Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1242: BILAKAH WAKTU YANG TERBAIK UNTUK MASUK SOLAT BERJEMAAH MENGIKUTI IMAM YANG TELAH MEMULAKAN SOLAT?

Waktu Nak Masuk Berjemaah

 

SOALAN

Saya hadir lewat untuk solat berjemaah ketika imam sedang sujud bersama jemaah lain. Adakah saya perlu terus mengangkat takbir dan bersujud bersama imam atau menunggu imam bangun untuk rakaat seterusnya?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Salah satu syarat mengerjakan solat berjemaah ialah makmum wajib mengikuti imam dalam setiap perbuatannya di dalam solat. Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ اْلإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا، وَإِذَا قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ"، فَقُولُوا: "رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ"، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Jika dia bertakbir, maka hendaklah kamu mengikutinya bertakbir, jika dia melakukan ruku’, maka hendaklah kamu mengikutinya ruku’, jika dia bangkit (dari ruku‘), maka hendaklah kamu bangkit dan jika dia membaca: ((سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ)), maka hendaklah kamu membaca: ((رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ)) dan jika dia sujud, maka hendaklah kamu sujud mengikutinya.”

Riwayat al-Bukhari (733) dan Muslim (411)

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan panduan buat kita bagi menjawab persoalan yang telah diajukan kepada kami ini, antaranya:

إذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الصَّلَاةَ، وَالْإِمَامُ عَلَى حَالٍ فَلْيَصْنَعْ كَمَا يَصْنَعُ الْإِمَامُ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu datang untuk menunaikan solat dan imam dalam keadaan tertentu, maka laksanakalah perbuatan seperti yang sedang dilaksanakan oleh imam”

Hadith riwayat at-Tirmizi (591)

Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah menghukum sanad hadith ini lemah dan terputus, Imam asy-Syaukani Rahimahullah pula mengatakan pada hadis ini ada kelemahan tetapi mempunyai Syawahid[1] daripada hadith lain yang menguatkannya. Rujuk at-Talkhis al-Hibir (2/546), Nail al-Authar (3/182).

Sheikh al-Mubarakfuri Rahimahullah telah mensyarahkan hadith ini dengan berkata: “ ‘فَلْيَصْنَعْ كَمَا يَصْنَعُ الْإِمَامُ’ bermaksud maka ikutilah imam mengikut keadaanya ketika itu sama ada dalam keadaan berdiri atau rukuk atau selain daripadanya, dan jangan menunggu imam bangun (untuk rakaat seterusnya) sepertimana yang dilakukan oleh orang awam” Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi (3/162).

Al-Qadhi Husain al-Maghrabi Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini menjadi dalil sahnya untuk masuk solat bersama imam pada mana-mana bahagian dalam solat, bahkan disyariatkan untuk berbuat demikian yang mana arahan dalam hadith ini paling kurang ia membawa kepada hukum sunat.

Jika imam dalam keadaan sujud atau duduk, Imam asy-Syafi’e dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa hendaklah sujud atau duduk bersama imam, tetapi tidak dikira rakaat tersebut sebagai satu rakaat yang sempurna” Rujuk Badr al-Tamam Syarh Bulugh al-Maram (3/364), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/100), al-Binayah Syarh al-Hidayah (1/72)

Imam asy-Syaukani Rahimahullah telah berkata: “Pada hadith ini, disyariatkan padanya untuk mengikuti imam pada mana-mana sahaja bahagian daripada perbuatan dalam solat, tanpa membezakan sama dalam keadaan rukuk, sujud dan duduk, berdasarkan zahir hadith: وَالْإِمَامُ عَلَى حَال

Hadith ini walaupun terdapat padanya kelemahan sepertimana yang telah dikatakan oleh al-Hafiz ibn Hajar, tetapi ia mempunyai syawahid yang menguatkannya daripada riwayat Ahmad, Abu Daud, ibn Abi Syaibah, dan Sa’id bin Mansur.” Rujuk Nail al-Authar (3/182).

Hadis lain yang menguatkan hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

إِذَا سَمِعْتُمُ الإقَامَةَ، فَامْشُوا إلى الصَّلَاةِ وعلَيْكُم بالسَّكِينَةِ والوَقَارِ، ولَا تُسْرِعُوا، فَما أدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وما فَاتَكُمْ فأتِمُّوا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar iqamah, maka bersegeralah untuk menunaikan solat, dan hendaklah kamu pergi menunaikan solat dalam keadaan yang tenang, dan janganlah tergesa-gesa. Apa yang kamu sempat dengan imam, maka tunaikanlah solat tersebut bersama imam, apa yang kamu tidak sempat dengan imam, maka sempurnakanlah”

Riwayat al-Bukhari (636)

Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahwa sunat untuk masuk solat mengikuti imam dalam apa jua keadaan imam ketika itu” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/118)

Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga ada meriwayatkan sebuah hadis dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/314):

مَنْ وجَدَنِي قائِمًا أوْ رَاكِعًا أو ساجدًا فليكُنْ معِي علَى الحالِ التِي أنَا عليْهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapati aku dalam keadaan berdiri atau rukuk atau sujud, maka ikutilah aku dalam apa jua keadaan aku ketika itu”

Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Diriwayatkan hadith ini dengan sanad yang lemah dan terdapat jalan-jalan lain yang menguatkannya” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/314).

Sheikh ‘Atiyyah Salim Rahimahullah telah berkata: “Jika seseorang itu datang dan imam sedang rukuk, maka hendaklah dia mengangkat takbiratul ihram dan rukuk bersama imam, begitu jugalah keadaanya jika imam sedang sujud, duduk antara dua sujud atau duduk membaca tasyahhud yang mana dalam semua keadaan ini hendaklah masuk mengikut keadaan imam ketika itu. Janganlah berdiri menunggu imam sehingga imam bangun untuk rakaat seterusnya dan kemudian barulah mengangkat takbir untuk mengikuti imam” Rujuk Syarh Bulugh al-Maram (7/91).

Namun begitu, jika seseorang itu masuk ketika imam sudah bangun daripada rukuk atau ketika imam sujud atau duduk di antara dua sujud, atau duduk tahiyyat, maka rakaat yang dimasukinya ketika itu tidak dikira sebagai satu rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إذا جئتم إلى الصلاة ونحن سجود فاسجدوا ولا تعدوها شيئا ومن أدرك الركعة فقد أدرك الصلاة

Maksudnya:Jika kamu tiba untuk menunaikan solat, dan kami sedang sujud, maka teruslah melakukan sujud dan tidak dikira daripadanya sesuatu. Sesiapa yang memperolehi satu rakaat, maka dia memperolehi solat tersebut”

Riwayat Abu Daud (893)

Imam al-Bukhari Rahimahullah mengatakan pada sanad hadith ini terdapat seorang perawi yang bernama Yahya bin Abi Sulaiman yang merupakan munkar hadith. Syeikh Syu’aib al-Arna’outh Rahimahullah menghukum sanad hadith ini lemah. Rujuk Khair al-Kalam fi Qira’ati Khalfa al-Imam (hlm.59), Takhrij Sunan Abi Daud (2/167)

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah berkata: “Jika seseorang itu sempat rukuk bersama imam dalam keadaan yang yakin sebelum imam bangun daripada rukuk, maka dia memperolehi rakaat tersebut. Jika seseorang itu sempat bersama imam pada waktu imam melakukan i’tidal atau selepasnya, maka ikutilah imam mengikut keadaanya ketika itu” Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaazi Abi Syuja’ (1/170)

 

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa cara yang terbaik bagi seseorang yang hadir lewat untuk solat berjemaah mengikut imam adalah terus masuk ke dalam jemaah dan memulakan solat mengikut keadaan imam ketika itu, tanpa perlu menunggu untuk mengangkat takbiratul ihram apabila imam bangun pada rakaat seterusnya.

Adapun jika seseorang itu menunggu sehingga imam bangun pada rakaat seterusnya untuk mengangkat takbiratul ihram, hukumnya adalah harus, cuma ia merupakan satu perbuatan yang khilaf aula (menyalahi apa yang lebih utama daripadanya).

Jika seseorang itu masuk ke dalam jemaah ketika imam sedang berdiri atau rukuk (sempat rukuk bersama imam), maka dia memperolehi rakaat tersebut. Jika dia masuk ketika imam sudah bangun daripada rukuk, sujud, duduk antara dua sujud atau dalam keadaan duduk tahiyyat, maka rakaat tersebut tidak dikira sebagai satu rakaat yang sempurna.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

 

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1126-irsyad-al-hadith-siri-ke-107-al-mutaba-at-dan-al-syawahid?highlight=WyJzeWF3YWhpZCJd