Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 388 - HUKUM PENGGUNAAN PINGGAN MANGKUK BUATAN BONE CHINA

SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz.

Apa hukumnya memakai pinggan mangkuk yang ada perkataan 'Bone China'.

(19 SEPTEMBER 2016 M / 17 ZULHIJJAH 1437 H)

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Bone China diterjemahkan menurut Kamus Dewan sebagai tembikar cina. Komposisinya memiliki 50% debu tulang, 25% kaolin dan 25% batu Cornish. Tulang yang digunakan ialah tulang haiwan yang dipanaskan pada suhu yang tinggi. Berkenaan dengan hukum, sepakat dalam kalangan ulama penggunaan tulang daripada jenis binatang halal yang disembelih dengan betul. Namun mereka khilaf dalam penggunaan tulang binatang halal yang tidak disembelih dengan betul, ataupun bangkai. Justeru, jika diyakini syarikat berkenaan menggunakan sumber tulang yang suci, maka ia bukan najis. Jika sebaliknya, maka ia adalah najis dan tidak sesuai digunakan sebagai bekas makanan.

Kami bersetuju dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

· Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

· Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.

· Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

· Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

· Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.

Wallahua’lam.