Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 157/2026 : KONSERT THE WEEKND: LARANGAN HEDONISME DAN UNSUR RITUAL YANG MENGANCAM AKIDAH

T.png

KONSERT THE WEEKND: LARANGAN HEDONISME DAN UNSUR RITUAL YANG MENGANCAM AKIDAH

Penganjuran konsert The Weeknd – After Hours Til Dawn Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November 2026 merupakan antara acara hiburan antarabangsa yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia. Namun begitu, perhatian ini bukan sahaja dilihat dari sudut populariti artis dan hiburan yang disajikan semata-mata, tetapi turut berkaitan persoalan tentang kandungan persembahan, simbolisme, mesej, pengaruh budaya serta nilai yang dibawa dan dinormalisasikan kepada khalayak melalui konsert tersebut. Hal ini dengan timbulnya beberapa perbuatan yang dianggap sebagai ‘ritual’ dalam persembahan tersebut. Persembahan tersebut dilaporkan menampilkan sebuah arca robot wanita gergasi berwarna keemasan setinggi kira-kira 40 kaki, di samping penari yang mengenakan jubah bertudung merah, paparan visual dramatik, pancaran laser dan kesan piroteknik. Gabungan elemen persembahan tersebut telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat berhubung kemungkinan wujudnya simbolisme ritual atau unsur pemujaan. Justeru, perbincangan mengenai konsert ini dari perspektif akidah Islam perlu berteraskan penelitian ilmiah terhadap unsur yang benar-benar terkandung dalam persembahan, dengan berpandukan neraca tauhid, pemeliharaan kesucian akidah serta kaedah penilaian terhadap perkara yang boleh menjejaskan keimanan.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran agama, kami menegaskan pendirian untuk tidak bersetuju serta mengingkari sebarang perlakuan atau unsur persembahan yang bercanggah dengan prinsip akidah, syariat dan nilai-nilai Islam. Pendirian ini dizahirkan atas dasar tanggungjawab memelihara kesucian agama serta memastikan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak tidak dipandang ringan atau dinormalisasikan dalam masyarakat. Hal ini kerana dari sudut akidah, umat Islam hendaklah berwaspada terhadap sebarang bentuk perlakuan yang mengandungi unsur pengabdian, pemujaan, pemohonan atau pengagungan ketuhanan kepada selain Allah SWT. Hal ini kerana tauhid merupakan asas keimanan yang menuntut setiap bentuk ibadah dan pengabdian mutlak ditujukan hanya kepada-Nya. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut".

(Surah al-Nahl: 36)

Selain itu, Allah SWT turut memberikan peringatan terhadap golongan yang menjadikan agama sebagai bahan permainan dan hiburan serta terlalu terpesona dengan kehidupan dunia. Firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

(Surah al-An’am: 70)

Ayat ini memberikan peringatan yang tegas daripada Allah SWT terhadap golongan yang menjadikan agama sebagai bahan permainan dan hiburan, di samping terlalu terpesona dengan kesenangan kehidupan dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama. Tahir ibn ‘Asyur dalam tafsirnya menyebutkan bahawa golongan yang dimaksudkan bukanlah sekadar menjadikan segala bentuk permainan dan hiburan sebagai agama mereka. Sebaliknya, mereka melakukan sesuatu yang lebih jauh, iaitu mereka-reka suatu bentuk kepercayaan atau amalan yang disandarkan kepada agama, sedangkan perkara tersebut sebenarnya terdiri daripada unsur permainan, hiburan dan perkara yang tidak mempunyai asas agama yang sah. Dengan kata lain, mereka mengambil beberapa bentuk perlakuan yang bersifat hiburan, kemudian memberikan kepadanya kedudukan dan nilai keagamaan sehingga seolah-olah menjadi sebahagian daripada pegangan agama mereka.[1] Dalam konteks ini, Islam menuntut agar setiap Muslim memelihara kehormatan agama serta tidak mencampuradukkan perkara yang berkaitan dengan kesucian syiar Islam dengan unsur hiburan yang boleh merendahkan martabatnya. Hal ini kerana agama bukan sekadar identiti atau simbol kehidupan, sebaliknya merupakan panduan menyeluruh yang mengatur kepercayaan, ibadah, akhlak dan tingkah laku manusia. Justeru, sebarang bentuk hiburan yang mempermainkan perkara suci dalam agama atau menjadikan simbol keagamaan sebagai bahan sensasi dan keseronokan perlu diberikan perhatian yang serius.

Berkaitan dengan konsert yang dimaksudkan, umat Islam di Malaysia sewajarnya mengambil iktibar dan memberikan perhatian serius terhadap sebarang bentuk persembahan hiburan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan terhadap prinsip akidah dan kesucian agama. Kami ingin menegaskan bahawa kebebasan berkarya dan berekspresi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan batas-batas agama, apatah lagi apabila sesuatu persembahan dikaitkan dengan unsur pemujaan, ritual atau pengagungan selain Allah SWT. Selain itu, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak pernah sesekali menyokong mana-mana dan sentiasa bergerak sesuai dengan bidang kuasa yang diperuntukkan

Dalam perkembangan semasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan pada 9 November 2026 turut menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT serta mengingatkan semua pihak agar memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama. JAKIM juga sedang bekerjasama dengan pihak PUSPAL bagi mengesahkan dakwaan yang timbul serta meneliti pematuhan terhadap syarat persembahan berkenaan. Oleh yang demikian, di masa yang akan datang umat Islam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dengan kemeriahan sesuatu acara, populariti artis atau tarikan persembahan sehingga mengabaikan pertimbangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

Mufti Wilayah Persekutuan

9 November 2026 / 29 Jamadilawal 1448H

 

[1] Ibn ‘Asyur, Tahir, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Tunisiyyah li al-Nasyr, 1983), jld. 7, hlmn. 290.

فإنهم لم يجعلوا كل ما هو من اللهو واللعب دينا لهم بل عمدوا إلى أن ينتحلوا دينا فجمعوا له أشياء من اللعب واللهو وسموها دينا.