Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1877: HUKUM BERHIAS BAGI WANITA YANG BEKERJA KETIKA DALAM IDDAH KEMATIAN SUAMI

ALKAFI 1877

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya jika isteri yang kematian suami perlu keluar bekerja, adakah saya hanya boleh memakai pakaian berwarna hitam atau gelap sahaja? Sebabnya baju warna yang gelap atau jubah hitam tidak banyak, dan ada juga jubah hitam tetapi bermanik. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Isteri yang kematian suami wajib berkabung dengan meninggalkan segala pakaian atau perhiasan yang boleh menarik perhatian sepanjang tempoh ‘iddah. Pakaian gelap atau berwarna hitam tanpa dihiasi dengan perhiasan tambahan yang lain seperti manik adalah lebih menepati syarat berkabung. Walau bagaimanapun apa-apa pakaian berwarna, selagi pakaian tersebut tidak bertujuan untuk berhias dan tidak terlampau terang warnanya pada adat kebiasaan masyarakat setempat, maka ia dibolehkan.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Allah SWT telah menetapkan tempoh ‘iddah bagi wanita yang kematian suami selama empat bulan sepuluh hari yang jelas dinyatakan dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Hikmah disyariatkan ‘iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari adalah bertujuan untuk memastikan agar tiada unsur-unsur yang boleh menggalakkan mana-mana lelaki tergoda dengan wanita dalam tempoh iddah sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina. Ini kerana wanita yang berada di dalam tempoh iddah tidak dibenarkan berkahwin yang mana untuk memastikan tiada percampuran nasab anak kerana dalam tempoh tersebut memungkinkan anita hamil hasil dari hubungan bekas suaminya. Oleh sebab itu, lelaki ajnabi diharamkan untuk berkahwin dengan wanita dalam ‘iddah kematian suami.[1]

Kewajipan Berkabung

Isteri yang kematian suami diwajibkan berkabung (ihdad) sepanjang tempoh ‘iddah. Ihdad dari sudut bahasa yang membawa maksud larangan ialah meninggalkan sebarang pakaian, perhiasan, wangian, solekan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian lelaki kepadanya[2]. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah:

لَا تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ، أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا، إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ، وَلَا تَكْتَحِلُ، وَلَا تَمَسُّ طِيبًا، إِلَّا إِذَا طَهُرَتْ، نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Maksudnya: Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian).

Riwayat Muslim (938)[3]

Walau bagaimanapun, kebersihan dan penjagaan diri seperti memotong kuku, menggunakan sabun untuk kebersihan diri dan pakaian tidak termasuk dalam larangan ini bahkan ia merupakan satu keperluan diri yang asas.

Imam al-Ramli menjelaskan maksud mengelakkan pakaian yang berwarna ialah pakaian yang bertujuan untuk berhias dan boleh menarik perhatian terutamanya mu’asfar iaitu pakaian yang dicelup dengan warna merah. Hal ini demikian kerana wanita yang berkabung hendaklah memakai pakaian yang tidak terlalu terang berkilauan warnanya dan bukan bertujuan untuk berhias seperti warna biru, hijau, hitam dan sebagainya sehingga boleh menyebabkan lelaki ajnabi tertarik padanya dalam tempoh ‘iddah. [4]

Oleh yang demikian, selagi pakaian itu berwarna gelap dan tidak menarik perhatian, maka diharuskan bagi wanita dalam ‘iddah kematian suami untuk memakainya. Larangan ini juga termasuklah segala jenis perhiasan tambahan lain yang menarik perhatian seperti memakai wangian, solekan dan manik-manik yang berada di pakaian tersebut.

Wallahu a’lam.

 

[1]Al-Ramli, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 7/145.

 وَلِأَنَّ الْقَصْدَ بِهَا التَّفَجُّعُ، وَالْحِكْمَةُ فِي ذَلِكَ أَنَّ الْأَرْبَعَةَ بِهَا يَتَحَرَّكُ الْحَمْلُ وَيُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ وَذَلِكَ يَسْتَدْعِي ظُهُورَ حَمْلٍ إنْ كَانَ وَزِيدَتْ الْعَشَرَةُ اسْتِظْهَارًا وَلِأَنَّ النِّسَاءَ لَا يَصْبِرْنَ عَنْ الزَّوْجِ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَجُعِلَتْ مُدَّةَ تَفَجُّعِهِنَّ

[2] Muhammad al-Zuhailiy. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. (Damsyik: Dar al-Qalam, 2015). Cetakan kelima. 4/285

إحداد الزوجة : وهو متعلق بالزوجة المتوفى عنها زوجها. تعريفه: هو الامتناع عن الزينة من لباس وحلي وطيب وكحل وغيرها إذا كان يبعث على شهوة الرجال لها ، وسمي إحداداً لما فيه من الامتناع ، ويسمى : حداداً أيضاً ، وهي حاد ، والحداد في البدن ، ولا يشمل الأثاث والفرش والتنظيف والامتشاط وقلم الأظفار والاستحداد ودخول الحمام ، وإزالة الأوساخ ، لأن ذلك ليس زينة ، بل هو تنظيف ، وكذلك لا يحرم عليها الكلام ، وحكمه أثناء العدة كحكمه خارج العدة سواء.

[3] Muslim bin al-Hajaj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi) 2/1127. No Hadis (938).

[4] Ibid. Al-Ramli. 7/149-150.

وَذَكَرَ الْمُعَصْفَرَ وَالْمَصْبُوغَ بِالْمَغْرَةِ بِفَتْحِ أَوَّلِهِ فِي رِوَايَةٍ مِنْ بَابِ ذِكْرِ بَعْضِ أَفْرَادِ الْعَامِّ عَلَى أَنَّهُ لِبَيَانِ أَنَّ الصَّبْغَ لَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ لِزِينَةٍ ... (وَ) يُبَاحُ (مَصْبُوغٌ لَا يُقْصَدُ لِزِينَةٍ) أَصْلًا بَلْ لِنَحْوِ احْتِمَالِ وَسَخٍ أَوْ مُصِيبَةٍ كَأَسْوَدَ وَمَا يَقْرُبُ مِنْهُ كَالْأَخْضَرِ الْمُشَبَّعِ وَالْكُحْلِيِّ وَمَا يَقْرُبُ مِنْهُ كَالْأَزْرَقِ الْمُشَبَّعِ. وَلَا يَرِدُ عَلَى كَلَامِهِ مَصْبُوغٌ تَرَدَّدَ بَيْنَ الزِّينَةِ وَغَيْرِهَا لِأَنَّ فِيهِ تَفْصِيلًا، وَهُوَ أَنَّهُ إنْ كَانَ لَوْنُهُ بَرَّاقًا حُرِّمَ


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+