
SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang keadilan. Kita semua tahu bahawa Allah SWT itu Maha Adil. Contoh macam saya mengulangkaji pelajaran, saya usaha menghafal dan fokus dalam kelas. Saya tak ponteng. Tetapi apabila masa peperiksaan, ada soalan yang saya tidak dapat jawab. Saya lihat kawan saya pula, dia jarang masuk kelas dan dalam kelas pun dia selalu bermain, tapi akhirnya keputusan peperiksaan dia cemerlang. Saya tertanya-tanya, adakah saya ada buat salah dengan Allah SWT? Setiap hari saya cuba hilangkan dalam fikiran saya bahawa Allah SWT itu tidak adil namun tidak boleh. Saya harap tuan boleh jelaskan kepada saya tentang keadilan Allah SWT. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Allah SWT Maha Adil. Namun, kita tidak boleh menilai keadilan tersebut dengan sudut pandang kita yang sempit. Sebaliknya kita perlu memahami bahawa Allah SWT melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan sebagai seorang yang beriman kita perlu menerimanya apa jua takdir Allah SWT. Sesungguhnya apa yang ditakdirkan itu adalah yang terbaik untuk kita.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu memperbetulkan terlebih dahulu pemahaman tentang konsep keadilan Allah SWT.
Pertama, manusia adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan hamba-Nya. Allah SWT berkuasa dan berhak melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan tidak dipersoalkan kenapa Dia melakukannya kerana Allah SWT adalah tuhan sekelian alam. Firman Allah SWT:
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ ﴿٢٣﴾
Maksudnya: (Allah SWT) tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
(Surah al-Anbiya’: 23)
Kedua, Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai tempat ujian bagi manusia untuk menilai siapakah yang paling baik amalannya. Justeru itu, bukanlah suatu perkara yang ganjil di dunia ini jika Allah SWT menguji seseorang yang beriman dengan kemiskinan sedangkan dalam masa yang sama memberikan nikmat kekayaan kepada seseorang yang kafir dan banyak bermaksiat. Di samping itu, kemiskinan yang dihadapi oleh orang yang beriman itu bukanlah tanda Allah SWT tidak suka kepadanya, begitu juga kekayaan orang kafir itu bukanlah tanda Allah SWT redha kepadanya. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi orang yang beriman dan ia tiada nilai di sisi Allah SAW. Sabda Nabi SAW:
لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّه جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْها شَرْبَةَ مَاءٍ
Maksudnya: Jika dunia ini mempunyai nilai di sisi Allah SWT sebesar sayap nyamuk, maka sudah tentu orang kafir tidak akan dapat meneguk daripadanya setitis air pun.
(Riwayat al-Tirmidzi)
Ketiga, rezeki merupakan takdir yang telah ditentukan Allah SWT. Dia memberi rezeki dan mengkhususkan rahmat-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Allah SWT memberikan rezeki kepada manusia dalam pelbagai bentuk, antaranya dengan bentuk nikmat harta, kesihatan, masa lapang, ibu bapa yang baik, anak-anak yang soleh dan lain-lain. Imam al-Tahawi menyebutkan dalam kitabnya, al-Aqidah al-Tahawiyyah:
فَوَيْلٌ لِمَنْ صَارَ الله تعالى في القَدَرِ خَصِيمًا ، وأحضر للنظر فيه قلبا سَقِيمًا، لَقَدْ الْتَمَسَ بِوَهْمِهِ فِي محض الغَيْبِ سِرًّا كَتِيمًا، وَعَادَ بِمَا قَالَ فِيهِ أَفَّاكَا أَثِيمًا.
Maksudnya: Celakalah bagi mereka yang menentang (tidak percaya) ketentuan qadar serta mengkajinya dengan hati yang sakit, lantas dengan itu dia mencari-cari rahsia yang Allah sembunyikan dan akhirnya dia hanya mendapat hasil pendustaan dan dosa (yang banyak).[1]
Oleh itu, kita tidak boleh menilainya dengan sudut pandang kita yang sempit semata-mata, tetapi hendaklah menghayatinya daripada perspektif yang lebih luas.
Kesimpulan
Sebagai seorang yang beriman kita dituntut untuk berusaha melakukan apa yang terbaik dalam kehidupan. Setiap usaha yang baik akan diganjarkan pahala oleh Allah SWT. Kemudian, kita hendaklah redha dengan apa jua ketentuan kerana ia merupakan takdir yang telah ditetapkan Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Begitu ajaib keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya segala perkara baginya adalah baik dan sifat itu tiada pada sesiapa kecuali hanya pada orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.
(Riwayat Muslim)
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Tahawi, Abu Ja’far, al-Aqidah al-Tahawiyyah, (Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor: 2017), 84.