Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2028: ADAKAH LAFAZ TAKLIK TALAK MASIH KEKAL WALAUPUN DAH BERLAKU

ADAKAH_LAFAZ_TAKLIK_TALAK_MASIH_KEKAL_WALAUPUN_DAH_BERLAKU.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada soalan, jika suami melafazkan taklik kepada isterinya contoh macam ni “kalau kamu keluar rumah tanpa izin, maka jatuh talak”. Selepas itu, isteri keluar rumah tanpa izin dan berlaku talak kemudian suami dan isteri rujuk semula, adakah taklik itu masih valid? Mohon penjelasan tentang ini.

RINGKASAN JAWAPAN

Menurut mazhab Syafi‘i, jatuh talak apabila berlaku perkara yang ditaklikkan untuk kali pertama sahaja. Sekiranya suami isteri tersebut rujuk semula dalam tempoh iddah, kemudian berlaku perkara yang ditaklikkan lagi, maka tidak jatuh talak kedua.

Walau bagaimanapun, sekiranya suami melafazkan taklik dengan menyebut apa-apa perkataan yang membawa maksud pengulangan, maka jatuh talak setiap kali perkara ditaklikkan itu berlaku selama mana dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Taklik ialah perbuatan suami yang menggantungkan lafaz talak kepada isterinya berdasarkan suatu sifat, syarat, atau perbuatan, sama ada yang dilakukan oleh isteri atau orang lain.[1]

Berdasarkan soalan yang diajukan, jatuh talak apabila berlaku perkara yang ditaklikkan untuk kali pertama sahaja. Sekiranya suami isteri tersebut rujuk semula dalam tempoh iddah, maka taklik yang dah berlaku tersebut tidak sah lagi. Hal ini berdasarkan kenyataan berikut:

(وَ) الْأَدَوَاتُ الْمَذْكُورَةُ (لَا) تَقْتَضِي أَيْضًا بِالْوَضْعِ (تَكْرَارًا) فِي الْمُعَلَّقِ عَلَيْهِ، بَلْ إذَا وُجِدَ مَرَّةً وَاحِدَةً فِي غَيْرِ نِسْيَانٍ وَلَا إكْرَاهٍ انْحَلَّتْ الْيَمِينُ وَلَمْ يُؤَثِّرْ وُجُودُهَا ثَانِيًا[2]

Maksudnya: Perkataan-perkataan yang disebutkan (yang digunakan sebagai syarat seperti perkataan ‘jika’, ‘bila’) tidak membawa maksud pengulangan pada perkara yang ditaklikkan. Sebaliknya, jika berlaku satu kali saja bukan disebabkan lupa dan tanpa paksaan, maka sumpah (taklik) itu terlerai dan tidak memberi apa-apa kesan sekiranya berlaku kali kedua.

Walau bagaimanapun sekiranya suami melafazkan taklik dengan menyebut apa-apa perkataan yang membawa maksud pengulangan seperti ‘setiap kali’, maka jatuh talak setiap kali perkara ditaklikkan itu berlaku.[3]

Wallahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992). 4/134

ومعنى تعليق الطلاق: أن يعلّق الزوج وقوع الطلاق على حدوث صفة، أو شرط، سواء مما قد تتلبس به الزوجة أو غيرها، كتعليقه طلاقها على قدوم غائب، أو على تصرّف معين قد تقوم به الزوجة أو غيرها.

[2] Al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1994). 4/509

[3] Ibid.

تَنْبِيهٌ: شَمِلَ إطْلَاقُ الْمُصَنِّفِ مَا لَوْ قَيَّدَ بِالْأَبَدِ كَقَوْلِهِ: خَرَجْت أَبَدَ الْآبِدِينَ فَأَنْتِ طَالِقٌ، وَبِهِ صَرَّحَ الرَّافِعِيُّ فِي كِتَابِ الْأَيْمَانِ وَقَالَ: لَمْ يَلْزَمْهُ التَّكْرَارُ أَيْضًا، بَلْ مَعْنَاهُ فِي أَيِّ وَقْتٍ (إلَّا) فِي (كُلَّمَا) فَإِنَّ التَّعْلِيقَ بِهَا يَقْتَضِي التَّكْرَارَ فِي الْمُعَلَّقِ عَلَيْهِ بِالْوَضْعِ وَالِاسْتِعْمَالِ،