Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #711 : APAKAH HUKUM MENJADI PERANTARA DALAM PERBUATAN RASUAH?

Soalan

Apa hukum orang yang menjadi perantara antara pemberi rasuah dan penerima rasuah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami lebarkan lagi perbincangan ini untuk dijawab, suka kami takrifkan dahulu rasuah.

Rasuah boleh ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:

  • Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  • Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  • Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
  • Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009][1]

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/220) mentakrifkan rasuah dengan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. 

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)

 

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626)

Dalam sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmizi (1337)  dan Ibn Majah (2313)

Di sini jelas bagi kita bahawa pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Namun, bagaimana pula orang yang menjadi orang tengah bagi aktiviti tersebut?

Bagi menjawab persoalan di atas, sebenarnya terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah SAW melarang perkara tersebut.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Thauban RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya”

Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068)

Kaedah fiqh juga menyatakan:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.

Jelas di sini menunjukkan yang mereka  yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, al-Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar melalui kitabnya, al-Kabair.

Kami akhiri perbincangan ini dengan menukilkan dari buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya menyebut, kesan buruk rasuah, antara lain ialah:

  • Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
  • Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran dan skil.
  • Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
  • Menghasilkan hasil kerja yang buruk.
  • Kos pengurusan akan meningkat.
  • Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
  • Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
  • Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.

Berdasarkan kepada implikasi dan bahayanya, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari rasuah. Insha Allah akan terbentuklah sebuah negara yang sifatnya Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

 

[1] Lihat portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan berikut: http://www.sprm.gov.my/index.php/pendidikan/kenali-rasuah . Diakses pada 18 Februari 2018.