Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2032: ADAKAH TERBATAL TAKLIK TALAK JIKA PERNAH BERCERAI DAN RUJUK SEMULA

ADAKAH_TERBATAL_TAKLIK_TALAK_JIKA_PERNAH_BERCERAI_DAN_RUJUK_SEMULA.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, suami saya pernah ceraikan saya talak satu tetapi kami rujuk semula sebulan kemudian dalam tempoh iddah. Kiranya kami dah berbaik semula dan anggap kosong-kosong apa yang dah berlaku sebelum tu. Sepanjang tempoh perkahwinan sebelum saya diceraikan tu, suami ada cakap kalau saya contact seorang kawan ni, jatuh talak kat saya. Tapi saya contact selepas kami dah janji taknak ungkit balik benda-benda lepas. Adakah jatuh talak kat saya?

RINGKASAN JAWAPAN

Menurut mazhab Syafi‘i, taklik akan terbatal sekiranya perkahwinan yang dilafazkan taklik itu terbubar sama ada dengan lafaz talak tanpa ada rujuk sepanjang dalam iddah, berlaku fasakh atau khuluk. Berdasarkan soalan yang diajukan, taklik yang pernah dilafazkan oleh suami masih lagi kekal dan sah kerana suami merujuk isterinya dalam tempoh iddah talak raj‘ie. Oleh itu, jatuh talak ke atas isteri apabila melakukan perkara yang dilarang suami dalam takliknya.

Dinasihatkan apabila suami isteri bercerai secara lafaz talak atau taklik serta berlaku rujuk, suami isteri hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada mahkamah syariah atau pejabat agama Islam di kawasan masing-masing. Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Taklik ialah suami menggantungkan talak kepada isterinya dengan berlakunya sifat atau syarat sama ada yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.[1] Talak secara taklik dibenarkan oleh syarak berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُونَ ‌عِنْدَ ‌شُرُوطِهِمْ مَا وَافَقَ الْحَقَّ

Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan yang selari dengan kebenaran.

(Riwayat al-Hakim)[2]

Jika suami menceraikan isteri bukan disebabkan oleh lafaz takliknya kemudian berlaku rujuk dalam tempoh iddah, maka lafaz taklik masih lagi sah dan jatuh talak jika berlaku apa yang disyaratkan dalam taklik.

Taklik daripada perkahwinan terdahulu akan terbatal jika suami isteri bercerai disebabkan lafaz talak daripada suami dan bukan disebabkan berlaku taklik tetapi suami isteri tersebut tidak rujuk dalam tempoh iddah kemudian berkahwin semula dengan akad nikah yang baru. Hal ini berdasarkan kenyataan oleh Imam al-Syirbini seperti berikut::

(وَلَوْ عَلَّقَهُ) أَيْ الطَّلَاقَ (بِدُخُولِ) الدَّارِ مَثَلًا أَوْ غَيْرِهِ مِمَّا يُمْكِنُ حُصُولُهُ فِي الْبَيْنُونَةِ (فَبَانَتْ) بِطَلَاقٍ أَوْ فَسْخٍ قَبْلَ الدُّخُولِ بِهَا أَوْ بَعْدَهُ: إمَّا بِعِوَضٍ أَوْ بِالثَّلَاثِ (ثُمَّ نَكَحَهَا) أَيْ جَدَّدَ نِكَاحَهَا (ثُمَّ دَخَلَتْ لَمْ يَقَعْ) بِذَلِكَ طَلَاقٌ (إنْ) كَانَتْ (دَخَلَتْ فِي) حَالِ (الْبَيْنُونَةِ) جَزْمًا لِانْحِلَالِ الْيَمِينِ بِالدُّخُولِ فِيهَا (وَكَذَا) لَا يَقَعُ (إنْ لَمْ تَدْخُلْ) فِي الْبَيْنُونَةِ بَلْ دَخَلَتْ فِي النِّكَاحِ (فِي الْأَظْهَرِ) لِارْتِفَاعِ النِّكَاحِ الَّذِي عَلَّقَ فِيهِ[3]

Maksudnya: Dan jika suami menggantungkan talak (taklik) dengan perbuatan isteri masuk ke dalam rumah atau hal lain yang memungkinkan terjadinya perpisahan, kemudian dia berpisah disebabkan talak atau fasakh sebelum atau selepas masuk (taklik), sama ada talak dengan imbalan atau dengan tiga kali talak, kemudian suami menikahinya lagi (berkahwin semula), kemudian isteri masuk ke dalam rumah (melakukan apa yang ditaklikkan), maka tidak jatuh talak jika dia dilakukan semasa perpisahan kerana terbebas daripada sumpah taklik masuk tersebut. Begitu juga tidak terjadi perceraian jika dia tidak masuk semasa perpisahan tetapi dia masuk dalam tempoh pernikahan yang baharu di sisi pandangan yang lebih kuat kerana telah berakhirnya pernikahan yang suami taklikkan talak (perkahwinan pertama).

Menurut mazhab Syafi‘i, taklik akan terbatal sekiranya perkahwinan yang dilafazkan taklik itu terbubar sama ada dengan lafaz talak tanpa ada rujuk sepanjang dalam iddah, berlaku fasakh atau khuluk. Apabila suami isteri yang bercerai telah berkahwin semula selepas berlalu iddah, taklik yang dilafazkan dalam perkahwinan yang lepas sudah terbatal. Oleh yang demikian, jika suami isteri yang bercerai kemudian rujuk dalam tempoh iddah, taklik yang pernah disyaratkan dalam perkahwinan masih lagi sah.

Kesimpulan

Taklik yang pernah dilafazkan oleh suami sepanjang tempoh perkahwinan masih lagi kekal dan sah kerana suami merujuk isterinya dalam tempoh iddah talak raj‘ie.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji. al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992).   4:134

ومعنى تعليق الطلاق: أن يعلق الزوج وقوع الطلاق على حدوث صفة، أو شرط، سواء مما قد تتلبس به الزوجة أو غيرها، كتعليقه طلاقها على قدوم غائب، أو على تصرف معين قد تقوم به الزوجة أو غيرها.

[2] al-Hakim, Muhammad bin Abdullah. Al-Mustadrak ‘ala al-SahihaIn. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1990). 3:293. No. 2338.

[3] Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. 4/476