Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2055: BOLEHKAH PESAKIT SKIZOFRENIA MENGHADIAHKAN HARTANYA?

BOLEHKAH_PESAKIT_SKIZOFRENIA_MENGHADIAHKAN_HARTANYA.jpg

Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya mak dan ayah saya ingin menghadiah rumah yang mereka miliki bersama secara hibah bersyarat. Namun ayah saya disahkan menghidapi penyakit Skizofrenia yang agak kritikal. Bila dia makan ubat dia akan kembali stabil. Soalan saya, bolehkah ayah saya melakukan akad hibah?

Ringkasan Jawapan

Seseorang yang kewarasannya datang sekejap kemudian hilang menghibahkan sesuatu hartanya kepada orang lain, maka hukumnya adalah sah sekiranya hibah itu berlaku ketika beliau berada dalam kewarasan dan tanpa sebarang paksaan. Namun jika seorang melakukan hibah dalam keadaan tidak waras atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya, maka para ulama sepakat bahawa hibah yang dia lakukan tersebut tidak sah. 

Huraian Jawapan

Pada asasnya hibah (hadiah) bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama. Suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan. Hibah dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukunnya. Rukun Hibah terdiri dari empat perkara[1] iaitu:

  1. Pemberi hibah (Wahib)
  2. Penerima hibah (Mawhub lahu)
  3. Harta yang dihibahkan (Mawhub)
  4. Sighah (Ijab dan Qabul)

Bagi pemberi hibah (Wahib), para fuqaha mazhab Syafi’i mensyaratkan bahawa pemberi hibah hendaklah memenuhi syarat sebagaimana yang diletakkan dalam bab jual beli iaitu mestilah orang yang mukalaf, berakal, baligh serta layak untuk menyumbang. Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak layak untuk melakukan hibah. Selain itu, harta atau barang yang hendak dihibahkan itu mestilah milik sepenuhnya daripada diri pemberi.

وشرط في العاقد وهو الركن الثاني ما مر في البيع، فيشترط في الواهب الملك وإطلاق التصرف في ماله،

Maksudnya: “Syarat bagi pemberi hadiah (yang merupakan rukun kedua) sama seperti yang disebut dalam bab jual beli, maka pemberi hadiah disyaratkan memiliki harta tersebut dan mempunyai pegangan yang mutlak terhadap hartanya[2].”

Berkenaan persoalan yang ditanyakan Skizofrenia ialah penyakit mental yang serius yang menjejaskan cara seseorang berfikir, berasa, dan berperilaku. Orang dengan skizofrenia mungkin kelihatan seperti mereka telah kehilangan hubungan dengan realiti, yang boleh mengganggu mereka dan keluarga dan rakan-rakan mereka. Gejala skizofrenia boleh membuat ia sukar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti biasa, sehari-hari, tetapi rawatan yang berkesan boleh didapati. Ramai orang yang menerima rawatan boleh terlibat dalam sekolah atau kerja, mencapai kewarasan, dan menikmati hubungan peribadi[3].

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عن ثَلاثٍ: عن النَّائِمِ حتى يَستيقِظَ، وعن الصَّغيرِ حتى يَكبَرَ، وعن المجنونِ حتى يَعقِلَ أو يُفيقَ

Maksudnya: “Pena (yang mencacat amalan setiap hamba) diangkat daripada tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia terjaga, seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan orang yang gila sehingga dia sedar.”

(Riwayat Abu Daud)

Termasuk dalam kategori gila adalah gangguan mental yang diistilahkan dalam kitab fiqh sebagai ‘atah. ‘Atah bermaksud sejenis penyakit yang membuatkan pemiliknya hilang keupayaan untuk memahami, pertuturannya tidak jelas dan tidak ada keupayaan untuk menilai atau menimbang sesuatu itu baik atau buruk sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh penyakit. Kebanyakan ulama menganggap bahawa ‘atah sebagai sebahagian daripada jenis gila[4].

Para ulama membahagikan keadaan tidak waras kepada dua iaitu mereka yang sentiasa berada dalam keadaan tidak waras dan mereka yang tidak waras pada tempoh-tempoh tertentu Sahaja. Imam al-Subki salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i ketika menjelaskan hadis ini berkata:

الجنون قد يكون منطبقا وقد يكون منقطعا، والحديث قد شمل النوعين، فإن المنقطع يثبت حكمه كلما طرأ، ويزول كلما زال،

Maksudnya: “Gila ada yang berbentuk kekal dan ada yang tidak konsisten dan hadis ini memaksudkan kedua-dua jenis gila tersebut. Gila yang tidak konsisten itu mengguna pakai segala hukum-hukumnya apabila ia berlaku dan hukum tersebut akan hilang apabila ia hilang[5].

Kesimpulannya seseorang yang kewarasannya datang sekejap kemudian hilang menghibahkan sesuatu hartanya kepada orang lain, maka hukumnya adalah sah sekiranya hibah itu berlaku ketika beliau berada dalam kewarasan dan tanpa sebarang paksaan. Namun jika seorang melakukan hibah dalam keadaan tidak waras atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya, maka para ulama sepakat bahawa hibah yang dia lakukan tersebut tidak sah. 

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ahmad al-Syatir. (2021). Syarah al-Yaqut al-Nafis, Beirut: Dar al-Minhaj, 395.

[2] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi. (t.t). Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, Mesir: al-Maktabah al-Taufiqiyyah, 3:665

[3] Lihat: https://jknperak.moh.gov.my/hbuk/v2/index.php/informasi-kesihatan-mental/skizofrenia

[4] Abdul Qadir Audah. (t.t). Al-Tasyri’ al-Jinai’i al-Islami, Beirut: Dar al-Katib al-Arabiy, 1:587

من كان قليل الفهم، مختلط الكلام، فاسد التدبير، سواء كان من أصل الخلقة، أو لمرض طرأ عليه.

[5] Taqiuddin al-Subqi. (1992). Ibraz al-Hikam min Hadis Raf’I al-Qalam, Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 96.