Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1048: NABI ILYAS AS DAN ILYASA’ AS

ILYAS ILYASA'.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan pada kami berkenaan kisah Nabi Allah Ilyas dan Ilyasa’? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ ﴿١٢٣﴾ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَلَا تَتَّقُونَ ﴿١٢٤﴾ أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ الْخَالِقِينَ ﴿١٢٥﴾ اللَّـهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ آبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ ﴿١٢٦﴾ فَكَذَّبُوهُ فَإِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ ﴿١٢٧﴾ إِلَّا عِبَادَ اللَّـهِ الْمُخْلَصِينَ ﴿١٢٨﴾ وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ ﴿١٢٩﴾ سَلَامٌ عَلَىٰ إِلْ يَاسِينَ ﴿١٣٠﴾ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣١﴾ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (123) (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. (124) "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? (125) "Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!" (126) Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa), (127) Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan). (128) Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: (129) "Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!" (130) Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (131) Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (132)

(Surah al-Saffat: 123-132)

Ulama yang mengkaji berkaitan nasab berkata, beliau ialah Ilyas bin Tasbi. Dikatakan beliau ialah: Ibn Yasin bin Finhas bin al-‘Aizar bin Harun. Dikatakan juga: Ilyas bin al-‘Azir bin al-‘Aizar bin Harun bin ‘Imran. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/393)

Daripada Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata: Ilyas ialah Idris, Israel ialah Ya’qub. Inilah juga pendapat ‘Ikrimah. Ulama lain berkata: Beliau adalah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Ibn Abbas R.A berkata: Beliau ialah anak saudara Ilyasa’. Ibn Ishaq berkata: Beliau ialah Ilyas bin Yasin bin al-‘Aizar bin Harun bin ‘Imran. (Lihat al-Kasyf wa al-Bayan, 8/158)

Para ulama’ berkata: Beliau diutuskan kepada penduduk Ba’labak (بعلبك) yang terletak di barat Damsyiq. Beliau menyeru mereka untuk menyembah Allah SWT semata-mata serta meninggalkan sembahan kepada berhala yang mereka namakannya sebagai Ba’l (بعل). (Lihat Tafsir al-Tabari, 21/95)

 

Nabi Ilyasa’ AS

Manakala berkenaan Nabi Allah Ilyasa’ AS, beliau ialah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Beliau dari keturunan Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim al-Khalil Alaihim al-Salam.

Kata Zaid bin Aslam, Ilyasa’ adalah merupakan Yusya’ bin Nun. Manakala yang lain berkata: Beliau ialah al-Yasa’ bin Akhutub bin al-‘Ajuz. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit oleh Abu Hayyan al-Andalusi, 4/178)

Allah SWT telah menyebutnya dalam al-Quran sebanyak dua kali. Firman-Nya:

وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا ۚ وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

(Surah al-An’am: 86)

Allah SWT juga berfirman di tempat lain:

وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ الْأَخْيَارِ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.

(Surah Sad: 48)

Dikatakan beliau dibesarkan oleh Nabi Ilyas AS. Beliau bersembunyi bersama dengannya di Bukit Qasiyun. Apabila Nabi Ilyas AS wafat, al-Yasa’ menggantikannya (dalam berdakwah) kepada kaumnya. Allah SWT kemudiannya memberi berita gembira kepadanya.

Diriwayatkan daripada Qatadah, daripada al-Hasan, beliau berkata: Selepas Ilyas, ialah al-Yasa’ Alaihima al-Salam. Beliau menyeru kaumnya kepada (mentauhidkan) Allah SWT, berpegang dengan manhaj dan syariat Nabi Ilyas AS, sehinggalah Allah SWT mewafatkannya. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 2/252; Tarikh al-Tabari, 1/462-464; al-Muntazam oleh Ibn al-Jauzi, 1/385)

Dikatakan: Beliau adalah anak saudara Ilyas AS. Dikatakan: Beliau bersembunyi bersama Ilyas AS di gunung untuk menghindari raja Ba’labak. Kemudian beliau pergi bersamanya ke daerah tersebut. Setelah Ilyas meninggal, maka Ilyasa’ menggantikan beliau dalam menguruskan kaumnya. Allah menjadikannya sebagai Nabi setelah Ilyas. Perkara ini disebutkan oleh Abdul Mun’im bin Idris bin Sanan dari ayahnya dari Wahb bin Munabbih, beliau berkata: Yang lain mengatakan bahawa beliau adalah al-Asbath yang tinggal di daerah Baniyas. Kemudian Ibnu Asakir menyebut bacaan orang yang membacanya Ilyasa', dengan dibaca ringan dan bertasydid (huruf 'ain). Dan ada yang membaca dengan al-Liyasa'. Ia adalah nama salah seorang Nabi. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 2/252)

Dikatakan: Sesungguhnya antara mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada al-Yasa’ ialah beliau boleh menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit sopak serta dikeringkan sungai Jordan baginya agar beliau dapat berjalan melepasinya. Ini sepertimana yang diterangkan dalam kitab-kitab Israiliyyat. Wallahua’lam. Hanya Allah SWT yang mengetahui akan kesahihan hal tersebut. (Lihat al-Jawab al-Sahih, 4/451-452)