Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2051: HUKUM BERNAZAR TIDAK MEMOTONG RAMBUT

HUKUM_BERNAZAR_TIDAK_MEMOTONG_RAMBUT.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Bulan Januari tahun lepas, saya ada bernazar iaitu saya tidak akan memotong rambut selagi isteri saya tidak mengandung. Dan bila isteri saya mengandung, saya akan membotakkan kepala saya. Sampai sekarang masih belum ada rezeki. Rambut saya sangat panjang dan sangat menyulitkan bagi saya dalam kehidupan seharian saya. Bolehkah saya membatalkan nazar ini? Apakah saya perlu memberi makan atau memberi pakaian atau membayar atau berpuasa?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Nazar harus diamalkan sekiranya sesuatu perkara yang diniatkan itu berkaitan dengan amalan ketaatan seperti berpuasa, solat sunat dan seumpamanya. Nazar yang dilakukan pada perkara yang harus adalah tidak sah. Oleh itu, dalam hal ini jika penyoal bertindak memotong rambutnya, dia tidak perlu untuk melakukan kaffarah terhadap perbuatannya tersebut.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Nazar yang dilakukan ialah berkaitan dengan amalan-amalan sunat seperti berpuasa, solat sunat, iktikaf dan seumpamanya. Apabila seseorang bernazar sesuatu amalan ketaatan apabila dia memperoleh apa yang diinginkannya, maka dia wajib untuk menunaikannya. Hal ini berdasarkan hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

(Riwayat al-Bukhari)

Sesuatu nazar tidak dikira sah jika dinazarkan untuk melakukan perbuatan yang harus dan wajib. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Ramli bahawa:

وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، ‌والمباح ‌كأكل ‌ونوم، فلا يصح نذره

Maksudnya: Perkara yang terkeluar daripada qurbah (ibadah) ialah maksiat. Tidak sah bernazar untuk melakukan maksiat. Begitu juga tidak sah bernazarkan perbuatan yang harus seperti makan dan tidur.[1]

Oleh yang demikian, nazar untuk tidak memotong rambut sehingga isteri mengandung adalah tidak sah, maka tidak dikenakan apa-apa kaffarah jika penanya bertindak memotong rambutnya. Selain itu, dinasihatkan untuk memerhatikan kesan dan akibat sesuatu perbuatan sebelum melakukannya agar tidak membawa kesusahan pada hari yang akan datang.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Ramli, Syihabuddin, Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Rahman, (Beirut: Dar al-Minhaj, 2009), hlm. 967.