Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #157: AJARAN THE MARVELOUS QURAN

Al_Afkar_157.jpg

 

Pengenalan

The Marvelous Quran merupakan sebuah projek yang diusahakan oleh Dr. Hany Atchan dan beberapa orang sukarelawan yang lain. Projek ini dibangunkan khas bagi sesiapa yang mempunyai pemikiran kritis dan menggunakan logik akal dalam pentafsiran al-Quran selari dengan tujuan utamanya adalah untuk mengkritik kelompongan tafsir yang sedia ada dan menggunakan metodologi yang tersendiri untuk mentafsir ayat al-Quran.[1]

Terdapat beberapa isu utama yang menjadi sebab wujudnya projek The Marvelous Quran ini iaitu yang pertama mereka mengatakan bahawa tafsir berautoriti yang menjadi rujukan kini adalah salah dalam mengenali sifat al-Quran iaitu menganggapnya seperti puisi. Lantaran itu, mereka mengatakan bahawa ungkapan dan kata dalam tafsir perlu menggunakan bahasa Arab Tradisional. Kedua, kitab tafsir ini merujuk kepada kisah daripada kitab-kitab terdahulu yang telah menyeleweng untuk menghuraikan kisah dalam al-Quran. Oleh itu, salah faham terjadi terhadap keseluruhan al-Quran kerana ulama tafsir tidak memahami kisah dalam al-Quran yang menggunakan ungkapan Abrahamik.[2]

Sebagai solusinya, projek ini mengambil pendekatan untuk mengeluarkan video melalui saluran YouTube yang kononnya memberi hujah balas terhadap tafsir ulama terdahulu dengan menerapkan metodologi organik Quran. Metode ini digunakan oleh mereka untuk berinteraksi dengan al-Quran dengan cara yang betul (menurut dakwaan mereka) dan menerima petunjuk secara langsung daripada Allah SWT.[3]

Berdasarkan penelitian yang dibuat tentang The Marvelous Quran, dapat disimpulkan bahawa projek yang dibina oleh Dr. Hany Atchan bersama ahli kumpulannya jelas mengkritik dan memandang rendah terhadap disiplin ilmu tafsir yang dikembangkan oleh ulama terdahulu yang bersungguh-sungguh menjaga kesucian al-Quran daripada sudut maknanya. Lalu, mereka mencipta satu metodologi baharu yang dikenali sebagai metodologi organik Quran iaitu satu kaedah pentafsiran al-Quran menggunakan logik akal dan kaedah berasaskan bukti.

Penyelewengan The Marvelous Quran

Penyelewengan ajaran ini tertumpu kepada pentafsiran nas-nas al-Quran yang tidak mengikut kaedah yang betul. Hal ini telah membawa kepada beberapa bentuk penyelewengan dengan pandangan-pandangan yang ganjil seperti:

  • Muhammad adalah seorang Nabi untuk Bani Israel.[4]
  • Pasangan (zauj) Adam adalah Iblis.[5]
  • Firaun berasal dari Bani Israel dan sebenarnya adalah Abu Lahab.[6]
  • Khidr adalah seorang gangster yang membunuh budak itu kerana dia adalah pengintip bagi Firaun.[7]
  • Surah al-Nasr merujuk kepada saluran YouTube beliau.[8]
  • Doa dengan menggunakan lafaz ‘Allahumma inna’ adalah cara berdoa yang salah, sebaliknya perlu menggunakan lafaz ‘Ya Rabbi’.[9]
  • Mendakwa bahawa Maryam ialah ibu kepada Nabi Yahya.[10]

Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan orang awam. Justeru perlu untuk diberikan penjelasan berkaitan perkara ini agar masyarakat Islam khususnya di Malaysia tidak terpedaya dengan ajaran sesat yang dibawa oleh individu berkenaan.

 

Penghujahan Terhadap The Marvelous Quran

Pertama, setiap nas-nas suci al-Quran dan sunnah hendaklah dijaga kehormatan dan kesuciannya. Kedua-duanya tidak boleh untuk ditafsirkan secara sesuka hati dan mengikut pandangan sendiri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔول

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’: 36)

Di samping itu, Nabi SAW melarang perbuatan yang sama dengan memberi amaran bahawa orang yang mentafsirkan al-Quran mengikut pandangannya sendiri akan diazab di dalam neraka. Sabda Rasulullah SAW:

من قال في القرآن بغير علم، فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: Sesiapa yang memperkatakan berkaitan dengan ilmu tanpa mempunyai ilmu, maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka.

(Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)

Para ulama tafsir merupakan orang yang berkelayakan untuk memberikan pemahaman dan menerangkan apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT melalui kalam-Nya iaitu al-Quran. Oleh itu, mereka perlu mempersiapkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu alat untuk mentafsirkan al-Quran dengan tepat dengan metode yang betul. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran bahawa:

ويحرم ‌تفسيره ‌بغير ‌علم والكلام في معانيه لمن ليس من أهلها والأحاديث في ذلك كثيرة والاجماع منعقد عليه وأما تفسيره للعلماء فجائز حسن والاجماع منعقد عليه فمن كان أهلا للتفسير جامعا للأدوات حتى التي يعرف بها معناه وغلب على ظنه المراد فسره إن كان مما يدرك بالاجتهاد كالمعاني والأحكام الجلية والخفية والعموم والخصوص والإعراب وغير ذلك وإن كان مما لا يدرك بالاجتهاد كالأمور التي طريقها النقل وتفسير الألفاظ اللغوية فلا يجوز الكلام فيه إلا بنقل صحيح من جهة المعتمدين من أهله وأما من كان ليس من أهله لكونه غير جامع لأدواته فحرام عليه التفسير لكن له أن ينقل التفسير عن المعتمدين من أهله

Maksudnya: Haram untuk mentafsirkan al-Quran tanpa ilmu dan berbicara mengenai maknanya bagi mereka yang bukan ahlinya serta banyak hadis yang menyebut tentang perkara ini dan disepakati oleh ijmak mengenainya. Adapun tafsir al-Quran oleh para ulama adalah harus lagi baik dan telah disepakati oleh ijmak mengenainya. Sesiapa yang layak untuk mentafsirkan al-Quran, yang memiliki semua ilmu alat yang diperlukan, termasuk yang dapat mengenal pasti maknanya dan yang hampir pasti mengetahui apa yang dimaksudkan, maka dia boleh mentafsirkan, jika ia berkaitan dengan perkara yang dapat difahami dengan ijtihad, seperti makna-makna, hukum-hukum yang jelas dan tersembunyi, am dan khas, serta ‘irab dan sebagainya. Namun, jika ia adalah perkara yang tidak dapat difahami dengan ijtihad, seperti perkara yang hanya dapat diketahui melalui riwayat atau tafsiran lafaz bahasa, maka tidak diharuskan untuk berbicara mengenainya kecuali dengan riwayat yang sahih daripada sumber yang boleh dipercayai dalam kalangan ahlinya. Adapun seseorang yang tidak termasuk dalam kalangan ahlinya kerana dia tidak mempunyai semua ilmu alat tersebut, maka haram baginya untuk mentafsir al-Quran, namun dia dibenarkan untuk menyampaikan tafsiran dari para ahli yang diiktiraf.[11]

Seseorang yang ingin mentafsirkan al-Quran perlu menguasai sekurang-kurangnya 15 ilmu sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Itqan fi Ulum al-Quran[12]. Ilmu-ilmu tersebut ialah:

  1. Ilmu Lughah (Bahasa Arab).
  2. Ilmu Nahu.
  3. Ilmu Sarf.
  4. Ilmu Isytiqaq.
  5. Ilmu Ma’ani (Balaghah)
  6. Ilmu Badi’ (Balaghah)
  7. Ilmu Bayan (Balaghah)
  8. Ilmu Qiraat.
  9. Ilmu Usuluddin
  10. Ilmu Usul al-Fiqh.
  11. Ilmu berkaitan asbab al-nuzul dan kisah-kisah.
  12. Ilmu berkaitan nasikh dan mansukh.
  13. Ilmu Fiqh.
  14. Ilmu berkaitan hadis-hadis yang menerangkan ayat yang mujmal dan mubham.
  15. Ilmu yang merupakan pemberian daripada Allah SWT (mawhibah).

Oleh yang demikian, mana-mana individu yang diragui keilmuannya dalam bidang tafsir ini hendaklah dielakkan daripada mengambil pandangan mereka kerana mereka termasuk dalam golongan yang dilarang untuk mentafsirkan al-Quran. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh Nuruddin ‘Itr bahawa:

من شكّ في بلوغه مبلغ أهل الاجتهاد أو ظن ذلك في بعض علومه دون بعض. فهذا أيضا داخل تحت حكم المنع من القول فيه، لأن الأصل عدم العلم، فعند ما يبقى له شك أو تردد في الدخول مدخل العلماء الراسخين فانسحاب الحكم الأول عليه باق بلا إشكال.

Maksudnya: Sesiapa yang syak sama ada dia mencapai tahap ijtihad atau menyangka perkara tersebut dalam ilmu-ilmu tertentu sahaja, maka kategori ini juga termasuk dalam hukum haram untuk memberi pandangan berkaitan tafsir. Ini kerana hukum asal ialah tiada ilmu. Apabila masih kekal syak atau keraguan bagi seseorang itu sama ada termasuk dalam ulama yang muktabar, maka kembali kepada hukum yang asal (iaitu tiada ilmu) dan ia kekal tanpa sebarang keraguan.[13]

Di samping itu, kita juga hendaklah mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW yang sangat berhati-hati untuk memperkatakan sesuatu berkaitan al-Quran. Ini sepertimana diriwayatkan daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq bahawa beliau berkata:

أي أرض تُقِلُّني، وأي سماء تُظِلُّني، إذا قلت في كتاب الله ما لم أعلم

Maksudnya: Bumi manakah yang akan menampungku dan langit manakah yang akan menaungiku, jika aku berkata dalam kitab Allah apa yang aku tidak ketahui.

 

Kesimpulan

Kemahiran untuk mentafsirkan al-Quran memerlukan seseorang untuk menguasai ilmu-ilmu alat yang disebutkan di atas dengan kukuh dan mendalam. Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengikut kaedah dan manhaj yang telah ditetapkan oleh para ulama tafsir. Tindakan tidak mengikut kaedah dan manhaj inilah yang akan melahirkan pandangan-pandangan ganjil yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru itu, kami menasihati masyarakat awam untuk mempelajari ilmu agama khususnya berkaitan tafsir al-Quran ini dengan merujuk kepada para ulama, agamawan dan guru-guru yang berkelayakan. Elakkan daripada mendengar daripada individu-individu yang tidak diketahui keilmuannya berkaitan dengan agama di media-media sosial. Lebih-lebih lagi individu yang banyak mempertikaikan pandangan para ulama yang muktabar dan memberikan pandangan sendiri tanpa berasaskan disiplin ilmu yang benar.

Kita hendaklah memastikan bahawa ilmu yang diambil daripada sumber yang berautoriti seperti kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Baghawi dan sebagainya. Selain itu, para agamawan juga hendaklah mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu alat seperti yang disebutkan apabila mereka hendak mentafsirkan ayat-ayat al-Quran.

Waallahu’alam.

Rujukan:

[1] Rujuk: https://www.marvelousquran.org/

[2] Ibid.

[3] Ibid.

[4] Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=MGvohTYC4-Q

[5] Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=qp-89JSbH7c

[6] Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=BLfAyNy1ouo

[7] Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=VPzR1Le6iGQ

[8] Rujuk: https://medium.com/%40hassanradwan51/how-to-create-a-new-religion-7f5cad530f40

[9] Rujuk: https://www.facebook.com/share/p/1AB8ouUfdH/

[10] Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=B_l4PB37URo

[11] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1994), hlmn. 165-166.

[12] Al-Mausu’ah al-Quraniyyah al-Mutakhassisah, (Kaherah: Majlis al-A’la Li al-Syuun al-Islamiyyah, 2002), jld. 1, hlmn. 253.

أن يقف على العلوم الواجب توافرها فيمن يتصدى لتفسير القرآن، وهى خمسة عشر علما، على النحو التالى: (28)

1 - علم ‌اللغة؛ ‌لأن ‌بها ‌يعرف ‌شرح ‌مفردات ‌الألفاظ ومدلولاتها، بحسب الوضع.

2 - النحو، لأن المعنى يتغير ويختلف باختلاف الإعراب.

3 - التصريف، لأن به تعرف الأبنية والصّيغ، فكلمة (وجد) مثلا كلمة مبهمة، فإذا صرفناها اتضحت بمصدرها.

4 - الاشتقاق، لأن الاسم إذا كان اشتقاقه من مادتين مختلفتين اختلف باختلافهما، كالمسيح، هل هو من السياحة أم من المسح؟

5، 6، 7 - علوم البلاغة الثلاثة، «المعانى

والبيان والبديع» لأنه يعرف بالأول خواص تراكيب الكلام من جهة إفادتها المعنى، وبالثانى خواصها من حيث اختلافها بحسب وضوح الدلالة وخفائها، وبالثالث وجوه تحسين الكلام، ولأن إعجاز القرآن البلاغى لا يدرك إلا بهذه العلوم.

8 - علم القراءات، لأن به يعرف كيفية النطق بالقرآن، وبالقراءات يترجح بعض الوجوه المحتملة على بعض.

9 - علم أصول الدين، ليعلم ما يجب لله- تعالى- وما يستحيل عليه، وما يجوز فى حقه، وكذلك بالنسبة للأنبياء، ما يجب لهم، وما يستحيل عليهم وما يجوز فى حقهم.

10 - أصول الفقه، إذ به يعرف وجه الاستدلال على الأحكام والاستنباط.

11 - أسباب النزول، والقصص، لأن بعض الآيات لا يمكن فهمها إلا به.

12 - الناسخ والمنسوخ، ليعلم المحكم من غيره.

13 - الفقه.

14 - الأحاديث المبينة للمجمل والمبهم.

15 - علم الموهبة، وهو علم يورثه الله- تعالى- لمن عمل بما علم.

[13] Nuruddin Muhammad ‘Itr, Ulum al-Quran al-Karim, (Damsyik: Matba’ah Sobah, 1993), hlmn. 95.