak dituntut hingga akhirnya menyebabkan aset tersebut terbiar dan tidak dapat dimanfaatkan untuk kebaikan. Harta yang beku bukan sahaja merugikan waris, bahkan turut menjejaskan kekuatan ekonomi umat Islam secara keseluruhan.

Takharuj dan Maqasid 'Umran

Allah SWT berfirman:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: "Dialah yang menjadikan kamu daripada bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya."

Surah Hud (61)

Imam al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan manusia sebagai pemakmur dan penghuni bumi[17]. Al-Naysaburi pula menyimpulkan bahawa ayat ini menunjukkan Allah SWT menghendaki pemakmuran bumi, bukannya pengasingan diri daripadanya[18].

Tuntutan memakmurkan bumi ini merangkumi urus tadbir yang baik dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah pengurusan harta pusaka. Takharuj membolehkan aset keluarga seperti tanah, rumah atau perniagaan kekal utuh dan terus produktif di tangan waris yang mampu mengusahakannya, manakala waris yang lain pula menerima imbuhan yang setimpal. Tanpa mekanisme ini, harta pusaka sering kali dipecahkan sehingga tidak lagi memiliki nilai dari sudut ekonomi atau dibiarkan terbiar tanpa sebarang pengurusan.

Takharuj dan Maqasid al-Tadayyun

Pelaksanaan takharuj yang menekankan aspek keredaan dan kerelaan waris untuk melepaskan haknya kepada waris yang lain menggambarkan ketinggian aspek keimanan. Sikap ini selari dengan sifat golongan Ansar yang dipuji oleh Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: "Dan mereka mengutamakan (orang lain) lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan amat berhajat."

Surah al-Hasyr (9)

Rasulullah SAW juga bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

(Riwayat Bukhari)

Dalam kerangka maqasid al-tadayyun, takharuj bukan sekadar urus niaga harta, tetapi ia juga merupakan manifestasi keberagamaan yang memelihara silaturahim, menjauhkan sengketa dan mendidik jiwa agar tidak terikat dengan harta dunia. Walau bagaimanapun, keredaan tersebut mestilah keredaan yang sebenar iaitu lahir daripada pengetahuan yang jelas terhadap hak sendiri serta bebas daripada sebarang paksaan dan tekanan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, antara perkara yang dapat disimpulkan adalah seperti berikut:

  1. Takharuj merupakan salah satu kaedah penyelesaian terhadap pembahagian harta pusaka yang diiktiraf oleh syarak.
  2. Pelaksanaan takharuj menepati nilai-nilai yang dianjurkan dalam syariat Islam seperti keikhlasan kerana Allah SWT, sifat ihsan dan belas kasihan terhadap sesama ahli waris.
  3. Takharuj menepati prinsip memelihara harta (hifz al-mal) dalam maqasid syariah kerana ia mengelakkan harta pusaka daripada terbeku dan tidak dimanfaatkan.
  4. Takharuj juga menepati maqasid 'umran yang menuntut pemakmuran bumi melalui urus tadbir yang baik, serta maqasid al-tadayyun yang memperlihatkan ketinggian iman dalam diri ahli waris.
  5. Konsep takharuj wajar difahami oleh masyarakat Islam dan diperluaskan pelaksanaannya bagi memastikan manfaat harta pusaka dapat terus dikembangkan untuk tujuan-tujuan kebaikan yang lain seperti wakaf demi pembangunan umat Islam pada masa hadapan.

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

Mufti Wilayah Persekutuan

 

[1] "Harta RM70 Bilion Tergantung," Harian Metro, Januari 2020, https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/534382/harta-rm70-bilion-tergantung.

[2] "RM90 Bilion Harta Faraid Tak Dituntut," Utusan Malaysia, September 2023, https://www.utusan.com.my/gaya/2023/09/rm90-bilion-harta-faraid-tak-dituntut/.

[3] "Lebih 84,000 Kes Harta Pusaka Kecil Bernilai RM19 Bilion Berjaya Diselesai Tahun Lepas," Bernama, 29 Januari 2026, https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2518092.

[4] 'Ali bin Muhammad al-Sharif al-Jurjani, al-Ta'rifat (Beirut : Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1983), 53.

«التَّخَارُجُ: فِي اللُّغَةِ تَفَاعُلٌ مِنَ الْخُرُوجِ، وَفِي الِاصْطِلَاحِ: مُصَالَحَةُ الْوَرَثَةِ عَلَى إِخْرَاجِ بَعْضٍ مِنْهُمْ بِشَيْءٍ مُعَيَّنٍ مِنَ التَّرِكَةِ»

[5] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, "Irsyad Hukum Siri ke-603: Hukum Membayar Cukai Tanah Melalui Harta Faraid yang Belum Dibahagikan," diakses 23 Oktober 2026, https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4918-irsyad-al-fatwa-siri-ke-603-hukum-membayar-cukai-tanah-melalui-harta-faraid-yang-belum-dibahagikan.

[6] ‘Izz al-Din ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam (Kaherah : Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah, 1991), 1:166.

«فَمُعْظَمُ حُقُوقِ الْعِبَادِ تَرْجِعُ إِلَى الدِّمَاءِ وَالْأَمْوَالِ وَالْأَعْرَاضِ، وَقَدْ أَوْحَى بِذَلِكَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ وَصِيَّةً مُؤَكَّدَةً بِقَوْلِهِ: "دِمَاؤُكُمْ وَأَمْوَالُكُمْ وَأَعْرَاضُكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ"»

[7] Syihab al-Din Ahmad bin Idris al-Qarafi, Syarh Tanqih al-Fusul (t.tp : Syarikah al-Thoba'ah Alfanniyyah al-Muttahidah,1973), 95.

«فَحَقُّ اللهِ تَعَالَى أَمْرُهُ وَنَهْيُهُ، وَحَقُّ الْعَبْدِ مَصَالِحُهُ ... وَمَعْنَى حَقِّ الْعَبْدِ الْمَحْضِ أَنَّهُ لَوْ أَسْقَطَهُ لَسَقَطَ، وَإِلَّا فَمَا مِنْ حَقٍّ لِلْعَبْدِ إِلَّا فِيهِ حَقٌّ للهِ تَعَالَى وَهُوَ أَمْرُهُ تَعَالَى بِإِيصَالِ ذَلِكَ الْحَقِّ إِلَى مُسْتَحِقِّهِ»

[8] Ahmad Salamah al-Qalyubi dan Ahmad al-Burullusi 'Umairah, Hasyiyata Qalyubi wa 'Umairah (Beirut : Dar al-Fikr, 1995), 2:383.

«فَإِنْ جَرَى عَلَى عَيْنٍ غَيْرِ الْمُدَّعَاةِ فَهُوَ بَيْعٌ بِلَفْظِ الصُّلْحِ تَثْبُتُ فِيهِ أَحْكَامُهُ ... أَوْ عَلَى بَعْضِ الْعَيْنِ الْمُدَّعَاةِ فَهِبَةٌ لِبَعْضِهَا الْبَاقِي»

[9] Syams al-Din Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani Alfaz al-Minhaj (t.tp : Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1994), 2:463.

«وَلَهُ بَيْعُ مَالِهِ فِي يَدِ غَيْرِهِ أَمَانَةً كَوَدِيعَةٍ وَمُشْتَرَكٍ وَقِرَاضٍ وَمَرْهُونٍ بَعْدَ انْفِكَاكِهِ وَمَوْرُوثٍ»

[10] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut : Dar al-Fikr, 1984), 5:412.

فَيَجُوزُ الصُّلْحُ بَيْنَهُمْ عَلَى تَسَاوٍ أَوْ تَفَاوُتٍ لِلضَّرُورَةِ: قَالَ الْإِمَامُ: وَلَا بُدَّ أَنْ يَجْرِيَ بَيْنَهُمْ تَوَاهُبٌ، وَلِبَعْضِهِمْ إِخْرَاجُ نَفْسِهِ مِنَ الْبَيْنِ، لَكِنْ إِنْ وَهَبَ لَهُمْ حِصَّتَهُ جَازَ

[11] Jabatan Mufti Negeri Pahang, "Pengurusan Harta Pusaka," khutbah Jumaat, 13 Januari 2023, https://mufti.pahang.gov.my/images/ekhutbah/jumaat/2023/13.1.2023-rumi.pdf.

[12] Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, "Pembahagian Harta Pusaka," diakses 23 Oktober 2026, https://www.jkptg.gov.my/en/panduan/sop/pembahagian-harta-pusaka.

[13] Majlis Agama Islam Selangor, "Bagaimana Membuat Tuntutan Pembahagian Harta Pusaka Si Mati?," e-Faraid MAIS, diakses 23 Oktober 2026, https://efaraid.mais.gov.my/bagaimana-membuat-tuntutan-pembahagian-harta-pusaka-si-mati/.

[14] Borang DDA (Peraturan 4A), Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, https://www.ukm.my/e-mirath/wp-content/uploads/2015/12/Borang-DDA.pdf.

[15] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, "Irsyad Hukum Siri ke-603."

[16] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, al-Mustasfa (t.tp : Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1993), 174.

«وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنَ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ: وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ، فَكُلُّ مَا يَتَضَمَّنُ حِفْظَ هَذِهِ الْأُصُولِ الْخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ، وَكُلُّ مَا يُفَوِّتُ هَذِهِ الْأُصُولَ فَهُوَ مَفْسَدَةٌ»

[17] Al-Husain bin Mas'ud al-Baghawi, Ma'alim al-Tanzil, ed. 'Abd al-Razzaq al-Mahdi (Beirut : Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, t.t.), 2:454.

«وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا، أَيْ: جَعَلَكُمْ عُمَّارَهَا وَسُكَّانَهَا»

[18] Mahmud bin Abi al-Hasan Bayan al-Haqq al-Naysaburi, Ijaz al-Bayan 'an Ma'ani al-Qur'an (Beirut : Dar al-Gharbi al-Islamiyy, 1415H), 1:415.

«وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا: جَعَلَكُمْ عُمَّارَهَا، فَيَدُلُّ عَلَى أَنَّ اللهَ يُرِيدُ عِمَارَةَ الْأَرْضِ لَا التَّبَتُّلَ»