Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #635 : MAKAN DAGING BUAYA BAGI TUJUAN PERUBATAN

Soalan:

Salam yang berbahagia ustaz. Saya ada satu soalan. Boleh tidak kita sebagai Muslim memakan daging buaya untuk tujuan perubatan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Daging buaya dikategorikan sebagai najis kerana ia bukan daripada jenis haiwan yang halal dimakan, sama ada disembelih atau tidak. Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Buaya adalah haram dimakan mengikut pendapat yang sahih.” Rujuk Raudhah al-Talibin (3/275). Ini kerana buaya meskipun dilihat hidup dua alam tetapi ia lebih bersifat haiwan darat yang menerkam mangsanya dengan taring dan bukan sepenuhnya hidupan akuatik. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (9/379) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah; Mughni al-Muhtaj (6/146) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah.

Ini bersesuaian dengan hadith Abu Tha`labah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah daripada memakan setiap haiwan yang memiliki taring haiwan pemburu.”

Riwayat al-Bukhari (5530) dan Muslim (1932)

Ada pun untuk tujuan perubatan, ada kelonggaran untuk menggunakan najis sebagai ubat. Kelonggaran itu tertakluk kepada situasi darurat yang merujuk kepada keadaan sangat mendesak yang jika diabaikan akan membawa kepada kebinasaan, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan. Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah menyebut: “Keadaan darurat ialah suatu keadaan apabila seseorang takut sekiranya dia tidak memakan benda haram maka ke atas dirinya bahaya kematian, penyakit yang ditakuti, bertambah lagi penyakit, bertambah lagi tempoh penyakit, terputus hubungan dengan peneman (ketika musafir), atau ditakuti lemah untuk berjalan atau menunggang kenderaan, dan tidak ditemui barang halal untuk dimakan melainkan terdapat barang haram seperti bangkai, daging khinzir, dan makanan orang lain, maka harus mengambil (makan) barang haram itu.”

Namun, kadar yang dimakan itu mestilah hanyalah untuk menyambung hidup sahaja dan bukan untuk berlazat-lazat dan kenyang, melainkan jika seseorang itu terdapat di kawasan yang jauh yang ditakuti akan membinasakannya kerana gagal pergi ke tempat selamat maka boleh makan sehingga kenyang.

 “Adapun untuk tujuan pengubatan menggunakan najis-najis, ia dibenarkan sekiranya tiada bahan suci yang memiliki kesan mujarab yang sama atau lebih baik daripada najis itu mengikut pendapat yang sahih. Maka jika ditemui penggantinya, maka diharamkan menggunakan najis.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/562-565)

Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:

ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها

Maksudnya: Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.

Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti rahimahullah.

Namun, ada persoalan penting yang perlu dijawab sebelum dikatakan harus menggunakan daging buaya untuk berubat; adakah benar-benar terbukti bahawa dengan memakan daging buaya satu-satu penyakit itu akan sembuh? Kenyataan ini perlu dibuktikan dengan fakta kajian atau sokongan pengamal perubatan. Jika terbukti berkesan maka boleh digunakan dan jika tidak, maka penggunaan daging buaya yang najis itu kembali kepada hukum asal penggunaan najis untuk perubatan yakni haram.

Kaedah maqasid menyatakan:

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

Maksudnya: Maslahat-maslahat dan kerosakan-kerosakan yang melibatkan urusan keduniaan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.

Rujuk Qawaid al-Ahkam (1/13) oleh Imam Izz al-Din bin Abdussalam rahimahullah.

Justeru, kami berpendapat sebaiknya urusan rawatan dan pengubatan ini dibawa kepada badan-badan yang berautoriti untuk menjamin keberkesanan rawatan. Tambahan lagi, teknologi perubatan masa kini ramaui dipelopori oleh doktor dan pengusaha Islam yang cakna tentang soal halal haram dan najis. Jika mereka sudah menghasilkan ubat yang halal dan suci menggantikan perubatan daging buaya seperti yang didakwa, maka haram hukumnya jika tetap merawat menggunakan daging buaya untuk tujuan berubat.

Wallahua’lam.