Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1833: HUKUM BERKAITAN PRE-ORDER YANG TIDAK DITENTUKAN HARGANYA SECARA SPESIFIK

pre order

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Apakah hukum pre-order barang yang tidak ditentukan harganya secara spesifik? Contohnya bayaran tempahan sebanyak RM500 bagi pembelian Proton X50 yang pernah berlaku tahun sebelum-sebelum ini dan promosi-promosi lain yang gambarannya lebih kurang.

 

Ringkasan Jawapan

Hukum tempahan beserta bayarannya adalah sah dan dibenarkan kerana bayaran tempahan dilihat menyamai konsep janji bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen semata-mata, ia bukanlah suatu akad jual beli yang perlu menepati rukun dan syarat jual beli.

Namun, digalakkan kepada penjual untuk menyatakan harga siling ketika proses tempahan dibuka dan menawarkan rebat setelah pelanggan tersebut memeterai akad jual beli tersebut. Proses sebegini lebih memberi keadilan kepada kedua-dua belah pihak di samping menghilangkan unsur ketidakjelasan dalam segenap aspek.

 

Huraian Jawapan

Asasnya, setiap transaksi dan jual beli yang berlaku mestilah menepati rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Syariah. Rukun-rukun jual beli perlu mempunyai elemen seperti berikut:

  • Pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
  • Sighah Akad (Ijab dan Qabul)
  • Barang jualan dan harganya

(Rujuk: al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 3/15)

Melihat secara ringkas situasi di atas, bayaran tempahan bagi pembelian Proton X50 yang tidak ditentukan harganya dilihat seperti tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli.

Namun begitu, kami berpandangan ‘bayaran tempahan’ mempunyai dua pertimbangan. Pertamanya, boleh dianggap sebagai Bai’ al-‘Urbun. Keduanya, Hamisy Jiddiyyah.

Penelitian terhadap perbezaan kedua-duanya memberi kesan kepada sesuatu urusan kerana syarat dan rukun hanya terpakai dalam sesuatu perkara yang melibatkan urusan akad jual beli. Adapun, janji dan pernyataan ‘hasrat ingin membeli’ diletakkan khusus di bawah perbahasan al-Wa’ad (Janji).

 

Perbezaan Urbun Vs Hamish Jiddiyyah

Sesetengah ilmuwan menganggap kedua-dua istilah di atas sebagai satu hakikat yang sama. Namun sebahagian yang lain menyebutkan bahawa terdapat perbezaan halus antara kedua-duanya sehingga menatijahkan implikasi hukum yang berbeza.

Bank Negara Malaysia menyebut Bai’ al-‘Urbun merupakan wang pendahuluan (earnest money) yang dibayar kepada penjual sebagai jaminan pembelian sesuatu aset. Wang pendahuluan ini boleh menjadi sebahagian daripada bayaran sekiranya jual beli tersebut diteruskan. Sebaliknya, jika jual beli tidak diteruskan, wang pendahuluan tersebut menjadi hak milik penjual dan tidak boleh dituntut.

Manakala Hamish Jiddiyah adalah sejumlah wang yang dibayar kepada penjual bagi menunjukkan kesunguhan pelanggan untuk membeli sesuatu aset sebelum transaksi sebenar termeterai. Ia juga digelar sebagai ‘security deposit’. Sekiranya pelanggan berhasrat untuk membatalkan pembelian, penjual boleh menggunakan wang tersebut untuk menampung kos kerugian sebenar yang ditanggung dan memulangkan bakinya kepada pelanggan.

(Rujuk: BNM/RH/PD 028-2)

Berdasarkan kedua-dua definisi di atas, terdapat dua perbezaan ketara di antara kedua-dua istilah tersebut :

Pertama: Wang Urbun menjadi hak milik penjual sepenuhnya sekiranya pelanggan tidak berhasrat ingin menyempurnakan sesuatu jual beli. Manakala wang Hamisy Jiddiyyah boleh dipulangkan semula kepada pembeli selepas ditolak kos kerugian yang ditanggung penjual.

Kedua: Urbun merupakan salah satu bentuk akad jual beli yang dikenali sebagai Bai’ al-‘Urbun, sedangkan Hamisy Jiddiyyah merupakan pernyataan kesungguhan dan janji semata-mata dan bukanlah akad jual beli.

 

Wa’d VS Akad

Menurut pengarang kitab ‘Umdah al-Qari (11/174), al-Wa’d atau janji merupakan suatu perkhabaran yang dibuat oleh satu pihak kepada pihak yang lain untuk melaksanakan sesuatu perkara pada masa akan datang.

Dalam perbincangan para ulama, akad (kontrak) dan janji sebelah pihak (unilateral wa’d) mempunyai perbezaan yang agak ketara. Alasannya, janji sebelah pihak hanya menyebabkan satu pihak iaitu orang yang berjanji sahaja yang perlu mengotakan janji tersebut. Tambahan pula, sepanjang proses berjanji, kontrak jual beli masih belum terlaksana dan tidak berlaku sebarang penyerahan barangan. Kontrak yang sebenar hanya akan terlaksana pada suatu masa yang dipersetujui dengan berlakunya ijab dan qabul.

Dalam erti kata lain, janji yang dibuat tidak lebih sekadar pernyataan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan pelanggan kepada penjual sedangkan akad jual beli masih belum terbentuk semasa janji tersebut diungkapkan. Bank Negara Malaysia melalui polisi dokumen Wa’d, mengguna pakai pandangan ini melalui klausa 9.1:

Wa'd is a unilateral promise and it is not a contract

Maksudnya: “Wa’d (janji) merupakan janji sebelah pihak dan ia bukanlah suatu kontrak”.

 

Penelitian Isu

Berdasarkan takrifan di atas, hamisy jiddiyyah mempunyai gambaran al-wa’d seperti yang dibincangkan oleh para ulama. Hal ini kerana pre-order merupkan salah satu bentuk manifestasi janji yang dianggap sebagai salah satu proses permulaan sebelum sesuatu jual beli benar-benar termeterai.

Selain itu, walaupun harga kereta Proton X50 tersebut tidak disebutkan secara spesifik, ia tidaklah mencacatkan proses pre-order yang telah dibuat walaupun disyaratkan bayaran sebanyak RM500. Hal ini kerana perbincangan pre-order perlu dikaitkan sesuai dengan sifat semula jadinya iaitu sebagai sebuah janji, bukanlah sebuah akad yang perlu menepati rukun dan syarat jual beli seperti menyebutkan harga yang spesifik dan sebagainya.

Kami berpandangan pre-order dalam kes di atas lebih tepat dikaitkan dengan konsep hamisy jiddiyyah berbanding Bai’ al-‘Urbun. Jadi, sekiranya pelanggan yang telah berdaftar dan membayar duit komitmen tersebut membatalkan hasrat di kemudian hari, secara asalnya pihak syarikat Proton berhak mengambil duit tersebut bagi menampung kerugian sebenar yang berlaku. Adapun, sekiranya pihak syarikat Proton sendiri melalui terma dan kondisinya (T&C) memberi jaminan pemulangan 100% duit komitmen, maka ia tidak menjadi masalah kerana itu merupakan hak milik penuh mereka.[1]

Akhir kata, umat Islam sewajarnya mempunyai ilmu dan info yang cukup berkenaan halal dan haram bagi sesuatu produk sebelum terlibat dengan sebarang transaksi jual beli bagi mengelakkan terlibat dengan perkara yang dilarang oleh Syarak bahkan terjerumus dalam penindasan dan eksploitasi.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk laman web: https://paultan.org/2020/10/03/proton-x50-20k-bookings/