Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #433 : HUKUM BADAL HAJI

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 433 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Apakah hukumnya dalam Islam mengerjakan badal haji untuk orang yang sihat dan berkemanpuan dari segi fizikalnya lalu meninggal dunia?

 

JAWAPAN:

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

 

Merujuk kepada soalan saudara hukum mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan badal haji (upah haji).

Hukumnya diharuskan oleh Syarak menurut jumhur fuqaha berdasarkan hadith daripada Nabi ﷺ:

- حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِي بِشْرٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ -رضي الله عنهما-: "أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ".
Maksudnya: Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA : Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah ﷺ dan berkata: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?”. Jawab Baginda : “Ya,tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?”. Jawabnya : “Ya”. Sabda Baginda : “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.

Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan An-Nasaie

Hadith di atas menjelaskan boleh melaksanakan haji bagi pihak yang telah meninggal dunia walaupun tidak diwasiatkan olehnya untuk berbuat demikian. Nabi juga membuat perbandingan antara orang yang melunaskan haji yang belum dikerjakan sama melunaskan hutang yang belum dibayar oleh seseorang yang meninggal dunia.
Badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya lalu melaksanakan haji untuk orang lain sama ada seseorang yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji ke tanah suci, sama ada dengan upah atau tidak.

Syarat Badal Haji Yang Sah

Walaupun syarat badal haji diharuskan tetapi hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:

  1. Tidak sah badal haji bagi yang mampu untuk melakukannya sendiri.
  2. Boleh dilakukan upah haji ini kepada mereka yang sakit tak sembuh, lumpuh atau kepada mereka yang meninggal dunia.
  3. Badal haji tidak sah kepada orang fakir kerana ketiadaan wang, ia hanya untuk orang yang lumpuh/sakit/tidak berdaya dan tak sembuh dari penyakitnya itu.
  4. Tidak harus seseorang itu melakukan badal haji kepada orang lain kecuali dia telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.
  5. Boleh bagi wanita ambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya
  6. Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.
  7. Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
  8. Tidak boleh seseorang yang diwakilkan itu, mewakilkan pula kepada orang lain dengan syarat ia diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan ia bersetuju dengan tindakan itu.
  9. Perlu diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorg yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.

Kesimpulannya, hukum mengupah haji kepada mereka yang telah meniggal dunia yang tidak sempat untuk menunaikan haji ketika hidup adalah diharuskan syarak namun terlebih afdhal waris sendiri yang melaksanakan upah haji bagi seseorang yang meninggal dengan syarat yang telah disebutkan tadi. Sekiranya tiada waris terdekat barulah boleh mengupah orang lain melaksanakannya berdasarka syarat-syarat yang disebutkan tadi.

والله أعلم وأحكم