Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1470 : HUKUM MENGUCAPKAN ALHAMDULILLAH SESUDAH BERSIN SEMASA KHUTBAH JUMAAT

 

AK1470

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah hukumnya jika seseorang itu bersin semasa khutbah Jumaat lalu dia mengucapkan alhamdulillah sesudahnya ? Adakah ia termasuk sebagai perkara yang lagha dalam khutbah Jumaat ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934)

Sekiranya kita meneliti hadis di atas, kita akan mendapati bahawa menegur orang yang bising ketika khatib sedang berkhutbah itupun menjadikan seseorang itu lagha. Sedangkan menegur kesilapan dan kesalahan di depan mata adalah termasuk dalam bab mencegah kemungkaran.

Inilah yang disebut sebagai mafhum al-muwafaqah dari lafaz hadis. Iaitu, sekiranya mencegah kemungkaran dengan menyebut: ‘’Diamlah kamu’’ semasa khutbah pun menjadikan seseorang itu lagha, maka sudah pastilah ucapan-ucapan dan bualan-bualan kosong semasa khutbah Jumaat itu menjadi lebih lagha lagi.

Secara ringkasnya, yang dimaksudkan dengan lagha di dalam hadis di atas ada tiga maksud yang kami nyatakan seperti berikut :

  • Lagha bermaksud telah terbatal fadhilat solat Jumaat.
  • Ia bererti solat Jumaatnya berubah menjadi solat zohor.

Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa bukanlah kesemua kategori ucapan semasa khutbah itu menjadikan penuturnya sebagai lagha. Ini kerana terdapat beberapa ucapan tertentu yang dibenarkan, seperti berselawat ke atas Nabi S.A.W ketika mendengar nama baginda disebut semasa khutbah. Ini kerana, seseorang yang mendengar nama Rasulullah S.A.W disebut, namun tidak berselawat ke atas baginda maka dia dianggap sebagai seorang yang bakhil. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَىَّ

Maksudnya : Orang yang bakhil itu adalah mereka yang apabila namaku disebut di sisinya, namun dia tidak berselawat ke atasku.

Riwayat Al-Tirmizi (3546)

Selain itu, mengucapkan lafaz amin ketika mendengar doa yang dibacakan oleh khatib semasa khutbah juga adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam ucapan yang lagha. Isu ini telah kami kupaskan dengan panjang lebar di dalam ruangan Al-Kafi #1123: Menyebut Amin (آمين) Ketika Khutbah Jumaat Adakah Dikira Lagha yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2rLca7E

Kami juga menambah, antara ucapan yang dibenarkan juga termasuklah mengucapkan tahmid sesudah bersin semasa khutbah serta tasymit (mengucapkan Yarhamukallah) kepada orang yang bersin. Anjuran ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya : Apabila salah seorang dari kamu bersin, hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah. Dan saudara atau sahabatnya mengatakan : Yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu). Sekiranya seseorang berkata kepadanya (orang yang bersin) ucapan Yarhamukallah, maka hendaklah dia membalasnya dengan sebutan Yahdikumullah wa yuslihu baalakum (semoga Allah memberi hidayah kepadamu serta memperelokkan urusan kamu).

Riwayat Al-Bukhari (6224)

Justeru, anjuran ini hakikatnya tidak terhad kepada waktu atau tempat tertentu sahaja. Bahkan boleh untuk mengucapkan tahmid sesudah bersin semasa khutbah sedang berlangsung dan dibolehkan untuk orang yang mendengarnya mengucapkan Yarhamukallah. Namun sekiranya orang yang bersin itu tidak mengucapkan tahmid, maka tidak perlu untuk mereka yang mendengar bersin itu untuk mendoakannya. Ini seperti yang disebutkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Burdah beliau berkata :

دَخَلْتُ عَلَى أَبِي مُوسَى وَهوَ فِي بَيْتِ بِنْتِ الْفَضْلِ بْنِ عَبَّاسٍ فَعَطَسْتُ فَلَمْ يُشَمِّتْنِي وَعَطَسَتْ فَشَمَّتَهَا فَرَجَعْتُ إِلَى أُمِّي فَأَخْبَرْتُهَا فَلَمَّا جَاءَهَا قَالَتْ عَطَسَ عِنْدَكَ ابْنِي فَلَمْ تُشَمِّتْهُ وَعَطَسَتْ فَشَمَّتَّهَا ‏.‏ فَقَالَ إِنَّ ابْنَكِ عَطَسَ فَلَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ فَلَمْ أُشَمِّتْهُ وَعَطَسَتْ فَحَمِدَتِ اللَّهَ فَشَمَّتُّهَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ "‏ إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتُوهُ فَإِنْ لَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ فَلاَ تُشَمِّتُوهُ

Maksudnya : Aku pada suatu hari bertemu dengan Abu Musa (Al-‘Asy’ari) dan beliau pada ketika itu berada di dalam rumah anak perempuan kepada Al-Fadhl Ibn Abbas. Lalu aku bersin namun beliau tidak bertasymit (mengucapkan yarhamukallah) kepadaku. Kemudian anak perempuan Al-Fadhl bersin dan beliau (Abu Musa) mentasymitkan beliau. Lalu aku pun kembali kepada ibuku dan memberitahu kepadanya. Maka apabila Abu Musa kembali lalu ibuku bertanya kepadanya : ‘’Anak lelaki ku bersin di sisimu namun kau tidak bertasymit kepadanya namun anak perempuan Al-Fadhl bersin dan kamu bertasymit kepadanya’’. Maka kata Abu Musa : ‘’Sesungguhnya anak kamu bersin namun tidak mengucapkan tahmid lalu aku pun tidak mentasymitkannya. Manakala dia (anak perempuan Al-Fadhl) bersin, kemudian beliau bertahmid maka aku pun mentasymitkannya. Ini kerana aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : ‘’Apabila salah seorang kamu bersin lalu dia memuji Allah maka hendaklah kamu bertasymit kepadanya. Sekiranya dia tidak bertahmid maka tidak perlulah kamu bertasymit kepadanya’’.

Riwayat Muslim (2992)

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum mengucapkan alhamdulillah sesudah bersin ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung adalah dibolehkan. Demikian juga kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang mendengarnya mengucapkan tasymit iaitu sebutan Yarhamukallah kepadanya pada ketika itu. Namun, hendaklah ucapan-ucapan sebegini dilakukan secara perlahan supaya ia tidak mengganggu tumpuan para jemaah yang lain.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.