Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #15: DEFINISI AGNOSTISISME & KAEDAH BERINTERAKSI

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan agnostisisme dan bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk berinteraksi dengan agnostik?

Jawapan:

Islam menegaskan bahawa hakikat ilmu itu adalah tetap dan boleh dicapai. Berbeza dengan golongan sofis (sufasta’iyyah) yang meragui dan menolak hakikat ilmu. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nasafi:

Maksudnya: Hakikat sesuatu adalah tetap dan ilmu terhadapnya boleh dicapai; berbeza dengan golongan sofis. (Lihat Syarh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, m. 13-14)

Imam ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam 7 membahagikan golongan sofis kepada 3 kelompok:

  1. Tidak ada hakikat bagi sesuatu dan tidak ada ilmu tentang sesuatu.
  2. Tidak tahu samada bagi ilmu itu ada hakikat-hakikatnya atau tidak ada.
  3. Semua benda adalah hakikat

Kelompok (i) tidak mengakui kewujudkan ilmu, orang yang berilmu dan objek yang diketahui. Oleh itu, segala hakikat tidak dapat dicapai dan segala yang wujud hanya berbentuk waham. Kelompok (ii) pula syak terhadap ilmu samada wujud atau tidak hakikatnya. Manakala kelompok (iii) berpegang bahawa tidak ada hakikat yang mutlak. Semua kepercayaan adalah benar bagi mereka. (Lihat Usul al-Din, m. 6-7)

Dalam perbahasan Imam al-Nasafi dan Imam al-Taftazani, kelompok-kelompok di atas dirumuskan menjadi 3 golongan iaitu:

  1. Skeptik (al-‘inadiyyah)
  2. Relatif (al-‘indiyyah)
  3. Agnostik (al-la adriyyah)

Agnostik berasal daripada dua perkataan Greek iaitu a dan gnastos. A bermaksud tidak dan gnastos bermaksud tahu. Maka, agnostik bermaksud “tidak tahu”. Perkataan agnostic menurut The Cambridge Dictionary of Philosophy pula diperkenalkan oleh Thomas Henry Huxley yang menunjukkan sikap seseorang terhadap falsafah dan agama yang mendakwa bahawa idea metafizik tidak dapat dibuktikan atau disangkal. Beliau menggunapakai istilah ini dalam satu ucapannya semasa mesyuarat Metaphysical Society pada tahun 1869.

Oleh itu, seseorang yang digelar atau mendakwa dirinya agnostik adalah individu yang berada dalam keadaan ragu-ragu samada seseorang itu oleh mempunyai dan mencapai pengetahuan tentang Tuhan dan metafiziknya atau tidak. Golongan agnostik juga meragui keseluruhan bentuk hakikat ilmu termasuklah segala bentuk kewujudan.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, kelompok ini dapat dikesan seawal zaman Yunani kuno di mana ia dibawa oleh Protagoras, Georgias, Hippias dan Prodicus. Mereka menyebarkan faham etika dan epistemologi relativisme. Bagi mereka, hakikat kewujudkan adalah tidak penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka adalah penipuan semata-mata manakala ibadah itu tidak bermanfaat. (The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The ʿAqa’id al-Nasafi, m. 47-48)

Kaedah Berinteraksi Dengan Agnostik

Satu budaya yang tidak sihat adalah sikap normalisasi dalam segelintir umat Islam yang menganggap agnostisisme adalah hak dan kebebasan individu serta tidak memerlukan perbincangan dan konsultasi lanjut supaya mereka kembali meyakini kebenaran Islam. Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim, no. 78)

Memandangkan isu ini semakin meruncing dalam kalangan umat Islam di Malaysia, satu kaedah khusus perlu digariskan bagi membantu umat Islam menyampaikan kebenaran, juga membantu golongan agnostik untuk menilai pendirian mereka dan kembali kepada agama Islam.

Pertama: Faham Cara Agnostik Berfikir

Semakin kuat mereka diserang dan disalahkan tanpa hujah yang kukuh, semakin kuat mereka meyakini “kebenaran” faham agnostisisme yang mereka pegang. Pepatah Arab menyebut:

الإنسان عدو ما يجهل

Maksudnya: Manusia adalah musuh apa yang tidak diketahuinya.

Malah, kebiasaannya sikap segelintir umat Islam yang menerima provokasi mereka dengan emosional, menguatkan hujah mereka bahawa sebenarnya Islam dianut secara ikut-ikutan dan tidak bersandarkan hujah yang logik. Justeru, memahami agnostisisme dan cara agnostik berfikir adalah amat penting sebagai langkah pertama berinteraksi dengan mereka.

Kedua: Keyakinan Tidak Sentiasa Memerlukan Bukti Mutlak

Pada hakikatnya, tidak semua hal yang meyakinkan kita, memerlukan bukti empirikal yang mutlak. Terlalu banyak perkara dalam kehidupan, menjadi bukti yang sebenarnya kita secara fitrahnya meyakini sesuatu dengan sepenuh keyakinan tanpa berusaha mencari bukti yang mutlak.

Sebagai contoh preskripsi ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor. Sebagai seorang pesakit, kita biasanya tidak akan meragui preskripsi berkenaan dan menerima bulat-bulat apa yang dicadangkan oleh doktor tanpa mempersoalkannya lagi. Ini kerana, kita yakin kepada doktor berkenaan tanpa kita menyelidik samada doktor berkenaan adalah benar-benar seorang “doktor”. Kita juga dengan penuh keyakinan meletakkan 100% kepercayaan kepada juruterbang dan jurutera kapalterbang ketika menaiki pesawat tanpa kita mempersoalkan mereka. Maka, sikap agnostisisme yang konsisten dalam semua keadaan adalah amat mustahil untuk diimplementasikan dalam realiti kehidupan.

Ketiga: Agnostik Tidak Kekal Dengan Sikap Agnostik Terhadap Agnostisisme Mereka

Seorang agnostik mungkin sahaja tidak mepercayai kebenaran hadis sebagai sumber yang berautoriti dalam Islam. Pelbagai hujah boleh diberikan untuk mempertikaikan autoriti hadis dan mereka begitu yakin dengan pegangan tersebut walaupun hujah tersebut bermakna (valid) tetapi tidak tepat (sound). Jika mereka bersungguh-sungguh mempertahankan pendirian mereka sebagai benar, ia cuma menggambarkan kekeliruan mereka memahami falsafah sebenar agnostisisme.

Secara tidak langsung, ia sebenarnya menzahirkan sikap mereka yang tidak konsisten dalam berpegang dengan faham agnostisime mereka. Seorang agnostik sebenar akan sentiasa adil dalam menilai ilmu-ilmu yang diperoleh dan berusaha mendapatkan kesemua penilaian samada pro atau kontra dalam satu-satu isu sebelum menetapkan pendirian mereka. Natijahnya, seorang agnostik samada akan menjadi ateis atau beragama.

Keempat: Cari Akar Permasalahan

Perbincangan tidak akan menemui penyelesaian sekiranya ianya tidak membawa kepada solusi bagi persoalan-persoalan yang timbul. Oleh itu, sebaiknya adalah senaraikan persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya tentang logik, keadilan Allah SWT, sikap umat Islam atau apa sahaja yang mengelirukannya. Dapatkan jawapan daripada orang yang lebih arif  sebagaimana firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada Ahluzzikri jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Anbiya’: 7)

Secara umumnya, akal tidak akan mampu berdiri dengan sendiri untuk menggapai hal-hal ketuhanan terutamanya metafizik melainkan perlunya kepada wahyu. Ini ditegaskan sendiri oleh Imam Muhammad Abduh sebagaimana yang dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad ‘Imarah:

“Had sempadan akal sebagai satu daya kebolehan manusia, punya kedudukan yang tinggi dan terpenting. Akan tetapi, ia sendirian sahaja tidak mungkin dapat merealisasi kebahagiaan manusia. Bahkan, ia memerlukan wahyu dan naql, yang dapat menyampaikan kepadanya berita ghaib berkenaan alam ketuhanan, di mana akal semata-mata tidak dapat menjangkau hakikatnya.

Di samping itu, Imam Muhammad Abduh menegaskan:

“…yang menjadi kewajipan untuk kita percaya adalah, agama Islam merupakan agama tauhid (penyatu) dari sudut kepercayaannya. Ia bukan agama yang memecah-belahkan pada asas-asasnya. Akal merupakan pembantu terbaik kepada ketauhidan, manakala wahyu pula adalah sendi dan tiangnya yang paling ampuh dan kuat.”

Perbahasan berkenaan agnostisisme dan ateisme akan dilanjutkan dalam siri-siri akan datang, insyaAllah. Semoga kita bersama-sama beroleh manfaat dan faedah daripada kupasan ini dalam meningkatkan ilmu, iman dan amal kita kepada Allah SWT.