Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 156/2026 : RESOLUSI MABIMS 2026 MEMPERKUKUH MASYARAKAT BERKEADABAN DALAM MALAYSIA MADANI

T.png

RESOLUSI MABIMS 2026 MEMPERKUKUH MASYARAKAT BERKEADABAN DALAM MALAYSIA MADANI

PENDAHULUAN

Masyarakat berkeadaban dapat dikenal melalui cara ilmu agama dipelihara, hak golongan memerlukan ditunaikan dan hubungan sesama manusia dibina secara adil. Kesantunan pertuturan tetap penting, namun penghayatan adab turut terserlah pada amanah institusi dan manfaat yang dirasai masyarakat.

Istilah masyarakat Islam berkeadaban diangkat sebagai tema Mesyuarat Pegawai Kanan MABIMS Ke-50 di Jakarta pada November 2026 melalui gagasan Khairu Ummah: Berbagi Praktik Baik Membangun Masyarakat Islam Berkeadaban.[1] Sepuluh Resolusi Khairu Ummah menghubungkan hasrat ini dengan maqasid syariah, pengukuhan keluarga, integriti perkhidmatan agama, pemerkasaan asnaf dan kerjasama ilmu serantau.[2]

Bagi Malaysia, gagasan masyarakat berkeadaban ini mempunyai titik pertemuan dengan Malaysia MADANI yang berteraskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.[3] Melalui maqasid tadayun, ilmu dan kewibawaan institusi agama dipelihara. Maqasid umran memberi perhatian kepada kecukupan hidup asnaf, manakala mizan persaudaraan membuka ruang untuk berkongsi nilai dan pengalaman Malaysia dengan negara serantau.

INTEGRITI INSTITUSI AGAMA DALAM ERA DIGITAL

Resolusi keempat hingga keenam MABIMS 2026 menekankan literasi digital petugas agama, pengesahan data dan kawalan manusia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta perkhidmatan yang telus. Kesepakatan ini mengingatkan institusi supaya memanfaatkan teknologi tanpa mengorbankan ketelitian ilmu dan amanah. Asas tanggungjawab tersebut dinyatakan dalam firman Allah SWT:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah.”

Surah Ali ‘Imran (110)

Imam Abu Mansur al-Maturidi menghuraikan bahawa kebaikan dikenal melalui pertimbangan akal, dalil dan petunjuk para rasul.[4] Pengajaran ini menegaskan pentingnya ilmu yang sahih dalam bimbingan agama. Dalam era AI, jawapan yang meyakinkan belum tentu tepat, lebih-lebih lagi dalam soal akidah dan hukum.

Atas asas maqasid tadayun, resolusi MABIMS ini sewajarnya membina amalan institusi yang menjaga kesahihan ilmu. Penjelasan agama perlu mempunyai sandaran yang boleh disemak, manakala kesilapan hendaklah diperbetulkan. AI membantu pencarian maklumat, namun penyelidikan dan istinbat memerlukan penelitian ilmuwan berkelayakan serta pihak berautoriti. Ketelitian inilah yang memelihara kepercayaan masyarakat.

MAQASID UMRAN MEMPERKASA ASNAF MELALUI ZAKAT

Resolusi ketujuh hingga kesembilan MABIMS 2026 memberikan perhatian khusus kepada pengurusan zakat dan pemerkasaan asnaf. Kesepakatan mengenai pemprofilan penerima, penentuan had kecukupan, latihan kemahiran dan peluang ekonomi memberi arah yang lebih jelas kepada usaha membantu golongan memerlukan. Ukuran kejayaannya tidak seharusnya terhenti pada jumlah bantuan yang diagihkan, sebaliknya turut mengambil kira perubahan yang dialami oleh keluarga penerima.

Dari sudut maqasid umran, zakat mempunyai peranan dalam memelihara kecukupan hidup dan mengukuhkan keupayaan masyarakat. Imam al-Raghib al-Asfahani menjelaskan bahawa usaha memakmurkan bumi meliputi perkara yang membantu kelangsungan hidup manusia serta memperbaik penghidupan mereka.[5] Pandangan ini mengingatkan kita supaya pengurusan bantuan memberikan perhatian kepada keadaan sebenar seseorang, termasuk kemampuan, tanggungan keluarga dan peluang yang tersedia.

Kesempitan hidup tidak dialami oleh semua asnaf dengan cara yang sama. Ada keluarga yang memerlukan bantuan makanan, sewa rumah atau rawatan secara berterusan. Ada juga penerima yang berpotensi meningkatkan pendapatan melalui latihan dan bimbingan perniagaan. Bantuan asas kepada mereka yang uzur atau tidak berupaya tetap perlu dilindungi, sementara program kemahiran disediakan kepada penerima yang sesuai. Pertimbangan yang adil memastikan usaha pemerkasaan tidak mengabaikan hak golongan paling memerlukan.

Di sinilah nilai kesejahteraan dan ihsan dalam Malaysia MADANI dapat diterjemahkan secara lebih bermakna. Pengurusan zakat yang berkesan menjaga maruah asnaf, meneliti keperluan keluarga dan membuka peluang kepada mereka yang mampu membina kehidupan lebih stabil. Maqasid umran akhirnya dapat dinilai melalui kecukupan hidup dan manfaat yang benar-benar sampai kepada masyarakat.

MIZAN PERSAUDARAAN MENGANGKAT NILAI MADANI DI NUSANTARA

MABIMS menghimpunkan negara-negara jiran yang berkongsi tanggungjawab memelihara kehidupan beragama dan kesejahteraan umat. Kesepakatan mengenai keharmonian serantau, pertukaran penyelidikan serta perkongsian kepakaran membuka ruang kepada Malaysia untuk mengetengahkan pengalaman Malaysia MADANI di persada Nusantara. Nilai hormat, keyakinan dan ihsan boleh menjadi sumbangan pemikiran serta amalan baik, dengan tetap menghargai dasar dan keperluan setiap negara anggota.

Usaha ini memerlukan mizan persaudaraan supaya hubungan serantau dipandu oleh keadilan dan amanah. Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Hadid ayat 25 bahawa kitab dan neraca diturunkan agar manusia menegakkan keadilan. Imam al-Qurtubi menghuraikan bahawa keadilan tersebut meliputi urusan sesama manusia.[6] Dalam kerjasama antara negara, prinsip ini mengingatkan kita agar pertukaran manfaat berlangsung secara saling menghormati, tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kedudukan mana-mana pihak.

Perkongsian kaedah menyemak maklumat agama dalam era AI, latihan kepakaran dan pengalaman mengurus zakat boleh menjadi ruang untuk menerjemahkan semangat tersebut. Amalan yang terbukti membantu masyarakat di sesebuah negara boleh diteliti dan disesuaikan di negara lain. Persaudaraan serantau dengan demikian berkembang melalui ilmu yang dikongsi, kepercayaan yang dipelihara dan manfaat yang sampai kepada umat.

Melalui wadah MABIMS, Malaysia berpeluang membawa nilai MADANI ke perbincangan Nusantara secara berhikmah. Nilai hormat memandu hubungan antara negara yang mempunyai latar pentadbiran berbeza, keyakinan dipupuk melalui ketelusan kerjasama, sementara nilai ihsan mengutamakan kesejahteraan masyarakat. Inilah manifestasi mizan persaudaraan yang mengangkat nilai bersama tanpa menyamakan semua dasar negara anggota.

PENUTUP

Resolusi MABIMS 2026 sewajarnya menggerakkan pembaharuan yang dapat dirasai masyarakat. Kewibawaan institusi agama perlu dipelihara melalui ketelitian ilmu, sementara pengurusan zakat hendaklah berpandukan keadaan sebenar asnaf. Kerjasama serantau pula wajar dibina atas perkongsian manfaat yang adil dan saling menghormati.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, maqasid tadayun membimbing amanah keilmuan, maqasid umran memelihara kesejahteraan hidup dan mizan persaudaraan memperluas nilai hormat, keyakinan serta ihsan ke persada Nusantara. Dengan penghayatan ini, masyarakat berkeadaban memperoleh makna melalui hak yang ditunaikan, institusi yang dipercayai dan kebaikan yang dapat dikongsi bersama.

Wallahu a‘lam.

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

Mufti Wilayah Persekutuan

8 November 2026 / 28 Jamadilawal 1448H

[1] Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, “Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Ke-50 Bagi MABIMS Tahun 1448H/2026M,” 4 November 2026. Kenyataan rasmi ini menyebut tema “Khoiru Ummah: Berbagi Praktik Baik Membangun Masyarakat Islam Berkeadaban”.

[2] Direktorat Jenderal Bimbingan Masyarakat Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia, “SOM MABIMS ke-50 Sepakati 10 Resolusi Khairu Ummah, Sekjen Kemenag: Harus Berdampak Nyata bagi Masyarakat,” 4 November 2026, resolusi 1–10.

[3] Sekretariat Malaysia MADANI, “Pengenalan,” portal rasmi Malaysia MADANI, bahagian “Definasi Malaysia MADANI” dan “6 Nilai Teras”.

[4] Abu Mansur Muhammad ibn Muhammad al-Maturidi, Ta’wilat Ahl al-Sunnah, disunting oleh Majdi Basallum (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2005), 2:455. Teks asal:

الْمَعْرُوفُ هُوَ الْمَعْرُوفُ فِي الْعُقُولِ، أَيْ الَّذِي تَسْتَحْسِنُهُ الْعُقُولُ

[5] Abu al-Qasim al-Husayn ibn Muhammad al-Raghib al-Asfahani, al-Dhari‘ah ila Makarim al-Shari‘ah, disunting oleh Abu al-Yazid Abu Zayd al-‘Ajami (Kaherah: Dar al-Salam, 2007), 85. Teks asal:

وَأَمَّا عِمَارَةُ الْأَرْضِ فَالْقِيَامُ بِمَا فِيهِ تَزْجِيَةٌ لِحَيَاةِ النَّاسِ وَصَلَاحُ مَعَاشِهِمْ

[6] Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, disunting oleh Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfayyish, edisi kedua (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964), 17:260. Teks asal:

لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ أَيْ بِالْعَدْلِ فِي مُعَامَلَاتِهِمْ