Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1051: HUKUM SOLAT ORANG MUSAFIR MENJADI IMAM KEPADA ORANG MUKIM DAN SEBALIKNYA

ALKAFI1051

Soalan:

Assalamualaikum tuan Mufti, bolehkah seseorang yang bermusafir itu menjadi imam kepada orang yang mukim dan orang yang mukim menjadi imam kepada orang yang bermusafir ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali kita hendaklah mengetahui dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan orang bermusafir dan juga orang yang mukim. Justeru kami nukilkan definisi keduanya itu seperti yang disebutkan di dalam kitab Al-Feqh Al-Manhaji (1/187) seperti berikut:

Musafir: Musafir bererti seorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua (2) marhalah atau bersamaan 81 kilometer (KM).

Demikian juga safar (permusafiran) tersebut hendaklah menepati ciri-ciri berikut:

  • Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat.
  • Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.

Mukim: Seorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan hari keluar.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami bahagikan ia kepada dua pecahan berikut:

Pertama: Solat Orang Musafir Berimamkan Orang Yang Mukim

Dalam isu ini, adalah dibolehkan untuk seseorang yang bermusafir itu mengikuti imam yang mukim.

Sekiranya seseorang yang bermusafir itu masuk ke dalam masjid atau surau dan mendapati terdapatnya solat berjamaah yang sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjamaah tersebut meskipun dia sedang bermusafir.

Sekiranya dia dalam keadaan muwafiq iaitu mengikuti solat berjamaah dari awal solat, dan imam melakukan solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), maka hendaklah dia turut mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ ـ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا

Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam ruku’ hendaklah kamu ruku’ dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.

Riwayat Al-Bukhari (733)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: ‘’Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim ?’’ Maka jawab Ibn Abbas: ‘’Yang demikian itu adalah sunnah’’. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (2/64).

Manakala jika dia (orang musafir) itu dalam keadaan masbuq iaitu telah lewat beberapa rakaat dari imam, maka jika imam selesai memberikan salam dia hendaklah terus naik dan hendaklah menyelesaikan solat secara tamam memandangkan dia merupakan seorang musafir yang mengikut imam yang solat tamam.

Prof. Dr. Muhammad Al-Zuhaili berkata: ‘’Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh)’’.

Beliau berkata lagi: Sekiranya (orang yang bermusafir itu) mengikut imam yang bermusafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya (sama ada beliau solat secara tamam atau qasar) maka dia boleh untuk menta’liqkan niatnya (mengikat niat). Iaitu dengan cara: ‘’Sekiranya dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh) maka aku pun tamam’’.

Mengikut pendapat paling sahih ta’liqannya itu adalah sah. Maka sekiranya imam solat tamam dia pun turut solat tamam dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar. Rujuk Al-Mu’tamad fil Feqh Al-Syafi’e, Dr. Muhammad Al-Zuhaili (1/475).

Kedua: Solat Orang Mukim Berimamkan Orang Yang Musafir

Dalam isu ini terdapat sebuah riwayat yang dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada kita. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain beliau berkata:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِيَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّي إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ وَيَقُولُ ‏ يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ

Maksudnya: Aku pergi berperang bersama dengan Rasulullah S.A.W dan aku turut serta bersama baginda dalam Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah). Baginda menetap di Makkah selama 18 hari dan tidak menunaikan solat melainkan secara dua rakaat. Lalu baginda berkata penduduk negeri tersebut: “Wahai penduduk negeri (Makkah) solatlah kamu sebanyak empat rakaat, sesungguhnya kami kaum yang bermusafir’’.

Riwayat Abu Daud (1229)

Berdasarkan feqh hadis di atas, dapatlah difahami bahawa seseorang yang tidak bermusafir boleh untuk mengikut imam yang bermusafir. Namun hendaklah dia tetap menunaikan solat sebanyak empat rakaat, iaitu dengan menyempurnakan baki rakaat sesudah sahaja imam yang bermusafir itu selesai solatnya sebanyak dua rakaat (kerana melakukan qasar).

Bahkan perkara ini dianggap sebagai ijma’ oleh para ulama. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Munzir:

وأَجمَعُوا عَلَى أَنَّ المُقِيمَ إِذَا ائْتَمَّ بِالمُسَافِرِ، وَسَلَّمَ الإمَامُ رَكْعَتَين أَنَّ عَلَى المُقِيمِ إِتمَام الصَّلَاة

Maksudnya: Dan mereka (para ulama) telah berijma’ bahawa seseorang yang mukim apabila menjadi makmum kepada imam yang musafir, dan imam selesai memberi salam pada rakaat yang kedua, untuk makmum yang mukim itu menyempurnakan solat.

Rujuk Al-Ijma’, Ibn Al-Munzir (1/41)

Kesimpulan

Sebagai penutup, hukum orang musafir menjadi imam kepada orang mukim adalah dibolehkan. Demikian juga dibolehkan untuk orang yang mukim menjadi imam kepada orang musafir. Ini berdasarkan beberapa riwayat dan hujahan yang telah kami sebutkan di atas, di samping hendaklah meraikan tatacara dan syarat yang telah ditetapkan. Semoga dengan penerangan ini akan memberikan kita kefahaman yang lebih jelas dalam beragama. Ameen.