Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1591 : ADAKAH CECAIR KEKUNINGAN DIANGGGAP HAID ?

 

yellow

Soalan
Saya mengalami haid bermula darah   kekuningan  yang sangat sedikit ( 3-6 hari). dan kadang-kadang  ada hari tidak keluar . Seterusnya diiikuti darah merah yang banyak kemudian berkurang sehingga habis (5-6) hari. Sebelum ini bermula darah merah selama 9-10 hari. Persoalannya, Adakah warna kekuningan yang hanya 2-3 titis tidak  berterusan  itu dikira awal permulaan haid?. Hal tersebut berulang pada bulan seterusnya.

Jawapan

Haid  dari segi istilah syarak ialah  darah  tabi’i yang keluar daripada  pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. Kebiasaan warna darah ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh  seperti tanah atau air kotor dan berbau [al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ]. Pendapat yang paling sahih dalam kalangan fuqaha Syafie ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid [Rujuk Minhaj al-Thalibin (88)].  Berikut  riwayat  berkaitan warna darah haid :

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

Riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Rujuk juga al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/389) oleh Imam al-Nawawi

Sementara, warna kekuning atau keruh yang didapati bukan dalam tempoh haid atau selepas maksimum haid atau pada tempoh suci  tidak dianggap haid. Ini berdasarkan  hadis Ummu A’thiyah:

كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا

Maksudnya: Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan  yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid

Hadis Bukhari (362)

Majoriti fuqaha memberi makna hadis tersebut ialah  warna kuning dan keruh dianggap haid hanya  khusus pada tempoh haid  [Rujuk Sharh Sahih Bukhari Li Ibn Battaal 1: (456)]

Panduan untuk mengetahui tempoh haid bermula ialah setelah mengalami sekurang-kurang tempoh suci 15 hari.  Informasi lebih lanjut berkaitan tempoh haid, sila rujuk artikel kami pada ruangan  AL-KAFI # 1476 :  TEMPOH   SUCI ANTARA  DUA HAID 

Seterusnya,  darah yang keluar daripada rahim itu terputus-putus akan dianggap sebagai darah haid  dengan syarat darah itu keluar mencukupi  24 jam selama masih pada tempoh sepanjang-panjang haid ialah  15 hari [Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139)].  Ini bermakna, cecair kekuningan atau keruh, mahupun warna darah merah yang tidak mencukupi syarat 24 jam, maka ia tidak dihukumkan darah haid. Atau dengan kata lain darah kurang 24 jam ialah darah istihadah atau darah fasad  (rosak).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, warna cecair kekuningan  yang keluar hanya titis-titisan dan terputus pada hari seterusnya adalah dianggap darah haid sekiranya keluar pada tempoh haid dan mencukupi atau lebih 24 jam  selama masih pada tempoh  15 hari. Tambahan pula, titisan warna  cecair kekuningan dianggap awal permulaan haid kerana selepasnya disusuli warna  merah yang sememangnya warna darah.  Sementara darah yang tidak keluar (naqo’) atau  terputus selepas titisan kuning termasuk dalam fatrah haid (waktu haid).

Jadual berikut bagi situasi wanita tersebut (penanya) mengalami haid terputus-putus  serta warna haidnya  cecair kekuningan :

HARI

WARNA DARAH

       Hukum

1  -2

Kuning

Darah  yang keluar terputus-putus sekiranya keluar dalam waktu haid  menepati syarat 24 jam atau lebih dan digabungkan  sepanjang hari - hari fatrah haid (tempoh 15 hari) adalah darah haid

3

-      ( naqo’)

4-6

Kuning

7-10

Merah

Tuntasnya, mengenalpasti warna-warna darah haid  sangat penting  kerana melibatkan perkara yang   dilarang  bagi wanita  haid  untuk  melaksanakan ibadah seperti   solat, puasa, iktikaf, tawaf,  menyentuh dan  membaca al-Quran. Akhir kata, semoga panduan tersebut dapat memberi manfaat kepada semua. Ameen


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+