Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #305 : MANDI WAJIB SELEPAS SUBUH SEMASA BULAN PUASA

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 305 (28 JUN 2016 M / 23 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Salam ustaz. Salam Ramadhan dan selamat berpuasa. Saya ada soalan nak bertanya kepada ustaz. Apakah hukum kita melewat-lewatkan mandi wajib (mandi selepas azan subuh untuk tunaikan solat subuh) selepas bersama dgn isteri pada malam hari bulan Ramadan? Adakah sah puasanya kerana kita mandi wajib selepas azan subuh? Mohon penjelasan drpd ustaz. Terima kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Melewat-lewatkan mandi janabah selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu.

Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar dan dalilnya seperti yang disebut dalam kitab Bulugh al-Maram, daripada Saidatina Aisyah R.anha:

أَنَّ اَلنَّبِيَّ - صلى اللّه عليه وسلم -كَانَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ جِمَاعٍ, ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub akibat jima’ (pada malamnya), lalu Baginda mandi (wajib) dan (meneruskan) berpuasa.

Hadis Muttafaqun ‘alaih

Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh. Ini pendapat majoriti ulama.

Rujuk al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (6/307-308)

Wallahua'lam.