Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1040: HUKUM MENJUAL TIN ARAK

ak1040

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada buat kerja sampingan dengan mengumpul tin minuman dan aluminium untuk dijual secara timbang. Semasa saya mengutip tin kadang-kadang terjumpa tin minuman arak. Bolehkah saya mengambil tin tersebut untuk dijual. Adakah haram menjual tin arak itu.

Jawapan

Muqaddimah

Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pengharaman arak

Arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Wajib sebagai umat Islam untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah S.W.T dengan firmannnya:

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah Al-Maidah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah S.W.T. (Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 5/15) Jelas sepertimana firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

(Surah Al-Maidah: 90)

Selain itu mengikut mazhab Imam Syafie arak serta minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas perkataan Rijzun memberi makna dari segi bahasa: kotor atau najis. (Fiqh Manhaji ala Mazhab Imam Syafie: 3/78).

Status Bekas Mengisi Arak

Mengambil manfaat dengan bekas mengisi arak adalah di haruskan ini berdasarkan hadis daripada Abi Sa’labah ketika bertanya Rasullullah S.A.W:

قَالَ إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمُ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمُ الْخَمْرَ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya: Telah berkata Abu Sa’labah, Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab dan mereka memasak daging (khinzir) menggunakan periuk mereka dan meminum arak di dalam gelas ‏mereka. Maka Rasullullah S.A.W berkata: Sekiranya kamu mendapati selain daripadanya (bekas makanan ahli kitab) maka gunalah. Dan sekira tidak ada selain daripadanya (bekas makanan ahli kitab) maka cucilah dengan air dan makanlah menggunakannya.

(Rujuk: Sunan Abi Daud: 3839)

Ini menggambarkan bahawa bekas yang diisi dengan arak tidak najis sekiranya dicuci dengan baik dan boleh mengambil manfaat daripadanya sekiranya tidak mendatangkan fitnah.

Cara menyucikan bekas yang diisi arak cukuplah dengan sekadar membasuhnya sekali untuk menghilangkan najisnya, dan disunatkan membasuh tiga kali. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

إِذَا اِسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلَا يَغْمِسُ يَدَهُ فِي اَلْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدَهُ

Maksudnya:  Apabila salah seorang dari kalian bangun dari tidurnya, jangan memasukkan tangan ke dalam bekas (bekas wudhu’) sehingga dia mencuci tangannya sebanyak tiga kali, ini disebabkan kalian tidak tahu di mana kedudukan tangannya (ketika tidur). (Riwayat Muslim: 278, rujuk: Bulugh al-Maram: 38)

(Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 5/112)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, hukumnya adalah diharuskan untuk tujuan jual beli dan juga boleh mengambil manfaat daripada tin minuman itu selepas ia dibersihkan. Ini kerana pengharam itu adalah pada ain arak itu sendiri dan bukan pada bekasnya.

Selain itu penjualan dan kegunaan tin minuman itu bukan bertujuan untuk pemprosesan dan perkara yang bersangkutan dengan arak. Ini kerana Nabi S.A.W melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak seperti hadis daripada Anas bin Malik sabda Nabi S.A.W:

قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ ‏

Maksudnya: Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.

(Hadis Jami’ at-Tirmidhi: 1295)

Selain itu boleh rujuk aktikel ini di laman sesawang pejabat mufti:

  • BAYAN LINNAS SIRI KE-117: HINDARI BAHAYA ARAK
  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-191: HUKUM MENGGUNAKAN BEKAS MAKANAN YANG PERNAH DILETAKKAN DAGING KHINZIR
  • AL-KAFI #703: HUKUM BEKERJA MEMETIK ANGGUR UNTUK PROSES PEMBUATAN ARAK

Wallahualam.